Nadin Amizah & Feby Putri Bakal Sepentas di Kota Kinabalu Menerusi Konsert Melodi Malam 2.0

Nadin Amizah & Feby Putri Bakal Sepentas di Kota Kinabalu Menerusi Konsert Melodi Malam 2.0

KOTA KINABALU, SABAH – Peminat muzik Indonesia di Sabah bakal disajikan dengan sebuah malam yang penuh emosi dan keindahan muzik apabila dua penyanyi popular, Nadin Amizah dan Feby Putri, bakal berkongsi pentas menerusi konsert Melodi Malam 2.0 yang dijadualkan berlangsung pada 23 Mei 2026, jam 8 malam di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu.

Konsert yang dianjurkan oleh Sembang Kari Entertainment itu dijangka menjadi antara acara muzik yang paling dinantikan di Kota Kinabalu tahun ini, khususnya dalam kalangan peminat muzik alternatif dan pop emosional dari Indonesia.

Lebih istimewa, Melodi Malam 2.0 juga bakal mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi penampilan pertama Nadin Amizah dan Feby Putri bersama di atas pentas di Kota Kinabalu, sekali gus menjanjikan pengalaman muzik yang cukup istimewa buat peminat di Sabah.

Pengarah Urusan Sembang Kari Entertainment, Amar Syah, berkata penganjuran konsert tersebut bertujuan menghadirkan pengalaman muzik yang lebih dekat dan intim kepada peminat di Borneo.

Menurutnya, gabungan dua penyanyi yang terkenal dengan karya-karya puitis dan penuh emosi itu diyakini mampu memberikan pengalaman muzik yang sukar dilupakan.

“Melodi Malam 2.0 dibawakan sebagai sebuah pengalaman muzik yang lebih peribadi dan bermakna kepada penonton. Gabungan Nadin Amizah dan Feby Putri di pentas yang sama adalah sesuatu yang sangat istimewa, apatah lagi ini merupakan kali pertama mereka tampil bersama di Kota Kinabalu. Kami percaya ia akan menjadi malam yang sukar dilupakan oleh para peminat,” katanya.

Sembang Kari Entertainment merupakan syarikat penganjur acara yang memberi fokus kepada penganjuran persembahan hiburan secara langsung dengan pendekatan artistik serta konsep yang lebih kreatif dan emosional.

Dalam masa sama, Nadin Amizah turut meluahkan keterujaannya untuk bertemu peminat di Kota Kinabalu buat pertama kali melalui persembahan istimewa itu.

NADIN AMIZAH

“Saya sangat gembira akhirnya dapat datang ke Kota Kinabalu dan berkongsi lagu-lagu saya secara langsung dengan peminat di sana. Setiap bandar mempunyai perasaan yang berbeza dan saya percaya malam di Sabah nanti akan menjadi pengalaman yang sangat indah. Lebih istimewa kerana saya dapat berkongsi pentas dengan Feby Putri,” katanya.

FEBY PUTERI

Sementara itu, Feby Putri menyifatkan konsert tersebut sebagai satu detik yang telah lama dinantikannya.

“Saya sangat gembira akhirnya dapat membawa muzik saya ke Kota Kinabalu. Saya tahu ramai peminat yang sudah lama menantikan persembahan ini. Saya harap Melodi Malam 2.0 akan menjadi malam yang penuh kehangatan, emosi dan kenangan indah buat semua yang hadir. Berkongsi pentas dengan Nadin Amizah pastinya menjadikan acara ini lebih istimewa,” katanya.

Kedua-dua penyanyi dari Indonesia itu dikenali dengan karya muzik yang sarat dengan unsur puitis dan emosi yang dekat dengan jiwa pendengar. Gabungan dua identiti muzik berbeza di pentas yang sama dijangka mewujudkan suasana persembahan yang intim, menyentuh hati serta meninggalkan kenangan mendalam kepada para penonton.

Tiket bagi konsert Melodi Malam 2.0 ditawarkan pada harga RM229 untuk kategori Kembali Sorai (Free Standing) dan akan mula dijual bermula 13 Mac 2026, jam 12 tengah hari menerusi laman web rasmi myticketempire.com.

Untuk maklumat lanjut atau pertanyaan media, orang ramai boleh menghubungi:

Mohd Redzuan (Cipot)
Telefon: +6019-2794499
Emel: cipotredz@gmail.com

Terbaru