Momen Epik Dua Dekad Akan Berulang di Tahun 2026 The Grand Slam Unplugged 2 di Mega Star Arena Kuala Lumpur

Momen Epik Dua Dekad Akan Berulang di Tahun 2026 The Grand Slam Unplugged 2 di Mega Star Arena Kuala Lumpur

Tiket Sudah Terjual Lebih 60 Peratus!

Sesuatu yang epik seperti sebuah konsert dengan momen luar biasa yang terjadi secara semula jadi sangat sukar untuk diulang. Namun, ia mampu diterjemahkan semula dengan rasa yang lebih kaya seolah-olah membawa peminat kembali menyusuri terowong masa dalam sebuah atmosfera baharu yang lebih besar dan lebih bermakna.

Pengalaman hebat itu, pertembungan antara momen epik dan perayaan repertoir yang cukup besar, bakal dipersembahkan menerusi sebuah konsert istimewa yang diberi nama The Grand Slam Unplugged 2.

Konsert ini menjadi sekuel paling dinanti selepas edisi perdana yang berlangsung dua dekad lalu kembali dihidupkan dengan segala rasa “throwback”, namun kini tampil dalam bungkusan lebih gah dan moden.

Momen magis malam 3 Ogos 1996 di Stadium Merdeka bakal berulang. Bukan sekadar mahu menghidupkan kembali sejarah The Grand Slam Unplugged yang tetap berlangsung gah meskipun berdepan gangguan elektrik ketika itu, tetapi The Grand Slam Unplugged 2 hadir untuk mencipta momen baharu daripada kenangan silam yang masih hidup dalam jiwa peminat.

Konsert bersejarah ini akan berlangsung pada 20 Jun 2026 di Mega Star Arena Kuala Lumpur, lokasi yang bakal menyatukan semua jiwa yang membesar bersama lagu-lagu Slam untuk kembali bernostalgia.

“The Grand Slam Unplugged 2 adalah sebuah reminisensi, perasaan, kenangan dan keraian lagu-lagu Slam yang hidup sejak era kaset, masuk ke era cakera padat (CD) sehingga ke dunia penstriman dan tetap diterima baik oleh peminat kami.

“Ia bukan sebuah konsert ulang tayang. Ia juga bukan sebuah konsert yang dilahirkan kerana mengambil kesempatan di atas sejarah gangguan elektrik yang berlaku sewaktu The Grand Slam Unplugged di Stadium Merdeka, 20 tahun lalu.

“Tapi ini tentang sebuah apresiasi serta perayaan yang meraikan karya dan peminat. Ia tentang kekuatan Slam mengharungi badai dan terus kekal relevan sehingga hari ini,” ujar gitaris Slam, Shah.

Menurut pemain dram Slam, Osman Khalid, sambutan peminat terhadap konsert tersebut sangat luar biasa apabila jualan tiket kini sudah mencecah lebih 60 peratus.

“Kami sangat bersyukur dan berterima kasih dengan sokongan peminat. Setelah tiket dilancarkan pada 13 Februari lalu, setakat ini sudah 70 peratus tiket dijual.

“Kami yakin peminat masih setia bersama Slam dan perkara ini sangat mengharukan buat kami,” katanya.

Bagi menambahkan lagi kemeriahan malam penuh nostalgia itu, Slam turut menjemput tiga figura penting industri muzik tanah air yang cukup sinonim dengan pembikinan karya-karya ‘masterpiece’ Malaysia.

Antara nama besar yang bakal mewarnai pentas The Grand Slam Unplugged 2 ialah Aznan Alias, JoBranko dan Kid Search.

Tiga Gitaris Hebat Malaya Nan,Kid dan Jobranko

Ketiga-tiga gitaris ini memiliki identiti dan “signature” tersendiri dalam industri muzik Malaysia, sekali gus menjadikan konsert ini lebih istimewa.

“Saya menyifatkan ini sebagai sebuah undangan istimewa dan sesuatu yang tidak pernah disangka-sangka.

“Saya sangat menghargai jemputan ini. Bagi saya, Slam adalah wajah sebenar genre Pop Melayu,” ujar Aznan Alias yang juga merupakan gitaris dan Pengarah Muzik untuk konsert-konsert Dato’ M. Nasir, Dato’ Awie dan ramai lagi penyanyi terkenal tanah air.

Bagi JoBranko pula, penglibatannya dalam konsert mega ini disifatkan sebagai lambang silaturahim sesama pemuzik dan sahabat industri.

“Tentu sekali saya berbangga untuk terlibat dalam projek mega Slam ini. Sebagai pemuzik dan sahabat, saya melihat Slam sebagai sebuah kumpulan yang hebat kerana mampu bertahan selama berpuluh tahun.

“Lebih membanggakan, Slam dianggotai lima kepala dan semuanya perlu menjadi satu, bersatu untuk kekal sehingga kini,” ujar JoBranko.

Tambahnya lagi, kekuatan lagu-lagu malar segar milik Slam menjadi faktor utama mengapa kumpulan itu terus relevan dan disokong peminat sehingga hari ini.

“Slam memiliki banyak lagu evergreen dan peminat tegar. Saya percaya The Grand Slam Unplugged 2 akan berlangsung dengan sukses,” katanya.

Menurut Kid Search pula, penglibatannya dalam konsert tersebut adalah satu bentuk apresiasi sesama pemuzik walaupun datang daripada latar genre yang berbeza.

“Muzik sentiasa menyatukan kita. Tidak kisah saya datang daripada kumpulan apa atau Slam membawa muzik yang berbeza genre, namun kita meraikan semuanya.

“Terima kasih buat Slam kerana menjadikan saya sebahagian daripada momen epik pada malam The Grand Slam Unplugged 2 nanti,” katanya.

Segala yang dirancang mahu dilaksanakan dengan penuh sempurna. Slam mahu kehangatan yang pernah tercipta dalam sejarah The Grand Slam Unplugged kembali dirasai dalam versi yang lebih matang dan emosional.

“Malam itu akan menjadi momen kita semua kembali merindu dan semoga tidak ada yang terasing dalam sepi. Itu janji Slam.

“Apa yang pasti, The Grand Slam Unplugged 2 akan menjadi medan ‘Masih Ada Cahaya’ dalam perjalanan Slam dan anda semua,” ujar Shah lagi.

Orang ramai yang ingin menjadi sebahagian daripada malam penuh sejarah ini disarankan mendapatkan tiket segera sebelum kehabisan.

Kategori PS3 dan PS4 telah pun habis terjual.

Harga Tiket:

  • GRAND VIP — RM3000 (Couple Sofa)
  • VIP (Gold) — RM468 (Numbered Seating)
  • PS1 (Silver) — RM388 (Numbered Seating)
  • PS2 (Platinum) — RM368 (Numbered Seating)
  • PS3 & PS4 — SOLD OUT

Harga tiket tidak termasuk caj pemprosesan tiket dan caj gerbang pembayaran.

Tandakan kalendar anda pada 20 Jun 2026 dan satukan hati bersama Slam di Mega Star Arena Kuala Lumpur menerusi The Grand Slam Unplugged 2.

Tiket boleh didapati menerusi

Terbaru