SURAT TERBUKA MALAYSIA MUSIC RIGHTS ALLIANCE (MMRA) KEPADA AHLI PARLIMEN MALAYSIA
Malaysia Music Rights Alliance (MMRA) menggesa penggubal undang-undang Malaysia untuk menegakkan dan memperkukuh undang-undang Hak Cipta Malaysia bagi memastikan pembangunan pelbagai model Kecerdasan Buatan (AI) tidak mengeksploitasi muzik berhak cipta dan karya kreatif lain tanpa persetujuan pemegang hak cipta yang berkenaan.
Memandangkan teknologi AI terus berkembang pesat, pemain industri muzik Malaysia percaya perlindungan undang-undang yang lebih kukuh diperlukan untuk melindungi penulis lagu, penyanyi, pemuzik, penerbit rakaman audio/video dan pemegang hak cipta.

Dalam usaha bersepadu untuk melindungi industri muzik, MMRA telah menghantar surat bersama kepada Perdana Menteri, Menteri Digital, Menteri Komunikasi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri & Kos Sara Hidup, Pengawal Hak Cipta (Ketua Pengarah MyIPO) dan Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Kecerdasan Buatan Negara (NAIO).
Surat tersebut secara rasmi menggariskan kebimbangan mendesak MMRA mengenai trajektori semasa tadbir urus AI dan keperluan perlindungan undang-undang yang kuat untuk karya muzik dan rakaman bunyi.
AI merupakan fenomena yang memberi kesan besar kepada manusia di seluruh dunia dengan potensi untuk meningkatkan daya usaha manusia, namun penggunaannya yang semakin meluas di dalam pelbagai sektor industri membawa cabaran tersendiri.
MMRA semakin bimbang dengan penyalahgunaan pembangun AI terhadap kandungan berhak cipta, khususnya penggunaan muzik berhak cipta serta harta intelek yang lain tanpa kebenaran pemilik hak cipta dalam latihan model AI berkenaan.
Perikatan ini mengalu-alukan pembahasan di Parlimen baru-baru ini tentang isu muzik janaan AI sebagai satu langkah penting ke hadapan. MMRA menyokong hasrat penggubal perundangan untuk menangani isu ini dan menawarkan kepakaran bagi memberikan input khusus industri muzik kepada Ahli Parlimen dan Kerajaan Malaysia.
Pendirian MMRA Mengenai Tadbir Urus dan Pengecualian Perlombongan Teks dan Data (TDM)
MMRA membantah sekeras-kerasnya sebarang cadangan yang akan membenarkan pembangun AI melombong karya berhak cipta tanpa kebenaran atau pampasan kepada pencipta.
Ini termasuk cadangan untuk pengecualian Perlombongan Teks dan Data (TDM) dalam Akta Hak Cipta 1987 atau mana-mana perundangan yang berkaitan.
Persetujuan Pemegang Hak Adalah Terpenting
MMRA menegaskan bahawa persetujuan jelas pemegang hak adalah penting dan mesti menjadi asas bagi sebarang penggunaan kandungan berhak cipta oleh pembangun AI.
MMRA berpendapat bahawa tiada bahan berhak cipta yang boleh digunakan untuk melatih atau membangunkan sistem AI tanpa kebenaran terlebih dahulu daripada pencipta dan pemilik hak cipta.
Rangka Kerja Bersama: Skop dan Prinsip Teras
Ahli MMRA telah mewujudkan rangka kerja bersama berdasarkan prinsip asas bahawa hak cipta berasal daripada pengalaman, titik peluh dan kemahiran manusia, bukan daripada kod yang dijana mesin.
Oleh itu, sebarang kandungan yang dihasilkan semata-mata oleh AI tidak seharusnya mendapat manfaat daripada perlindungan undang-undang hak cipta yang diberikan kepada pencipta manusia.
MMRA komited untuk memastikan hak pencipta ditegakkan dalam era AI dan berharap dapat bekerjasama dengan pembuat dasar untuk mewujudkan rangka kerja perundangan yang kuat yang melindungi industri kreatif Malaysia.
Ketelusan dan Akauntabiliti Dalam Pembangunan AI
Selain mendapat kebenaran pemegang hak cipta, MMRA menyeru ketelusan dan akauntabiliti yang lebih kukuh dalam data pembangunan AI.
Pembangun AI harus diwajibkan untuk menyimpan rekod lengkap bahan berhak cipta yang digunakan dalam set data latihan, membolehkan pemegang hak mengesahkan penggunaan dan menguatkuasakan hak mereka.
Pelabelan Wajib Kandungan AI
Bagi melindungi pengguna dan integriti ekosistem industri kreatif negara, MMRA menyokong pelabelan mandatori kandungan yang dihasilkan oleh AI.
Orang ramai berhak untuk mengetahui sama ada muzik atau kandungan yang mereka gunakan adalah hasil seni manusia atau kod yang dihasilkan oleh mesin.
Piawaian penanda air (watermarking) dan pelabelan yang jelas adalah penting untuk mengelakkan kekeliruan antara karya buatan manusia dan yang dihasilkan oleh mesin serta untuk mengurangkan peningkatan ‘deepfake’ dan kandungan yang dihasilkan oleh AI yang tidak dibenarkan.
MMRA menegaskan bahawa tanpa perlindungan yang sewajarnya, sistem AI mungkin menggunakan lagu, suara artis, persembahan dan karya kreatif lain untuk menghasilkan kandungan yang bersaing tanpa pengetahuan, persetujuan atau pampasan yang adil kepada para pencipta.
Ini bukan sahaja mengancam mata pencarian pencipta tetapi juga berisiko mengurangkan nilai seni manusia yang tulen dalam ekosistem industri kreatif negara.
Melindungi Salah Satu Tonggak Pertumbuhan Ekonomi Negara
Industri kreatif negara merupakan antara tonggak pertumbuhan ekonomi Malaysia dan secara konsisten memacu pembangunan negara melalui sumbangan besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pewujudan pekerjaan dan hasil cukai.
Berdasarkan kajian impak ekonomi oleh firma perunding PricewaterhouseCoopers (PwC) yang ditugaskan oleh RIM bagi tempoh 2016 hingga 2020, industri muzik menjana output ekonomi tahunan berjumlah RM19.4 bilion, menyokong 111,129 pekerjaan dan menyumbang RM531 juta cukai kepada kerajaan.
Bagi mengekalkan pencapaian ini, industri muzik menegaskan bahawa perlindungan harta intelek bukan lagi sekadar keperluan undang-undang, tetapi satu kewajipan ekonomi.
Memastikan rangka kerja hak cipta yang ketat adalah penting bagi menjamin sumbangan kewangan sektor ini terus berkembang tanpa halangan daripada ancaman cetak rompak digital dan eksploitasi kandungan berhak cipta tanpa kebenaran.
Dengan melindungi hak pencipta, Malaysia menjamin aliran pendapatan yang penting untuk memupuk ekonomi kreatif yang berdaya tahan dan mampu bersaing di pentas dunia.
Mengenai MMRA
Malaysia Music Rights Alliance (MMRA) ialah gabungan yang terdiri daripada RIM (Persatuan Industri Rakaman Malaysia), MPA (Music Publishers Association Malaysia), MACP (Music Authors’ Copyright Protection Berhad), PPM (Public Performance Malaysia Berhad) dan RPM (Recording Performers Malaysia Berhad).
MMRA mewakili kepentingan kolektif pencipta lagu, penyanyi, pemuzik dan penerbit muzik di Malaysia, memastikan hak harta intelek mereka dilindungi dan diberi pampasan yang sewajarnya.
Petikan Daripada Ahli MMRA
Rosmin Hashim, Pengerusi RIM dan PPM
“Industri muzik Malaysia dibina selama beberapa dekad hasil kreativiti dan usaha pencipta manusia. Oleh itu, kami menggesa kerajaan untuk memastikan pembangun AI mendapat kebenaran yang sewajarnya daripada pencipta berkenaan sebelum menggunakan muzik berhak cipta untuk melatih model AI mereka atau menjana sebarang output daripada model AI berkenaan.
Perlindungan hak cipta harus diperkukuh dalam era AI dan bukannya dilemahkan melalui pengenalan pengecualian Perlombongan Teks dan Data (TDM) di Malaysia.
Pengecualian TDM tidak boleh dibenarkan kerana ia akan menyebabkan kerugian besar bagi industri muzik Malaysia dan membolehkan cetak rompak digital.”
M. Nasir, Pengerusi MACP
“Hak cipta merupakan hak pencipta yang berakar umbi dalam pengalaman hidup manusia, dibentuk oleh keperibadian, emosi dan imaginasi yang hanya dimiliki oleh manusia.
Ia harus mengiktiraf karya yang lahir daripada minda manusia, di mana kreativiti bukan sekadar output atau penjanaan kandungan, ia merupakan ungkapan memori, budaya, perjuangan dan identiti.
Walaupun teknologi akan terus berkembang dan membantu proses kreatif, kepengarangan sebenar kekal berasaskan niat dan makna manusia, yang mana mesin tidak dapat meniru atau menterjemahkannya secara sebenar.”
Ng Ay Na, Pengerusi MPA
“Sebagai pengemudi karya muzik ahli kami, kami berharap dapat bekerjasama dengan AI bagi mempertingkatkan industri muzik, namun bagi penggunaan karya pemegang hak cipta, kebenaran harus diperolehi dan pampasan sewajarnya diberikan kepada pencipta di bawah Akta Hak Cipta yang adil dan kukuh.”
Sheila Majid, Pengerusi RPM
“Penghibur manusia mengubah komposisi mentah menjadi karya ekspresif melalui bakat, kreativiti dan kemahiran muzik.
Walaupun AI boleh berfungsi sebagai alat untuk menyokong kreativiti, ia tidak boleh digunakan untuk menyalin atau meniru karya orang lain kerana itu merupakan plagiarisme.
Muzik adalah satu bentuk seni yang bergantung pada keaslian dan pemikiran kreatif. Industri ini tidak boleh menggalakkan budaya menyalin atau plagiarisme yang dinormalisasi, tetapi sebaliknya melindungi dan memupuk kreativiti manusia yang tulen.
Oleh itu, kami menentang sekeras-kerasnya sebarang pengecualian Perlombongan Teks dan Data (TDM) yang membenarkan mesin belajar daripada seni unik penghibur tanpa persetujuan, sambil menafikan mereka kawalan atau manfaat yang adil daripada penggunaan tersebut.”

