BARBARIK: KUMPULAN BARU YANG MENGGEGARKAN INDUSTRI MUZIK ROCK MALAYSIA
Oleh: Bangbu Besihitam
Tatkala dunia muzik bergelora dalam gelombang digital dan ilusi populariti segera, lahirlah satu entiti yang menggoncang pentas rock tanah air iaitu BARBARIK. Baru tiga tahun menghembus nafasnya dalam kancah seni, band yang dianggap masih berhingus namun denyut nadinya telah lama menyatu dalam salur darah ‘vena kava’ perjuangan muzik Malaysia. Band ini bukan kelahiran biasa. Ia adalah manifestasi sejarah, semangat dan keberanian, disulam dari pengalaman hampir empat dekad oleh para pendekarnya Muss, Jobranko, Rozaimi dan Ainol.

Sewaktu ramai meragui kehadiran mereka hanya kerana namanya yang “baharu” BARBARIK tidak berganjak dari medan. Sebaliknya, mereka membuka tirai dengan laungan nyaring menerusi konsert pengenalan PENTAS KERAS (24 Disember 2022) yang menggamit semangat lama dengan jiwa baharu. Tidak lama selepas itu, mereka mencetuskan gegaran dalam BARBARIK X SEARCH: DOUBLE TROUBLE 2 (5 Ogos 2023), dan memperluaskan wilayah mereka ke seberang tambak melalui PENTAS KERAS 2.0 di Singapura (25 November 2023). Di bumi di mana pahlawan pernah menjejak kaki, mereka menghunus keris sakti ke langit Borneo dalam IN BORNEO WE TRUST (27 Januari 2024, Tawau).

Langkah Awal Sang Satria
Dan kini, gelombang itu tidak lagi tersekat. BARBARIK bakal menyusun peluru seni mereka di medan paling berprestij di ZEPP KUALA LUMPUR melalui konsert epik ‘PENTAS PELURU COKELAT’ pada 28 Jun 2025.
BARBARIK: Makna Di Sebalik Mitos
Nama BARBARIK bukan sekadar ciplakan bunyi gah, ia adalah warisan Sanskrit dari epik Mahabharata. Seorang satria dengan tiga anak panah sakti, Barbarik berdiri di antara kebenaran dan pengorbanan. Malangnya, keberanian sering disalah erti. Pahlawan itu dicop ganas dan tidak bertamadun. Seperti juga kumpulan BARBARIK hari ini yang sering dinilai dari luaran. Namun, bagi yang menghayati, akan terasa semangat yang membakar dan kesaktian yang tersembunyi.
Nama ini juga bukan asing buat peminat setia rock tanah air. Mr. Barbarik, album kesembilan WINGS yang diterbitkan pada tahun 2000, menjadi mercu tanda era Muss dan Jobranko. Kini, semangat dan imej album itu hidup semula dalam bentuk baru dengan nyawa yang lebih liar, lebih matang dan lebih lantang.
Album Sulung: Peluru Cokelat, Hantaran Dari Lubuk Jiwa
31 Oktober 2024 menyaksikan kelahiran sebuah karya monumental: ‘PELURU COKELAT’, album sulung BARBARIK. Sebuah himpunan enam buah lagu yang bukan sekadar bunyi, tetapi letusan emosi dan renjatan realiti. Ia bukan dicipta dalam tergesa, tetapi dikandung selama lebih enam bulan, dibentuk oleh tangan-tangan berjiwa agung seperti Jobranko, Muss, Ainol, Nasir Jani, Nuar Botak dan Bambino.
Judul utama album, Peluru Cokelat, bukan sahaja mencerminkan kegetiran dunia hari ini dari kancah perang hingga ke perjuangan diri, tetapi juga menunjukkan dualiti yang tajam: manis dan merbahaya, indah dan mematikan. Lagu-lagu lain seperti Golok Kayu, Didakap Pesona, Kasmaran Selamanya, Nasib Baik dan Marcapada mengalir seperti sungai sejarah yang penuh dengan batu-batu luka dan arus kasih yang bergelora.
Sebagai bonus, dua trek instrumental diselitkan: Gelap Nan Terang, petikan magis dari Jobranko, dan versi radio Didakap Pesona. Album ini turut mempersembahkan kolaborasi bersama dua legenda: Karl Cromok, dewa gitar thrash Melayu yang memahat sejarah dalam setiap not gitarnya, dan Adi Yamin, pemain keyboard handalan yang menyulam harmoni langit BARBARIK.
KERIS YANG DAH LAMA TERTANAM
BARBARIK bukan sekadar kumpulan muzik ia adalah gerakan, ia adalah isyarat kebangkitan. Dalam dunia yang semakin melupakan akar dan jati diri, BARBARIK hadir seperti satu tamparan seni lantang, keras, berani dan penuh hikmah. Mereka adalah kesinambungan sejarah rock yang enggan tunduk kepada arus pasaran, tetapi tetap menjulang semangat kebenaran.
BARBARIK ialah pengingat bahawa sesetengah luka tidak sembuh untuk dilupakan, tetapi untuk dijadikan senjata. Nama mereka baharu, tetapi jiwa mereka adalah bara yang telah dipendam sekian lama. Kini, bara itu menyala. Dan tiada siapa mampu memadamnya lagi.
28 Jun 2025 akan menjadi tarikh keramat. Di Zepp KL nanti, bukan sekadar muzik yang akan berdentum tetapi semangat yang akan membakar jiwa-jiwa yang rindu akan makna, perjuangan dan kejujuran dalam seni.
Mereka pernah dipinggirkan. Kini mereka kembali bukan sekadar untuk didengar, tetapi untuk dikenang sebagai pasukan yang terlepas dari jerangkap samar, dan kini sedang mara ke medan dengan peluru yang paling tajam (muzik mereka).
Didakap pesona,
Bangbu Besihitam
#sayamestirajin #besihitam #barbarik



