SLAM JANGKA CIPTA MALAM PENUH NOSTALGIA, TAMPIL KELAINAN BERSAMA ORKESTRA DAN GUEST ARTIS LAGENDA

Selepas 30 tahun, SLAM kembali menghidupkan magis konsert unplugged dengan sentuhan orkestra, lagu-lagu rare dan kolaborasi eksklusif yang masih dirahsiakan.
KUALA LUMPUR: Selepas tiga dekad berlalu sejak mencipta sejarah menerusi konsert unplugged mereka pada tahun 1996, kumpulan legenda tanah air, SLAM, kini bersedia mengembalikan nostalgia itu dalam sebuah persembahan istimewa yang dijangka sarat dengan emosi, kenangan dan pelbagai kejutan buat peminat.
Menurut Shah, persiapan konsert kini telah mencapai hampir 90 peratus dan segala perancangan berjalan lancar menjelang malam yang dinanti-nantikan itu.
Konsert berkenaan akan dipersembahkan dalam tiga segmen utama yang membawa penonton merentasi pelbagai era perjalanan muzik SLAM.
Segmen pertama bakal membuka tirai dengan deretan lagu-lagu rancak termasuk beberapa karya yang jarang dipersembahkan secara langsung. Segmen kedua pula akan menyaksikan kemunculan artis jemputan istimewa sebelum konsert ditutup dengan himpunan lagu-lagu hit yang telah menjadi identiti SLAM selama puluhan tahun.
Apa yang menjadikan konsert ini lebih menarik ialah konsep kolaborasi bersama beberapa nama besar industri muzik tanah air yang selama ini dikenali menerusi genre berbeza.
“Kita ambil lagu-lagu masterpiece daripada setiap guest artis. Mereka akan naik pentas sebagai artis sebenar, bukan sekadar tetamu. Kita juga akan menyanyikan lagu mereka dengan cara SLAM,” jelas Shah.
Menurutnya, gabungan tersebut dijangka menghasilkan sesuatu yang unik apabila lagu-lagu rock ikonik diberikan sentuhan tersendiri tanpa menghilangkan keaslian karya asal.
Selain kolaborasi istimewa, penggunaan orkestra turut menjadi antara elemen utama yang membezakan konsert kali ini daripada persembahan-persembahan terdahulu.
Bagaimanapun, cabaran terbesar bukanlah dari sudut teknikal semata-mata, sebaliknya mencari titik keseimbangan antara identiti muzik SLAM dengan susunan muzik orkestra agar kedua-duanya dapat bergerak seiring.
“Kita cuma perlu cari titik pertemuan supaya semuanya blend dengan baik. Lagu-lagu lama ada yang kita ubah key supaya sesuai dengan suara sekarang, tetapi selebihnya lebih kepada memahami antara pemain orkestra dan ahli kumpulan,” katanya.
Dalam usaha membentuk senarai lagu terbaik untuk malam berkenaan, SLAM mengakui proses pemilihannya bukan sesuatu yang mudah.
Daripada lebih 60 buah lagu yang disenaraikan pada peringkat awal, jumlah itu dikurangkan secara berperingkat sebelum diputuskan kepada sekitar 20 lagu yang bakal dipersembahkan.
Antara lagu yang dijangka mencuri perhatian ialah karya yang jarang dimainkan secara langsung seperti Syair Si Pari-Pari, selain deretan lagu popular yang telah membesarkan nama kumpulan tersebut sepanjang karier mereka.
Menariknya, pemilihan lagu turut dipengaruhi maklum balas peminat yang sentiasa aktif berkongsi cadangan menerusi media sosial dan komuniti peminat SLAM.
Walaupun industri muzik hari ini jauh berbeza berbanding era kegemilangan album fizikal suatu ketika dahulu, SLAM tetap percaya bahawa karya baharu perlu terus dihasilkan.
Zamani turut mendedahkan kumpulan itu kini merancang menghasilkan sebuah album penuh yang mengandungi 10 lagu baharu.
“Kalau ada rezeki, kita mahu hasilkan satu album penuh. Kita memang daripada dulu lebih selesa menghasilkan album berbanding single. Harapnya tahun depan sudah ada album baharu,” katanya.
Mengulas mengenai rahsia hubungan yang berjaya dikekalkan sepanjang puluhan tahun bersama ahli kumpulan lain, Zamani mengakui mereka bukanlah sebuah kumpulan yang sentiasa sependapat dalam semua perkara.
“Kita memang selalu bergaduh dalam studio. Tapi kalau ada masalah, kita cakap terus depan-depan. Tak simpan dalam hati. Saya rasa sebab utama kita masih bersama ialah kerana minat yang sama terhadap muzik,” katanya sambil tersenyum.
Dengan persiapan yang hampir sempurna, kolaborasi misteri yang masih menjadi tanda tanya serta sentuhan orkestra yang bakal menghidupkan semula memori 30 tahun lalu, peminat kini hanya menunggu detik tirai dibuka untuk menyaksikan sendiri apa yang dijanjikan oleh SLAM.
Jika segala perancangan berjalan seperti yang diharapkan, konsert ini bukan sekadar sebuah persembahan muzik, tetapi sebuah perjalanan merentas masa yang bakal mengembalikan kenangan generasi yang membesar bersama lagu-lagu SLAM.
— BESIHITAM

