Ziva Magnolya: “Merangkai” Sebuah Simfoni Jiwa Pop RnB

Ziva Magnolya: “Merangkai” Sebuah Simfoni Jiwa Pop RnB

Oleh Wartawan Bangbu BESIHITAM

Setelah menunggu dalam diam selama dua tahun, penyanyi bersuara lunak dan penuh teknik, Ziva Magnolya akhirnya menzahirkan sebuah naskhah penuh rasa dan emosi melalui album keduanya yang diberi judul “Merangkai”. Menerusi sembilan buah lagu yang membawa warna Pop RnB yang begitu dekat di hati, album ini seakan menjadi satu manifestasi peribadi Ziva jujur, matang dan menyentuh rasa.

Diterbitkan di bawah naungan label gergasi Universal Music Indonesia, “Merangkai” bukan sekadar kumpulan lagu, tetapi satu perjalanan emosi yang terjalin indah dari mula hingga akhir. “Album ini benar-benar mencerminkan diri saya,” ujar Ziva dalam satu kenyataan media. “Sejak dahulu lagi saya sangat ingin menghasilkan album Pop RnB kerana saya amat menyukai muzik genre ini. Jadi boleh dikatakan, album ini benar-benar saya.”

Kisah Cinta, Namun Bukan Biasa-Biasa

Membawa tema cinta, namun dengan pendekatan yang pelbagai dan segar, Ziva menampilkan naratif bercorak introspektif dan kontemporari. Setiap lagu seakan berhubungan, membentuk satu untaian emosi yang tidak terputus. Tiga buah lagu Abadi, Wanita Biasa, dan Cukup telah pun mendahului album ini sebagai single dan menerima sambutan luar biasa dari peminat muzik tanah air.

Kolaborasi Nama Besar dan Energi Baru

Antara kekuatan utama Merangkai ialah barisan produser dan rakan kolaborator yang mengisi album ini dengan pelbagai warna: Dony Manurung (Intro), BIANCADIMAS (Tertarik Atau Baik), Trakast, Yafi Aria, Stefanus LJ (Sesuka Hati), Ranbe (200K), Belanegara Abe dan Kaleb J (Against All The Odds), S/EEK (Wanita Biasa, Cukup), serta trio terkenal Laleilmanino (Kata Kata).

Kolaborasi paling dinanti tentulah bersama Kaleb J, rakan seperjuangan yang sudah lama diminta peminat untuk berganding suara bersama Ziva. “Bekerjasama dengan produser hebat tanah air adalah satu penghormatan besar buat saya. Saya belajar banyak daripada mereka,” jelas Ziva.

Visual, Seni dan Unsur Seram Manja

Menambahkan nilai estetika kepada album ini, Ziva turut bekerjasama dengan artis visual ternama Diela Maharanie bagi menghasilkan artwork eksklusif. Diela yang terkenal dengan gaya seni penuh warna dan karakter, menjadikan visual Merangkai sebagai satu karya seni yang hidup.

Malah, Ziva juga tidak lokek dengan kreativiti apabila menghasilkan video muzik untuk Kata Kata dan video lirik untuk beberapa lagu baharu dengan elemen ‘seram manja’. Diselitkan dengan penampilan ‘hantu’ yang tetap menghiburkan, idea ini dilaksanakan oleh Athea Visual dan diarahkan oleh Ivan Saputra Alam.

“Ceritanya ringkas tapi menarik. Tentang cinta yang belum kesampaian dari perspektif orang yang ‘ghosting’ orang lain,” kata Ziva sambil tersenyum.

Satu Untaian Untuk Jiwa

Berikut adalah senarai lagu penuh album Merangkai:

  1. Intro
  2. Abadi
  3. Tertarik Atau Baik
  4. Sesuka Hati
  5. 200K
  6. Kata Kata
  7. Against All The Odds (feat. Kaleb J)
  8. Wanita Biasa
  9. Cukup

“Harapan saya, semoga album ini dapat diterima oleh ramai pendengar dan memberi semangat kepada sesiapa yang mendengarnya. Jadikan ia teman harian anda,” pesan Ziva yang kini dikenali sebagai Ratu Riff & Runs oleh peminat setianya.

Dengan Merangkai, Ziva tidak sekadar mengeluarkan album. Beliau menyulam jiwa, rasa dan pengalaman hidup menjadi sebuah karya yang patut diberi perhatian. Satu penghormatan kepada Pop RnB, dan kepada dirinya sendiri.

Terbaru