Showcase “Pistol & Bunga”: Pertemuan Dua Generasi Rock yang Menggegarkan ASWARA
Oleh: Bangbu BESIHITAM
KUALA LUMPUR – Malam tadi, pentas ASWARA menjadi saksi kepada sebuah persembahan luar biasa menerusi showcase “Pistol & Bunga”, hasil kolaborasi istimewa antara gitaris legenda Edrie Hashim dan kumpulan rock wanita tersohor, Candy, bersama barisan pelajar berbakat dari ASWARA.
Showcase ini bukan sekadar konsert biasa, sebaliknya sebuah pertembungan dua generasi rock yang diadun dengan penuh tenaga, kreativiti, dan semangat, lalu menghadirkan kepuasan mutlak buat setiap penonton yang hadir. Dari riff gitar bertenaga hingga vokal lantang yang menusuk kalbu, pentas ASWARA malam itu benar-benar hidup dengan jiwa rock.
Lebih menarik, persembahan ini bertemakan “Gun and Roses”, menjadikan suasana semakin meriah apabila hampir semua pengunjung tampil dengan gaya berinspirasikan tema tersebut.
Karisma Edrie Hashim yang sudah sinonim dengan dunia rock tanah air bergabung dengan keanggunan dan kehebatan Candy di pentas, memperlihatkan bagaimana muzik mampu menyatukan generasi lama dan baru. Dengan sokongan pelajar ASWARA, persembahan ini menjadi manifestasi bahawa legasi rock tidak pernah mati dan ianya terus bernafas, berkembang, dan berevolusi.
Buat julung kalinya, “Pistol & Bunga” bukan hanya berjaya menghiburkan, malah memberi isyarat bahawa projek kolaborasi sebegini wajar diteruskan pada masa hadapan. Malam itu, jelas terpancar kepuasan, nostalgia, dan harapan bahawa rock Malaysia masih berbisa, dan generasi baharu sudah bersedia untuk menyambung legasi yang hampir ditelan masa.



