ANDI BERNADEE KEMBALI DENGAN LAGU BAHARU “AKU NAK KAHWIN”,  ANTHEM SANTAI BUAT YANG MASIH MENUNGGU JODOH

Kuala Lumpur, 13 April 2026 – Penyanyi dan penghibur versatil, Andi Bernadee, kembali mencuri perhatian dengan pelancaran single terbaharunya, “Aku Nak Kahwin”, sebuah lagu santai yang mengangkat realiti kehidupan ramai, khususnya mereka yang sedang menanti jodoh.

Mengangkat tema yang dekat dengan masyarakat, “Aku Nak Kahwin” berkisarkan tentang seseorang yang sudah bersedia untuk berkahwin, namun masih menunggu jodoh yang dipermudahkan. Dengan lirik yang jujur dan bersahaja, lagu ini turut menyentuh tentang tekanan daripada keluarga dan sekeliling, di samping harapan untuk membina cinta yang halal dan bahagia.

ANDI BERNADEE

Menurut Andi, lagu ini mempunyai kekuatan dari segi mesej yang mudah difahami dan dekat dengan pengalaman ramai. “‘Aku Nak Kahwin’ terasa sangat dekat dengan realiti ramai orang, terutamanya mereka yang sudah lama single dan bersedia untuk melangkah ke alam perkahwinan. Lagu ini membawa mesej yang jujur dengan lirik yang straightforward, menjadikannya mudah untuk pendengar kaitkan dengan pengalaman sendiri,” jelasnya.

Dalam landskap muzik semasa yang banyak dipenuhi lagu bertemakan kekecewaan cinta, Andi melihat single ini sebagai satu nafas baharu. “Saya rasa kita agak kurang lagu dengan tema sebegini. Kebanyakan lagu di carta sekarang lebih kepada kisah putus cinta atau kecurangan. Jadi, ‘Aku Nak Kahwin’ hadir dengan vibe yang lebih ringan dan positif, sedikit perubahan mood yang lebih ‘happy’ untuk pendengar,” tambahnya.

Lagu ini juga mengetengahkan isu yang sering dihadapi oleh generasi muda, terutamanya berkaitan tekanan sosial dan keluarga. “Isu ini memang sudah lama wujud dan masih relevan hingga hari ini. Lebih-lebih lagi apabila berkumpul dengan keluarga, soalan seperti ‘bila nak kahwin?’ pasti akan timbul. Pada saya, penting untuk kita hadapinya dengan tenang dan tidak terlalu beremosi, serta sentiasa bergantung kepada sokongan diri sendiri dan orang terdekat,” kata Andi.

Dari sudut produksi, “Aku Nak Kahwin” menampilkan gabungan elemen nyanyian dan rap yang memberikan kelainan pada karya ini. “Dari segi penyampaian, lagu ini kedengaran santai dan tidak terlalu berat dari segi vokal. Namun, ia tetap memerlukan kawalan pernafasan yang baik. Apa yang menarik adalah gabungan dua elemen berbeza, nyanyian melodi dan rap yang memberikan warna tersendiri kepada lagu ini, dan pada masa sama menjadi satu cabaran yang menyeronokkan untuk saya,” jelasnya lagi.

Di sebalik pelancaran ini, Andi turut berkongsi bahawa perjalanan untuk merealisasikan lagu ini bersama album penuhnya, “Ding Geding”, bukanlah sesuatu yang mudah. Sebelum ini, perancangan pelancaran terpaksa ditangguhkan apabila beliau diuji dengan masalah kesihatan. Namun begitu, tempoh tersebut menjadi ruang untuk beliau berehat, pulih sepenuhnya, dan kembali dengan semangat serta tenaga yang lebih baik. Kini, dengan keadaan kesihatan yang semakin pulih, Andi bersyukur akhirnya dapat berkongsi karya ini kepada peminat.

Selain menyampaikan kisah yang relatable, lagu ini turut membawa mesej positif tentang kehidupan dan kebahagiaan. “Lagu ini membawa mesej yang ringan tetapi bermakna bahawa status seseorang tidak menentukan kebahagiaan. Sama ada single atau sudah berkahwin, setiap orang ada perjalanan masing-masing. Saya berharap ‘Aku Nak Kahwin’ dapat memberi rasa positif kepada pendengar dan menjadi pembukaan yang baik untuk album penuh saya yang akan datang, ‘Ding Geding’,” ujar Andi.

Aku Nak Kahwin” boleh didengari di semua platform penstriman digital pada 17 April 2026


Profile Andi Bernadee

Instagram | Tiktok | Youtube

______

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Kamareina Zakirah

PR Executives

kamareina.ahmadkamarulariffin@umusic.com

Terbaru