Sakura Band Realisasikan Impian Dengan Single Raya Pertama “Raya Di Kampung”

Sakura Band Realisasikan Impian Dengan Single Raya Pertama “Raya Di Kampung”

Oleh: Bangbu Besihitam

KUALA LUMPUR – Bersempena sambutan Aidilfitri yang bakal tiba, kumpulan pop rock tempatan Sakura Band tampil dengan single raya pertama mereka berjudul “Raya Di Kampung”, sebuah lagu yang menggabungkan elemen nostalgia dengan sentuhan muzik moden.

Menurut anggota kumpulan yang juga mewakili Sakura Band, Mell atau Melley Matius, penerbitan lagu raya sememangnya menjadi antara impian yang ingin direalisasikan sejak awal penubuhan kumpulan tersebut.

“Lagu raya memang antara wishlist Sakura Band untuk kami hasilkan. ‘Raya Di Kampung’ bertemakan balik kampung kerana kami mahu gambarkan perasaan seronok dan teruja untuk pulang beraya bersama keluarga.

“Idea lagu ini sebenarnya terinspirasi daripada lagu Balik Kampung nyanyian Sudirman. Kami mahu cipta lagu balik kampung dengan muzik zaman sekarang, tetapi pada masa sama masih mengekalkan perasaan nostalgia raya itu,” katanya.

MEL SAKURA

Tambah Mell, proses kreatif penghasilan lagu tersebut berjalan secara lancar, organik dan spontan tanpa terlalu menekankan aspek teknikal yang berlebihan.

“Kami tak terlalu tekankan bahagian teknikal. Apa yang lebih penting, kami mahu pendengar rasa santai, enjoy dan benar-benar masuk dalam mood balik kampung. Lagu ini memang dicipta supaya mudah didengar dan dekat dengan hati,” jelasnya.

Dari segi susunan muzik pula, “Raya Di Kampung” mengambil inspirasi daripada single terdahulu Sakura Band berjudul “Polaroid”, sekali gus mengekalkan identiti bunyi dan susunan muzik yang sinonim dengan kumpulan itu.

Namun bagi memberikan warna istimewa sempena Aidilfitri, elemen tradisional Melayu turut disuntik dalam komposisi lagu tersebut.

“Kami masih kekalkan identiti Sakura Band berdasarkan lagu ‘Polaroid’, cuma untuk lagu raya ini kami gabungkan juga elemen tradisional Melayu supaya suasana raya itu lebih terasa,” ujar Mell.

Melalui lagu “Raya Di Kampung”, Sakura Band berharap pendengar dapat merasai kegembiraan serta keterujaan pulang ke desa untuk menyambut Aidilfitri bersama insan tersayang.

Malah, lagu ini juga ditujukan kepada mereka yang tidak berpeluang pulang ke kampung halaman.

“Kami nak semua orang rasa happy dan enjoy bila dengar lagu ini. Bagi yang tak dapat balik kampung pula, kami harap lagu ini boleh buat mereka tetap rasa perasaan seronok itu walaupun mungkin tak dapat pulang beraya,” katanya lagi.

Mengulas mengenai makna peribadi lagu tersebut kepada kumpulan berkenaan, Mell menyifatkan “Raya Di Kampung” sebagai satu pencapaian penting dalam perjalanan seni Sakura Band.

“Bagi kami, lagu ini melambangkan satu pencapaian besar kerana akhirnya kami mempunyai lagu raya sendiri. Ia sangat bermakna dalam perjalanan kerjaya Sakura Band dan kami harap ia dapat diterima semua lapisan pendengar, sekali gus lebih menonjolkan identiti kami kepada umum,” jelasnya.

Single “Raya Di Kampung” merupakan hasil ciptaan Nawfas dan Melley Matius, dengan lirik sepenuhnya ditulis oleh Melley sendiri. Lagu ini diterbitkan menerusi kerjasama Sakura Band bersama Wan 6ixthsense, Koh Kpro, Bajai, Amat Octo dan Harry Bakhari, manakala proses adunan dan mastering disempurnakan oleh Koh Kpro.

Dengan gabungan elemen moden dan tradisional, “Raya Di Kampung” diharapkan mampu menjadi antara runut bunyi wajib setiap kali tibanya Syawal, sekali gus menghangatkan lagi suasana pulang ke desa bersama keluarga tercinta.

Single “Raya Di Kampung” terbitan Seventeen Eleven Music kini boleh distrim di semua platform penstriman muzik digital utama.

Terbaru