Dalam dewan yang penuh manusia namun teratur, penonton duduk disiplin seolah-olah menghadiri sebuah majlis rasmi namun getaran rock yang mengalir di pentas memecahkan semua protokol malam itu. Walau terikat pada kerusi, jiwa mereka tidak pernah duduk diam. Kepala mengangguk, tangan terangkat, dan sesekali ada sorakan tertahan dan tersekat yang cuba melawan batas ruang yang sempit.
Di tengah pentas, Awie berdiri sebagai panglima. Vokalnya memancar tenaga, masih berbisa, masih mampu menggoncang dada pendengar. Setiap bait yang dilontarkan menggetarkan jiwa, muzik dan melodi mula bergema dan ada detik tertentu kata-katanya menyentap hati sebahagian penonton seolah-olah ada mesej yang dituju, ada luahan yang tidak semua bersedia mendengar. Namun begitu, penghayatan penonton tidak pernah luntur. Mereka menerima, menelan, dan cuba mengerti apakah yang tersirat dalam nada dan kata beliau.

Di luar pentas, riak selepas konsert mula bergelora.
Dalam hantaran baharu Eddie Wings hanya menulis dua perkataan: “move on” satu frasa pendek tetapi tajam, seakan menandakan beliau tidak mahu memanjangkan apa-apa isu atau lontaran kata yang kedengaran pada malam tersebut. Perkataan itu bagaikan percikan kecil yang memadamkan perbalahan di kalangan peminat.
Peminat di Media sosial mula berpecah dua:
Ada yang setuju, mengatakan setiap insan, termasuk legenda, berhak meluahkan rasa.
Ada pula yang tidak bersetuju, merasakan kata-kata itu terlalu mengguris dan tidak kena pada waktunya.
Namun dalam pertembungan pendapat itu, satu hakikat tetap berdiri megah semua pihak sebenarnya mencintai muzik dan legasi yang sama. Semua sayang dengan jenama “WINGS”. 40 tahun legasi ini kekal menjadi penghibur nombor satu negara.
Sebagai peminat, kadang-kadang kita dipaksa belajar tentang suatu perkara yang lebih besar daripada lagu dan pentas iaitu:
REDHA.
Redha bahawa idola kita juga manusia, redha bahawa setiap persembahan membawa cerita yang tidak selalu sempurna, dan redha bahawa dunia muzik, seperti hidup, ada pasang-surutnya.
Malam itu bukan sekadar sebuah konsert. Ia adalah bab kecil dalam perjalanan rock tanah air yang penuh suara, penuh rasa, penuh tafsiran. Dan seperti kata Eddie… mungkin, untuk sebahagian daripada kita, inilah masanya untuk move on, tetapi tetap menyimpan malam tersebut sebagai satu detik yang tidak akan berulang dengan cara yang sama.
Bernafas dalam lumpur
Bangbu
Saya mesti rajin

