Opick, Mawi, Rabbani, UNIC Dan The Rayhan Bersatu Dalam Malam Qolbu

MALAM QOLBU SATUKAN JIWA, SEMARAKKAN CINTA RASULULLAH SAW DI IDEALIVE KUALA LUMPUR

KUALA LUMPUR, 15 Jun 2026 – Dalam dunia yang semakin pantas bergerak dan dipenuhi pelbagai bentuk hiburan, sebuah penganjuran berteraskan dakwah dan kerohanian bakal menghimpunkan ribuan pencinta selawat dalam satu malam penuh makna menerusi Konsert Malam Qolbu yang akan berlangsung pada 24 Ogos 2026 di Idealive Kuala Lumpur.

Bersempena sambutan Maulidur Rasul, konsert ini hadir bukan sekadar sebagai sebuah persembahan muzik Islamik, malah menjadi platform untuk mengajak masyarakat menghayati sirah serta memperkukuhkan kecintaan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Mengangkat konsep Islamik Nusantara Musik, Malam Qolbu bakal menampilkan gabungan barisan ikon nasyid dan muzik Islamik terkenal iaitu Opick, Mawi, Rabbani, UNIC dan The Rayhan, dalam sebuah persembahan yang disusun secara istimewa dengan elemen penceritaan, visual dan penghayatan rohani.

Lebih menarik, perjalanan malam tersebut akan dimulakan dengan segmen Gimik Pembukaan Sirah & Cahaya, diikuti persembahan khas yang diselang-selikan dengan Interlude Pantomim dan Visual Poetry, sebelum ditutup dengan alunan Selawat Nabi yang bakal menyatukan seluruh hadirin dalam suasana penuh ukhuwah dan kecintaan kepada Rasulullah SAW.

Menurut wakil penganjur, penganjuran Konsert Malam Qolbu lahir daripada rasa tanggungjawab untuk menggunakan platform seni sebagai medium dakwah yang dekat dengan masyarakat masa kini.

“Kami melihat penganjuran ini sebagai satu amanah yang besar. Tanpa Rasulullah SAW, kita tidak akan mengenal Islam seperti hari ini. Maka menjadi satu kebanggaan apabila diberi peluang untuk menganjurkan sebuah majlis yang mengajak masyarakat berselawat, mengenang sirah Baginda dan menyemarakkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW.”

Beliau turut menyifatkan kehadiran ke program tersebut sebagai satu bentuk pelaburan untuk akhirat yang memberi ruang kepada masyarakat mengisi jiwa dengan pengisian bermanfaat.

“Dalam kehidupan ini kita sentiasa melabur untuk dunia. Namun sesekali, marilah kita melabur untuk saham akhirat. Setiap selawat, setiap doa dan setiap peringatan yang diperoleh pada malam tersebut mudah-mudahan menjadi amal yang berpanjangan.”

Penganjur juga berharap Konsert Malam Qolbu mampu membuka lembaran baharu dalam landskap hiburan Islamik tempatan dengan membuktikan bahawa program berteraskan dakwah dan kerohanian masih mempunyai tempat yang besar dalam hati masyarakat, termasuk generasi muda.

Sebagai penganjuran sulung, Malam Qolbu dilihat sebagai satu usaha untuk merapatkan kembali hubungan masyarakat dengan nilai-nilai Islam melalui pendekatan seni yang mendidik, menyentuh hati dan memberi ketenangan jiwa.

Konsert ini mendapat sokongan ZAYAN sebagai radio rasmi, manakala Gempak dan Salam Musik bertindak sebagai rakan media digital. Royal Chulan The Curve pula tampil sebagai hotel rasmi acara.

Tiket dijual pada harga bermula RM250 hingga RM350, termasuk kategori khas pelajar yang boleh didapati menerusi platform Ticketmelon dan Fantopia.

Konsert Malam Qolbu merupakan hasil kerjasama antara Duyufurrahman Travel & Tours Sdn Bhd, Aftermusic Project dan Laskar Entertainment, yang berganding bahu merealisasikan sebuah acara yang bukan sahaja menghiburkan, malah membawa mesej dakwah, kerohanian dan kecintaan kepada Rasulullah SAW kepada masyarakat.

Menariknya, Duyufurrahman turut diperkuatkan oleh barisan tenaga muda berpengalaman dalam bidang Haji dan Umrah termasuk Mualim Muda Anas, juara program Mualim Muda Musim Pertama serta Mualim Muda Ashraf, finalis program tersebut yang membawa pendekatan lebih dekat dan berjiwa pendakwah dalam setiap inisiatif syarikat.

DARI UMRAH KE PENTAS DAKWAH

Duyufurrahman Travel & Tours Sdn Bhd yang sinonim dengan perkhidmatan Umrah dan Riadah melangkah ke dunia penganjuran acara buat pertama kali menerusi Konsert Malam Qolbu.

Nama Duyufurrahman yang membawa maksud “Tetamu Allah” mencerminkan komitmen syarikat dalam membantu umat Islam melaksanakan ibadah dengan lebih mudah, tersusun dan penuh penghayatan.

Melalui penganjuran ini, syarikat berharap dapat memperluaskan peranan mereka dalam mendekatkan masyarakat kepada nilai-nilai kerohanian melalui pendekatan yang lebih santai, moden dan relevan dengan generasi hari ini.

Konsert Malam Qolbu bukan sekadar sebuah acara hiburan. Ia adalah satu perjalanan hati, satu ruang muhasabah dan satu malam untuk menyatukan jiwa dalam selawat serta kecintaan kepada Rasulullah SAW.

“Umrah Bukan Sekadar Ibadah.”

Terbaru