Awang BPR: SEMUA LAGU YANG BELIAU CIPTA TOP HINGGA SAAT INI
Bila kita singkap sejarah muzik Rock Malaysia, nama-nama seperti M. Nasir, JS Kevin, dan Saari Amri sering disebut sebagai arkitek melodi agung yang membentuk jiwa pendengar. Namun, di celah-celah sorotan arus perdana, ada satu nama yang mungkin tidak begitu dikenali ramai, tetapi jejak seninya tetap meninggalkan gema yang kuat beliau Norzaini Mohammad, atau lebih mesra disapa Awang BPR.

Ya, mungkin telinga kita tidak begitu biasa dengan nama itu. Tetapi apabila disebut lagu-lagu seperti Harum Subur Dihati (BPR), Dari Sinar Mata (BPR), Patahnya Sayap Malam (MASSA), Taman Astakona (SLASH), Kurnia (SLAM), Segalanya Kuterima (ILLUSI), Lahar Cinta (FINALIST),Sudah Takdir Begitu (SAMUDERA), atau Umpama Mimpi Dalam Mimpi (DAMASUTRA), pasti ramai yang segera teringat melodi-melodi yang pernah menjadi siulan, membalut rasa cinta, kehilangan, dan kerinduan anak muda era 80-an dan 90-an. Semua itu lahir daripada tangan seorang komposer yang tenang, tidak mencari glamour, tetapi menghasilkan karya yang penuh magis.
Awang bukan sekadar komposer. Beliau juga adalah gitaris bagi kumpulan Bumiputera Rockers (BPR) salah satu kumpulan rock paling unik kerana membawa roh kemelayuan yang kental dalam riff dan lirik mereka. Dengan vokal mantap Joey, BPR muncul sebagai suara rakyat, dan di belakangnya Awang meniupkan semangat muzik yang berbeza daripada arus kebiasaan. Lihat saja intro dan solo ikonik seperti lagu seribu tahun takkan mungkin, harum subur dihati dan aku hanya serangga cukup perdengarkan 3 saat intro sudah pasti dapat teka lagu apa yang dimainkan.
Namun, yang membuat Awang benar-benar istimewa bukan hanya peranannya di atas pentas, tetapi bakatnya mencipta lagu untuk band-band lain. Menariknya, banyak kumpulan yang mungkin tidak sebesar Search, Wings, atau Lefthanded, berjaya bertahan dan dikenang hari ini kerana sentuhan emas Awang. Lagu-lagunya seperti menjadi nafas kedua buat band-band baru dan tidak dikenali untuk menembusi hati pendengar lalu bersaing sendiri dengan sifu beliau iaitu M.Nasir yang menjadi rebutan para artis ketika itu.
Jika diamati, karya Awang memiliki keunikan. Melodinya tidak berlebihan, tetapi ada jiwa yang meresap kedalam dada lalu melekat sampai diri terpana. Ada karakter yang membuatnya melekat seakan-akan mendengar cerita kehidupan dalam setiap bait dan rentak. Itulah sebabnya, lagu-lagu ciptaannya tidak lapuk ditelan zaman, malah masih diputarkan, didendangkan, dan diingati hingga ke hari ini.
Mungkin kerana sikapnya yang tidak terlalu menonjolkan diri, nama Awang BPR jarang diposisikan setaraf dengan M. Nasir atau Saari Amri. Namun jika diukur dari segi kualiti karya, beliau selayaknya duduk di meja yang sama. Bayangkan, tanpa Awang, mungkin kita tidak akan mengenali atau mengingati lagu-lagu balad rock yang pernah menjadi soundtrack kehidupan ramai remaja suatu ketika dahulu.
Dalam sebuah industri yang sering memuja glamour, memuja orang yang sama, sosok seperti Awang BPR sering terpinggir daripada pengiktirafan. Namun hakikatnya, beliau adalah salah seorang penggerak yang menjadikan muzik rock balad Malaysia begitu kaya dengan emosi dan melodi yang indah. Sudah sampai masanya nama Awang diangkat semula, bukan sekadar sebagai gitaris BPR, tetapi sebagai komposer besar yang berjasa membentuk wajah muzik tanah air.
Awang BPR adalah bukti bahawa legenda sejati tidak semestinya berdiri di depan sorotan kamera. Kadangkala, mereka adalah tangan di balik tirai, yang dalam diam mencipta lagu-lagu untuk kita simpan dalam hati sepanjang hayat dan menjadi memori pelepas rindu disaat kesunyian.

