Radja Kembali Gegarkan Malaysia Menerusi Konsert Revolusi Radja 25 Tahun Julai Ini
KUALA LUMPUR, 12 Mei 2026 — Gelombang nostalgia bakal kembali membadai Kuala Lumpur apabila kumpulan popular Indonesia, Radja, diumumkan bakal mengadakan konsert solo istimewa mereka menerusi Konsert Revolusi Radja 25 Tahun yang akan berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 11 Julai 2026.
Dianjurkan oleh DHYAH PROD7CTION bersama INFINITY LOVE CREATIVE VENTURES, konsert ini diadakan sempena meraikan perjalanan 25 tahun Radja dalam industri muzik Nusantara, sekali gus menjadi simbol penghargaan buat para peminat yang tidak pernah berhenti menyokong perjalanan seni mereka sejak dahulu hingga kini.
Selepas mencipta fenomena menerusi Konsert RadjaWali yang berlangsung pada awal Januari lalu, kemunculan semula Radja ke Malaysia kali ini pastinya lebih dinantikan peminat. Lebih menarik, Konsert Revolusi Radja 25 Tahun hadir sebagai sebuah persembahan solo penuh yang memberi fokus sepenuhnya terhadap kekuatan muzik, vokal serta identiti sebenar kumpulan tersebut.
Peminat dijangka bakal dibawa menyelusuri lorong memori menerusi deretan lagu hit seperti Cinderella, Jujur, Benci Bilang Cinta, Takkan Melupakanmu, Manusia Biasa, Jangan Sakiti Aku serta Aku Ada Karena Kau Ada — karya-karya yang pernah menjadi soundtrack kehidupan ramai peminat sejak awal era 2000-an.

Tidak dinafikan, lagu-lagu seperti Cinderella, Jujur dan Manusia Biasa sememangnya dianggap sebagai “signature songs” Radja yang sentiasa menjadi kemuncak setiap persembahan live mereka. Malah sehingga hari ini, karya-karya tersebut masih kekal relevan dan dekat di hati peminat pelbagai generasi.
Konsert ini juga bakal menghidupkan kembali nostalgia era kegemilangan Radja yang dianggotai Ian Kasela selaku vokalis utama, Moldy sebagai gitaris dan komposer utama, bersama Adit serta Seno Aji yang pernah mencetuskan fenomena besar dalam industri muzik serantau sekitar awal tahun 2000-an.
Wakil penganjur, Mubarak Akhtar Mohd Aris berkata, konsert ini menjadi peluang terbaik buat peminat yang masih belum puas menyaksikan persembahan Radja ketika Konsert RadjaWali sebelum ini.
“Bagi peminat Radja yang masih belum puas menyaksikan persembahan mereka ketika Konsert RadjaWali pada Januari lalu, inilah peluang terbaik untuk hadir dan menikmati persembahan Radja secara eksklusif dalam konsert solo mereka sendiri,” katanya.

Tambah beliau lagi, konsert tersebut turut menjanjikan beberapa elemen kejutan istimewa termasuk persembahan tribute unik oleh dua DJ profesional wanita dari Malaysia dan Indonesia yang akan mempersembahkan lagu-lagu Radja dalam susunan muzik elektronik yang lebih segar dan moden.
Antara nama yang telah mengesahkan penglibatan ialah Nathalie Holscher, seorang DJ wanita dari Indonesia yang kini semakin meningkat naik di negara republik itu.
Walaupun diberikan sentuhan baharu dari segi susunan muzik, identiti asal dan kekuatan emosi setiap karya tetap dikekalkan bagi menawarkan pengalaman persembahan yang lebih moden, bertenaga dan relevan dengan citarasa penonton masa kini.
Dalam masa sama, pihak penganjur turut memberi bayangan bahawa beberapa penyanyi jemputan dari Malaysia bakal diumumkan dalam masa terdekat bagi menambahkan lagi nilai eksklusif kepada konsert berprestij tersebut.
Sementara itu, Ian Kasela berkata Malaysia sentiasa mempunyai tempat istimewa di hati Radja sejak awal perjalanan seni mereka.

“Konsert Revolusi Radja 25 Tahun ini bukan sekadar sebuah persembahan, tetapi satu perjalanan emosi yang meraikan 25 tahun muzik, kenangan dan sokongan yang tidak pernah putus daripada para peminat kami di Malaysia dan seluruh Nusantara.
“Kami tidak sabar untuk kembali ke Kuala Lumpur dan berkongsi malam yang penuh nostalgia ini bersama anda semua. Ini adalah hadiah istimewa daripada Radja untuk semua peminat setia kami,” jelasnya.
Secara keseluruhannya, Konsert Revolusi Radja 25 Tahun dijangka menjadi sebuah malam yang sarat dengan nostalgia, emosi dan energi, sekali gus mengubat kerinduan peminat terhadap persembahan solo kumpulan legenda tersebut serta mengukuhkan lagi kedudukan Radja sebagai antara nama besar dalam industri muzik Nusantara.
Maklumat lanjut mengenai penjualan tiket, kategori harga serta barisan penuh persembahan akan diumumkan dalam masa terdekat menerusi laman rasmi airasia MOVETIX.

