Kasi Gegar: BUKTI MUZIK THRASH MELAYU MASIH RELEVAN
Sejak awal Januari, gelora persiapan untuk konsert Kasi Gegar sudah meletus bagai kilat menyambar langit malam menghembus taufan menyapa lembut ke pipi. Penganjur YNS Event management tak pernah kenal erti lelah, menggerakkan segala bentuk promosi, menyiapkan jalan bagi laluan peminat thrash untuk malam yang bakal membakar jiwa . Tetapi siapa sangka, takdir mempertemukan dua raksasa muzik AMUK dan CROMOK di satu pentas yang bakal mengubah sejarah muzik metal tanahair. Malam itu bukan sekadar konsert, tetapi sebuah revolusi muzik yang bakal dikenang sepanjang zaman.
Dan akhirnya, malam yang dinanti tiba. Stadium N9 Arena, yang biasanya sepi, kini dibanjiri oleh lautan manusia rockers, metalers, dari utara, selatan,timur dan barat serta jiwa-jiwa liar yang menantikan letusan tenaga yang bakal tak terkawal. Adrenalin sudah lama tak dirembes. Kepala lama tidak diputar. Dan persiapan sudah dibuat. Boot kembali disarungkan bersama stokin koyak yang dah lama tidak membaluti buku lali.
Nahhhh..Konsert dimulakan dengan RPGIO, band metal Tamil tempatan yg pernah berkolaborasi bersama Sam CROMOK. Mari mariiii ku kemari jangan dikau lari. Bait lirik yang buat kita terngiang-ngiang. RPGIO menghentak setiap sudut stadium dengan jeritan gitar dan drum yang menggoncang serta vokal yang membakar. Penonton yang sudah memenuhi ruang depan tidak sabar, seolah-olah mereka tahu bahawa malam ini akan menjadi sesuatu yang tidak terlupakan. Sabar, simpan tenaga.
Namun, tepat pukul 9 malam, sebuah kejutan menggegarkan pentas. Jeritan Ismahalil Hamzah menjentik nyawa penonton yang tadi menerawang. AMUK masuk, munculnya lima sosok tubuh yang cuba menyembunyikan identiti namun sorok macamanapun orang dah kenal bagaikan badai yang tak dapat dibendung. Jeritan “Ye Yearrrrrghhh!” bergema, dan LATAH memecahkan keheningan. Lagu yang belum pernah mereka bawa ke pentas besar ini seperti sebuah serangan frontal. Bandi, sang vokalis yang sudah menjangkau usia 600 tahun, begitulah beliau selalu berseloroh tentang umurnya yang semakin matang tampil dengan energi yang mengalahkan gen Z. Lincah, bertenaga, seakan dia adalah harimau yang baru dibebaskan dari kandangnya. Penonton tidak mampu menahan diri, mereka terpesona, terbawa dalam arus muzik AMUK yang membahang . Pencak persembahan diteruskan dengan energi 30 tahun dahulu dengan menampilkan lagu berat Mudah Lupa, Dalam Semak, dan Ranap membakar setiap inci tubuh mereka.
Pujian harus diberikan kepada latar belakang LED yang cukup melankolik dengan pencahayaan yang sinematic menggamit hati dengan pengisian grafik yang menghidupkan setiap kali lagu dimainkan.
Tidak hanya dentuman drum Budu Siam gemersik alunan gitar yang mengasyikkan, sosok gitaris misteri berambut kembang menambah api kepada persembahan. Keajaiban tarian tujuh jari yang luar biasa mula membadai semangat. Melibas segala kemahiran yang selama ini terpatri, mengalirkan muzik yang benar-benar menyentuh jiwa. Itulah dia Metal Jawa dan Metal Bugis.
Bandi terus memimpin perjalanan muzik AMUK dengan lagu-lagu killer, menambah intensiti dengan Akar dan Bumi, Ingat Ingat, mengajak penonton merasai setiap perasaan yang disampaikan. Jeritan maksima Bandi membuktikan roh beliau masih memiliki energi zaman mudanya dan tidak ada penurunan tenaga. Jeritan sang ‘kuda padi’ milik Metal Bugis mula menongkah kesunyian N9 Arena. Mulut semua mula ternganga. Menantikan kemunculan pahlawan yang tidak kenal erti gagal. Ngap Sayot! Mula membedil penonton sehingga merembeskan cairan keringat setiap peminat AMUK setiap lagu disambung dengan begitu pantas, seperti sebuah perjalanan tanpa henti. Harimau yang sejak dari tadi tak berhenti mengaum kini tiba pula sang Unikorn yang tak sabar untuk mengibaskan sayapnya.
Seperti petir yang memecah langit, pentas kini didominasi oleh CROMOK. Suasana yang sebelumnya gemuruh, tiba-tiba menyepi seketika, memberi ruang bagi kemunculan mereka. Lampu dimalapkan, dan dari kegelapan muncul jejaka-jejaka bergaya, berpakaian jaket kemas berkilauan warna emasnya yang membakar mata. CROMOK bukan sekadar band mereka adalah pengarca langit, pencipta dunia baru dalam setiap petikan gitar dan hentakan drum. Sam, Karl, Shah, Apis dan Archer mereka tidak hanya bermain muzik, mereka menghidupkan semangat. Dengan edrum dari Sudoku, mereka memulakan Journey, sebuah muzik yang membawa penonton ke dalam dunia yang lebih gila, lebih liar, penuh dengan tenaga yang tak terbendung.
Setiap lagu seperti pedang yang menusuk, tembusnya menusuk kedada. Misty dan Obsessed mencipta ruang yang penuh emosi, riff riff dari Karl dan Shah mula menggila, sebuah keheningan yang tiba-tiba meresap ke dalam dada merembeskan adrenalin yang sejak tadi tak keruan. Deruan gitar Shah membelah langit Nilai dengan aksi yang memukau. Sesekali beliau membaling pick guitarnya terlihat cahaya terpancar dari mukanya yang penuh kepuasan untuk menghargai peminat. Umur hanyalah mainan nombor. Nyawa seperti tidak dimamah usia Apis tidak berhenti untuk terus menerajui perjalanan Cromok hingga ke akhirnya.
Mereka kembali menyentuh hati penonton dengan lagu Another You, melambung perasaan yang telah tertidur lama, membawa semua ke dalam dunia yang penuh dengan kenangan. Setiap petikan gitar, setiap lirik, seperti serangan kilat yang merobek jiwa. Lagu yang benar-benar menjulang nama CROMOK. Sehingga meletakkan CROMOK sebaris dengan pemuzik aliran perdana.
Lagu Fallen Heroes menggema dengan latar belakang video yang begitu mengharukan. Beberapa penonton teresak-esak menahan air mata yang tidak dapat disembunyikan. Semua orang menyelami setiap detik muzik yang dimainkan. Pancutan air mata mula merembes keseluruh pelusuk stadium N9 Arena. Ada ketika tiba2 Stadium mula mengeluarkan satu bau yang wangi. Melupakan bau mulut sahabat kita yang tak henti menyanyi. Ketika CROMOK kembali dengan Punishment Hour, bass Sam berdentum-dentum, mengisi ruang stadium dengan semangat yang tak terkendali. Mereka menggoncang pentas, merobek setiap jiwa yang hadir. Semua itu bukan sekadar muzik mainan jiwa tetapi suatu pengalaman yang membangkitkan perasaan, menyentuh ke dalam hati yang terdalam.
Kemudian, Karl, yang jarang bersuara, membawa penonton menyelami apa yang terbuku didalam hati. Karl tak boleh menyanyi tapi beliau salurkan perasaannya kepada dawai miliknya dengan I Don’t Belong Here. Gitaris legenda itu, dengan jari-jarinya yang bagaikan nyala api, menyentuh setiap perasaan yang ada. Semua terdiam, terkesima, dalam ketenangan yang penuh dengan keindahan muzik. Satu improvisasi yang penuh makna. Menyentuh jiwa sang pemuja.
Malam itu, CROMOK bukan sekadar band. Mereka telah membuktikan mereka raja segala eksperimentasi dan telah menjulang nama CROMOK hingga langit ke 7, membawa muzik ke dalam dunia yang lebih tinggi. Dengan setiap lagu yang mereka bawa, mereka mengubah persepsi, mencipta ruang baru untuk jiwa-jiwa yang dahagakan muzik sejati. Aku menjadi saksi ada lelaki yang histeria setiap kali mendengar petikan bait-bait lagu daripada mereka.
Namun, tidak ada yang lebih menggila selain AMUK kembali ke pentas. Mereka bukan sekadar mengisi kekosongan, tetapi mereka memberi nafas baru pada lagu-lagu CROMOK yang mereka Melayu-kan. Bandi, yang berduet dengan Sam CROMOK, membawa lagu seperti Sibling/Tak Merdeka dan Seedlings/Hantu yang Takut, menjeritkan kekuatan mereka dalam satu arus muzik yang begitu padu. Setiap nota, setiap hentakan, adalah sebuah revolusi. Stadium bergemuruh, seolah-olah tak ada hari esok. Walaupun janggut Sam dah mula memutih itu tidak mematahkan rohnya untuk memberi hentakan dentuman bassnya hingga ke tahap maksima. Sentiasa tersenyum dan menghiburkan. Persembahan diteruskan dengan lagu Little one/Anugerah dan Farewell/Tanpa prejudis dipersembahkan dengan baik oleh Bandi. Bandi pula kalau anda perasan entah berapa banyak kali ketiaknya diangkat untuk membuktikan bahawa rockers juga menjaga keperibadian. Mulusss.
Akhir sekali Lagu Raya Yang Sempurna menjadi penutup malam itu, dinyanyikan dengan penuh semangat oleh semua yang hadir. AMUK dan CROMOK berdiri bersatu di atas pentas, dan seluruh stadium turut menyanyi bersama. Dengan penuh keberanian, mereka menunjukkan kepada dunia bahawa muzik ini bukan hanya tentang lagu, tetapi tentang jiwa yang hidup, tentang perasaan yang bergema tanpa henti. Masing-masing meluahkan melodi yang selama ini terbuku. Menyulamnya menjadi melodi raya.
Malam itu bukan hanya sebuah konsert. Ia adalah sejarah. Ia adalah kekuatan yang tak tergoyahkan, perpaduan dua dunia yang berbeza, yang disatukan dalam muzik yang tiada bandingannya. Sebuah ledakan jiwa yang tak akan pernah dilupakan. Konsert Kasi Gegar adalah hadiah kepada mereka yang berani merasai, merasakan muzik dalam setiap hela nafas. Tahniah organiser! YNS Event Management
Mana sisi yang baik, wajar kita raikan bersama. Mana yg kurang baik kita ikram kita santuni dengan hikmah bukan dengan menyanggah.
untuk merasai sendiri bara api yang aku cerita ni korang boleh layan kat sini versi full highlight konsert kasi gegar CROMOK AMUK : https://www.youtube.com/watch?v=FcqD0ZYJGJ0
Yours Truly
Bangbu Besihitam
Saya Mesti Rajin

