KONSERT ROCK CAR PARK BAKAL ULANGI SEJARAH ‘ROOF TOP’ KINI HIMPUNKAN LAGENDA ROCK MALAYSIA

Oleh: Bangbu Besihitam

RAWANG – Peminat muzik rock tanah air bakal disajikan dengan sebuah konsert yang menjanjikan gabungan nostalgia dan tenaga baharu apabila Konsert Rock Car Park dianjurkan tidak lama lagi.

Acara tersebut bakal menggabungkan beberapa nama berpengaruh dalam dunia rock tempatan seperti May, Sofea, Wicitra serta Shasha And The Boys, sekali gus menjadikannya platform yang menghimpunkan peminat daripada pelbagai generasi.

Menurut penganjur, Muhamad Najmi Abdul Rahim, idea penganjuran konsert ini tercetus daripada keinginan untuk menghidupkan kembali semangat muzik rock dalam suasana yang lebih santai dan dekat dengan peminat.

Beliau berkata, Rock Car Park bukan sekadar sebuah konsert biasa, sebaliknya menjadi ruang pertemuan antara peminat lama yang membesar dengan muzik rock dan generasi baharu yang mula menunjukkan minat terhadap genre tersebut.

Sambutan awal yang diterima juga dilihat cukup positif apabila jualan tiket pra-jualan dilaporkan telah mencecah antara 500 hingga hampir 1,000 keping, sekali gus memberi keyakinan kepada pihak penganjur bahawa konsert tersebut mendapat perhatian peminat.

Dalam usaha memperluaskan lagi promosi, pihak penganjur turut merancang beberapa inisiatif termasuk penganjuran siri showcase tour di beberapa lokasi terpilih.

Melalui pendekatan tersebut, peminat berpeluang mendekati artis yang terlibat selain mendapatkan maklumat lanjut mengenai konsert yang bakal berlangsung. Menariknya, pengunjung showcase juga masih berpeluang membeli tiket pada harga pra-jualan, walaupun tempoh jualan awal secara dalam talian telah berakhir.

TEMUBUAL BERSAMA PENGANJUR

Najmi berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis Iftar & Ignition (7th Gathering AMG Underground) yang berlangsung di Tasik Puteri Golf & Country Club, Rawang.

Majlis berkenaan bukan sahaja menjadi platform mempromosikan konsert, malah turut diselitkan dengan program kebajikan apabila 40 orang anak yatim dari Rumah Anak Yatim dan Asnaf As-Solihin, Kanchong Darat, Banting diraikan dalam suasana berbuka puasa yang penuh kemesraan.

40 orang anak yatim dari Rumah Anak Yatim dan Asnaf As-Solihin, Kanchong Darat, Banting
Iftar & Ignition (7th Gathering AMG Underground) yang berlangsung di Tasik Puteri Golf & Country Club, Rawang.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Muzam Bloodshed serta wakil kumpulan Wicitra, iaitu Sham dan Zul, yang turut meluangkan masa beramah mesra dengan anak-anak yatim sebagai sebahagian daripada inisiatif sosial pihak penganjur.

Bagi peminat yang ingin menyaksikan konsert tersebut, tiket Konsert Rock Car Park boleh diperoleh melalui platform ticket2u.com dengan tiga kategori harga yang ditawarkan iaitu RM100 bagi pra-jualan, RM120 (early bird) dan RM150 bagi harga biasa.

Selain itu, pihak penganjur turut memperkenalkan pakej istimewa yang menggabungkan tiket konsert bersama kasut edisi khas jenama tempatan Fung Keong (FK) yang ditawarkan dalam jumlah terhad.

Dengan gabungan nama-nama berpengaruh dalam muzik rock tempatan serta konsep penganjuran yang lebih dekat dengan peminat, Konsert Rock Car Park dilihat berpotensi menjadi antara acara muzik rock yang menarik perhatian peminat tahun ini.

Terbaru