
BARBARIK LIVE IN SANDAKAN: MALAM KEBANGKITAN ROCK BORNEO
Oleh: Bangbu Besihitam
Pada 11 April 2026, Kompleks Sukan Sibuga di Sandakan menjadi saksi kepada satu malam yang tidak akan mudah dilupakan. Setelah sekian lama daerah ini sunyi daripada kehadiran konsert rock berskala besar, akhirnya Borneo Rockstorm 2026 hadir mengembalikan semula denyut nadi muzik keras yang pernah menggegarkan bumi ini suatu ketika dahulu.
Seawal petang, suasana sudah mula terasa berbeza. Para peminat rock dari pelbagai daerah Tawau, Kota Kinabalu, Lahad Datu dan Sandakan sendiri berkumpul dengan satu tujuan menyaksikan kebangkitan semula rock di bumi Borneo. Tirai pembukaan tidak dibiarkan sepi. Barisan band tempatan tampil menghangatkan pentas dengan penuh semangat.
Apabila tirai persembahan dibuka, pentas mula “bernafas” dengan kemunculan Rimbayu dari Lahad Datu. Mereka membuka konsert dengan warna tersendiri, memberi sentuhan awal yang cukup bermakna. Seterusnya, Rock Cangkul dari Kota Kinabalu mengambil alih pentas dengan gaya unik mereka yang mencuri perhatian penonton.
Momentum terus meningkat apabila RockSteady dari Tawau tampil dengan persembahan bertenaga dan groove yang mantap. Tidak lama kemudian, giliran Roktrus dari Kota Kinabalu pula menggegarkan pentas dengan persembahan yang kemas dan penuh disiplin.
Menjelang kemuncak opening act, suasana semakin panas apabila RENEWAR dari Sandakan muncul dengan semangat tuan rumah yang membara. Mereka berjaya menutup segmen pembukaan dengan cukup bergaya, seolah-olah memberi isyarat bahawa sesuatu yang lebih besar bakal berlaku.
Setiap band membawa identiti masing-masing, dan tanpa disedari, mereka telah membina satu gelombang tenaga yang semakin membesar gelombang yang akhirnya disambut oleh kemunculan Barbarik sebagai main act malam itu.
Menurut penganjur, pemilihan Sandakan sebagai lokasi bukanlah sesuatu yang kebetulan. Daerah ini sudah lama tidak menerima kunjungan konsert rock berskala besar. Kali terakhir aura sebegini dirasai sudah terlalu lama, seolah-olah pentas rock di sini menunggu masa untuk dihidupkan kembali. Maka, pilihan untuk membawa Barbarik kumpulan yang kini sedang mencipta momentum besar di Semenanjung adalah satu langkah yang cukup tepat.
Apabila Barbarik akhirnya muncul di pentas, suasana terus berubah menjadi luar biasa. Sorakan penonton bergema, lampu pentas menyala garang, dan dentuman muzik mula menguasai ruang. Vokal MUS jelas menjadi nadi utama malam itu,kasar, padu dan penuh emosi. Lagu-lagu seperti Peluru Cokelat dan Nasib Baik dibawakan dengan penuh tenaga, manakala Krisis di Pertengahan Hidup benar-benar menggegarkan suasana apabila seluruh penonton menyanyi bersama.
Malam semakin hangat dengan kemunculan tetamu istimewa, Eddie dan Black, yang membawa aura nostalgia ke dalam persembahan. Lagu On My Side membuka segmen ini dengan penuh gaya, diikuti Biru Mata Hitamku yang membuatkan penonton tenggelam dalam kenangan lama.
Dalam kehangatan sambutan Hari Raya, Barbarik turut menghadiahkan Keroncong Hari Raya sebuah selingan santai yang unik sebelum mereka kembali menghentam pentas dengan Semalam Yang Hangat. Seperti yang dijangka, Keris Tak Bersarung menjadi lagu wajib yang dinanti-nantikan, dinyanyikan bersama oleh seluruh penonton dengan penuh semangat. Besihitam.
Selain kehebatan persembahan yang ditampilkan, malam tersebut turut menyaksikan satu momen istimewa yang cukup mencuri perhatian peminat setia Barbarik. Ini merupakan kemunculan pertama “senjata sakti” milik JoBranko Gibson Les Paul Cobra Burst di pentas Borneo.
Kemunculan gitar ikonik itu bukan sekadar pelengkap visual, tetapi menjadi simbol kekuatan dan karakter JoBranko sendiri di atas pentas. Setiap petikan yang keluar daripadanya seolah-olah membawa aura tersendiri garang, tajam dan penuh jiwa. Tidak hairanlah apabila penonton dan peminat yang hadir jelas teruja, seakan menyaksikan satu lagi sejarah kecil tercipta di Sandakan.
Sebagai penutup, lagu Sendiri dipersembahkan dengan penuh perasaan, memberikan ruang kepada penonton untuk “turun” perlahan selepas dibawa terbang tinggi sepanjang malam.
Kejayaan konsert ini bukan sahaja terletak pada persembahan di atas pentas, tetapi juga usaha di belakang tabir. JoBrankobersama pasukan Barbarik, pengurusan oleh Noh Alonso, serta crew dan jurutera bunyi seperti Rahmad Kamikaze memainkan peranan besar memastikan setiap detik berjalan lancar. Tidak dilupakan, kehadiran Rejim Barbarik yang datang dari pelbagai pelosok Sabah merekalah yang benar-benar menghidupkan suasana malam tersebut.
Kesimpulannya, BarbarikLive in Sandakan bukan sekadar konsert. Ia adalah satu kebangkitan. Satu peringatan bahawa rock masih hidup, masih bernafas, dan masih mempunyai tempat yang kuat di hati peminat, khususnya di Borneo.
Malam itu, Sandakan bukan sekadar menjadi lokasi tetapi menjadi saksi kepada lahirnya semula semangat rock yang tidak pernah padam. Saya mesti rajin. Warga Sabah Sentiasa dihati.
Gelap Nan Terang,
Bangbu Besihitam
saya Mesti Rajin
#besihitam #sayamestirajin #ulasankonsert #rockstorm2026

