D’MASIV BAWA “ASIA HOME RUN” KE KUALA LUMPUR, JANJI DUA JAM PENUH LAGU HIT
oleh: Bangbu Besihitam
KUALA LUMPUR: Selepas mengibarkan muzik mereka di Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun, D’Masiv kini menghalakan kompas perjalanan kembali ke rantau Asia menerusi jelajah “D’MASIV Asia Home Run”.
Taiwan, Hong Kong dan Singapura bakal menjadi antara persinggahan mereka. Namun sebelum tirai jelajah dilabuhkan di Jakarta, Kuala Lumpur dipilih sebagai destinasi terakhir, sebuah kota yang sejak sekian lama dianggap D’Masiv sebagai rumah kedua.
Dibawakan oleh Neptunes Presents, konsert “D’MASIV Asia Home Run Kuala Lumpur” bakal berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 20 November 2026, jam 8 malam.

Bukan sekadar datang membawa lagu, D’Masiv mahu menghidupkan kembali ikatan yang terbina bersama peminat Malaysia. Sebuah hubungan yang tidak pernah benar-benar terputus, cuma menunggu waktunya untuk kembali disambungkan melalui pentas, cahaya dan ribuan suara yang bernyanyi serentak.
Vokalis D’Masiv, Rian Ekky Pradipta berkata, jelajah tersebut bukan sekadar rangkaian konsert, tetapi perjalanan pulang kepada semangat yang membentuk muzik mereka sejak mula ditubuhkan.
“Setiap perjalanan D’Masiv bermula di Indonesia, khususnya di Ciledug dan di situlah semangat yang kami ingin bawa ke ‘Asia Home Run’.
“Kami datang lagi untuk bertemu peminat di pelbagai negara dengan membawa kehangatan muzik serta tenaga yang menjadi nadi perjalanan kami.
“Kami berharap semasa konsert berlangsung, penonton akan dapat merasai keakraban, seolah-olah mereka sedang menikmati persembahan dalam keselesaan seperti di kediaman sendiri,” katanya.

Lebih Dua Dekad Mengikat Jiwa Peminat
Ditubuhkan pada tahun 2003, D’Masiv bukan nama asing dalam peta muzik pop rock serantau. Lagu-lagu mereka pernah tumbuh bersama usia pendengar, menjadi teman kepada cinta yang datang, perpisahan yang meninggalkan luka dan semangat untuk kembali berdiri selepas rebah.
Kumpulan itu dianggotai Rian Ekky Pradipta selaku vokalis, Dwiki Aditya Marsall dan Nurul Damar Ramadan pada gitar, Rayyi Kurniawan Iskandar Dinata pada bass serta Wahyu Piadji pada dram.
Pemilihan Kuala Lumpur bukan berlaku secara kebetulan. Menurut Pengarah Projek Neptunes Presents, Shamsir Firdaus Shariman, Malaysia mempunyai tempat yang cukup istimewa dalam perjalanan D’Masiv.
“Layanan mesra penonton, tenaga yang dirasai serta pelbagai kejutan sentiasa membuatkan D’Masiv merindui pengalaman unik dan suasana seperti di rumah yang begitu mereka hargai.
“Memandangkan D’Masiv mempunyai kelompok peminat yang sangat besar di Malaysia, lokasi di Mega Star Arena dipilih kerana kapasitinya yang lebih besar.
“D’Masiv juga akan mempersembahkan rangkaian lagu hit kumpulan itu sehinggalah karya terbaharu untuk dinyanyikan bersama peminat nanti,” katanya.
Dua Jam Menyelusuri Perjalanan D’Masiv
Sementara itu, Pengarah RANS Entertainment, Nagita Slavina menyifatkan “D’MASIV Asia Home Run” sebagai usaha membawa pengalaman konsert yang lebih dekat dan peribadi kepada peminat, sambil meluaskan lagi sayap muzik kumpulan berkenaan ke seluruh rantau.
Menurutnya, konsert tersebut akan menampilkan wajah baharu D’Masiv tanpa meninggalkan akar yang selama ini membesarkan nama mereka.
“Melalui ‘D’MASIV Asia Home Run’, kami berhasrat untuk mempersembahkan pengalaman konsert yang mencerminkan era baharu D’Masiv.
“Penonton akan menikmati persembahan mengasyikkan selama kira-kira dua jam yang menggabungkan lagu-lagu baharu bersama rangkaian lagu popular seperti ‘Pergilah Kasih’, ‘Jangan Menyerah’ dan ‘Cinta Ini Membunuhku’ yang mencorakkan perjalanan muzik mereka.
“Persembahan itu turut disokong oleh konsep visual yang menonjolkan semangat Indonesia serta kisah akar umbi mereka.
“Jelajah ini juga menjadi peluang untuk mereka berhubung semula dengan peminat di pelbagai negara selepas sekian lama dengan menawarkan pengalaman yang benar-benar istimewa melalui tawaran eksklusif,” katanya.
Malam tersebut dijangka menjadi sebuah perjalanan nostalgia yang menemukan pelbagai generasi. Lagu-lagu yang pernah bermain di radio, tersimpan dalam senarai main dan menjadi latar kepada kisah peribadi peminat bakal kembali bergema dalam skala lebih besar.
Apabila muzik bermula, jarak antara Indonesia dan Malaysia seakan terhapus. Yang tinggal hanyalah satu pentas, satu emosi dan ribuan suara yang menyanyikan setiap bait tanpa perlu diarahkan.

Tiket Pra-Jualan Bermula 8 September
Tiket Early Bird disediakan secara eksklusif kepada peminat yang telah melengkapkan proses pra-pendaftaran.
Jualan tiket pra-jualan pula bermula pada 8 September 2026, jam 10 pagi menerusi laman web rasmi dmasivtour.com.
Kategori dan harga tiket adalah seperti berikut:
- Super VIP: RM588
- Diamond: RM288
- Festival Berdiri: RM188
- Platinum: RM148
- Gold: RM108
Pakej Super VIP menawarkan tempat duduk premium berupa sofa, laluan masuk ke pentas, sesi bergambar, barangan eksklusif, poster bertandatangan, tiket koleksi edisi terhad serta makanan ringan dan minuman.
Sepanjang tempoh pra-jualan, peminat juga boleh mendapatkan pakej tambahan berupa poster bertandatangan bersama sesi bergambar pada harga RM100, manakala Tiket Koleksi Edisi Terhad ditawarkan pada harga RM10.
Maklumat lanjut mengenai konsert dan jelajah “D’MASIV Asia Home Run” boleh didapati menerusi akaun Instagram rasmi penganjur.
Selepas lebih dua dekad berjalan membawa lagu dan cerita, D’Masiv akhirnya kembali mengetuk pintu Kuala Lumpur. Pada 20 November nanti, Mega Star Arena bukan sekadar menjadi lokasi sebuah konsert, tetapi sebuah rumah besar tempat kenangan lama dan perjalanan baharu diraikan bersama.



