PELANCARAN RPM GROUP & JELAJAH ROCKOLOGY 2025
Kuala Lumpur, 5 Mei 2025 – Dunia hiburan tanah air melangkah ke fasa baharu dengan pelancaran rasmi RPM Group of Companies, satu gabungan strategik tiga entiti kreatif yang bersatu di bawah satu bumbung: Rumah Produksi Merah, RPM Events, dan RPM Labels.
Gabungan ini bukan sekadar struktur korporat – ia adalah visi. Menurut Dato’ Eddy Amir Salim, Pengarah RPM Group, “RPM ditubuhkan untuk menyusun semula ekosistem hiburan tempatan secara lebih profesional dan tersusun. Dengan kekuatan produksi kandungan, acara berskala besar dan pembangunan muzik di bawah satu payung, kami yakin karya yang terhasil akan lebih bermakna dan berimpak tinggi kepada masyarakat.”
Tiga Cabang Utama RPM Group:
* Rumah Produksi Merah Sdn. Bhd. – pakar dalam penerbitan drama, filem dan rancangan hiburan yang mencabar norma dan memberi impak.
* RPM Events Sdn. Bhd. – penganjur utama konsert, festival muzik dan acara mega.
* RPM Labels Sdn. Bhd. – label yang mencungkil bakat baharu dan menghasilkan muzik tempatan berkualiti tinggi.
Sebagai simbol pelancaran rasmi, RPM mempersembahkan Rockology Concert Tour 2025 – satu jelajah berskala nasional yang mengangkat kembali semangat rock Malaysia. Jelajah ini menyatukan dua legenda rock tanah air, Dato’ Awie dan Search (Kid Din), dalam satu pentas penuh semangat dan sejarah.
“Ini bukan sekadar konsert. Ini satu gerakan. Jiwa rock itu perlu dihidupkan semula – dan inilah platformnya,” ujar Dato’ Awie.
Menariknya, Rockology bukan hanya tentang muzik. Sebahagian hasil jualan tiket akan disalurkan ke projek khas Konsert Wings Dalam Penjara, sebuah inisiatif CSR untuk menyampaikan harapan dan pemulihan kepada mereka yang terpinggir di sebalik tirai besi.
Dato’ Eddy menambah, “Rockology Concert Tour adalah permulaan kepada perjalanan jangka panjang RPM. Kami mahu kembalikan keunggulan rock tanah air dengan lebih mapan. Kami juga terbuka kepada kerjasama penaja dan rakan strategik yang mahu menyokong gerakan ini — sebagai suara budaya dan sosial.”
Tarikh & Lokasi Rockology Concert Tour 2025:
* North Chapter: 21 Jun 2025 – Midtown Perda, Pulau Pinang
* South Chapter: 5 Julai 2025 – EduCity Sports Complex, Johor
Seramai 15,000 peminat dari seluruh Malaysia dan Singapura dijangka membanjiri dua lokasi ini – menjadikannya antara jelajah rock paling dinanti tahun ini.
Tiket untuk North Chapter kini boleh dibeli di https://rpm.ubertickets.asia/ dengan harga bermula serendah RM98. RPM mahu pastikan semua peminat – tanpa mengira latar belakang – dapat menyaksikan kehebatan dua ikon rock ini dalam satu konsert bersejarah.
Tiket bagi South Chapter akan diumumkan tidak lama lagi.
Majlis pelancaran turut dihadiri barisan artis ternama, tokoh industri hiburan, dan rakan strategik yang bakal bersama menjayakan misi besar RPM.

