ROCKHAUZ VOLUME 1 SATUKAN GENERASI ROCK, HIDUPKAN SEMULA SEMANGAT GIG TEMPATAN

ROCKHAUZ VOLUME 1 SATUKAN GENERASI ROCK, HIDUPKAN SEMULA SEMANGAT GIG TEMPATAN

KUALA LUMPUR, 13 Jun 2026 – Ketika ruang untuk muzik secara langsung semakin mencabar, sebuah inisiatif baharu tampil membawa sinar buat komuniti rock tempatan menerusi penganjuran RockHauz Volume 1, yang berlangsung meriah di BE KL, Cheras pada Sabtu lalu.

Menghimpunkan gabungan bakat muda bersama nama berpengaruh dalam industri, acara tersebut membuktikan bahawa semangat Rock N Roll masih terus bernyawa dan mendapat tempat dalam kalangan generasi baharu.

RockHauz Volume 1 dianjurkan dengan tujuan menghidupkan semula budaya persembahan muzik secara langsung selain membuka ruang kepada pemuzik muda untuk mengetengahkan karya mereka kepada khalayak yang lebih luas.

Barisan persembahan malam itu menampilkan Suav, The Alif, BigTones, The Rudean serta kemunculan istimewa gitaris tersohor negara, Edrie Hashim, menerusi segmen khas Edrie Hashim’s Experience.

Acara yang bermula sekitar jam 8 malam membuka tirai dengan persembahan Suav sebelum disusuli oleh The Alif yang membawakan beberapa karya mereka termasuk Substansi, Ya Ya Ya, The Story, Antologi Sakit Otak, Obsessive Love Disorder dan Radio.

Momentum malam diteruskan oleh BigTones yang berjaya menarik perhatian penonton menerusi lagu-lagu seperti Tangkap Muat, Funky Si Bebal, Melodi Untukmu, Pemuda Al-Bana serta sebuah tribute khas menerusi Jerangkung Dalam Almari.

Namun antara momen paling dinantikan sudah tentunya kemunculan Edrie Hashim yang tampil menerusi segmen khas beliau sendiri.

Beliau membuka persembahan dengan lagu Last Caress nyanyian asal kumpulan punk legenda Misfits sebelum mempersembahkan karya instrumental solo berjudul Terpaling.

Persembahan diteruskan dengan Answers, karya gitar virtuoso daripada Steve Vai, sebelum menutup set dengan lagu baharu ciptaannya sendiri berjudul Caramel Mocha Latte Rindu.

Kehadiran Edrie bukan sahaja memberikan nilai tambah kepada acara tersebut, malah menjadi simbol penyatuan antara generasi lama dan baharu dalam industri muzik tempatan.

Menurut beliau, usaha dan komitmen yang ditunjukkan oleh band-band muda yang menjayakan RockHauz Volume 1 merupakan sesuatu yang amat positif dalam memastikan kesinambungan scene muzik rock tempatan terus berkembang.

Lebih penting, acara ini berjaya mencapai objektif utamanya iaitu menyediakan platform kepada pemuzik muda untuk berkongsi pentas dengan nama yang lebih berpengalaman dalam industri.

Dalam suasana di mana semakin banyak ruang persembahan muzik berdepan cabaran untuk terus bertahan, RockHauz hadir sebagai satu platform yang bukan sahaja memberi peluang kepada pemuzik memperkenalkan karya mereka, malah mengukuhkan hubungan antara artis, penggiat industri dan peminat muzik.

Sambutan yang diterima sepanjang acara membuktikan bahawa masih wujud komuniti yang aktif menyokong muzik tempatan dan menghargai pengalaman menikmati persembahan secara langsung.

Penganjur turut menyatakan hasrat untuk menjadikan RockHauz sebagai platform berterusan yang mampu melahirkan lebih banyak peluang kepada bakat-bakat baharu serta memperkukuhkan jaringan komuniti muzik rock tempatan.

Dengan kejayaan penganjuran edisi sulung ini, RockHauz dilihat berpotensi menjadi antara platform penting dalam memperkasakan semula budaya gig dan persembahan muzik alternatif di Malaysia.

RockHauz Volume 1 akhirnya membuktikan satu perkara Rock N Roll tidak pernah mati. Ia hanya menunggu ruang untuk kembali bergema, dan malam itu, di Cheras, ia kembali hidup dengan cukup lantang.


INFO ACARA

RockHauz Volume 1
📍 BE KL, Cheras
📅 13 Jun 2026
🕗 8.00 malam – 12.00 tengah malam

Barisan Persembahan:

  • Suav
  • The Alif
  • BigTones
  • Edrie Hashim’s Experience (Special Guest)
  • The Rudean

Untuk Pertanyaan Media:
RockHauz Management
Ibby BigTones – 019-395 4483

Foto: RockHauz Management / BESIHITAM

Terbaru