Nasyid Friday: Cetus Gelombang Baharu Industri Nasyid Moden

Nasyid Friday: Kebangkitan Dakwah Moden

Oleh: Bangbu Besihitam

KUALA LUMPUR – Mengambil keberkatan hari Jumaat dan melihat bagaimana dekatnya anak muda dengan hiburan serta seni pada hari ini, Adnin Roslan yang juga founder Tarbiah Sentap tampil ‘melahirkan’ sebuah gelombang antusias terhadap hiburan berunsur Islamik dan kerohanian.

Selepas melalui beberapa proses dan pertimbangan serta mendapat sokongan daripada rakan seperjuangan dengan misi yang sama, sebuah projek muzik diberi nama Nasyid Friday diwujudkan. Menurut Adnin, nasyid bukan sekadar hiburan, sebaliknya menjadi medium menghidupkan semula seni yang membawa manusia kembali mengingati Tuhan.

Nasyid Friday akan dimulakan pada setiap Jumaat bermula Jun 2026 sehingga Januari 2027 menerusi pembabitan lapan penyanyi nasyid yang bakal menghasilkan karya-karya kerohanian bersama video muzik. Mereka terdiri daripada Adnin Roslan, Aniq Muhai, Aswan Anwar, kumpulan One Path, Rabithah, Fetya, The Truth dan Autotune Band.

“Kami memilih hari Jumaat kerana ia adalah penghulu segala hari dan kami mahu menjadikan setiap Jumaat sebagai hari untuk menyebarkan karya yang membawa nilai positif, ketenangan dan dakwah melalui seni.

“Visi utama saya adalah untuk memberi alternatif hiburan kepada anak muda. Hari ini, anak muda sangat dekat dengan muzik, media sosial dan visual. Jadi saya percaya dakwah juga perlu hadir dalam bentuk yang dekat dengan jiwa mereka.

“Kerana masyarakat hari ini sangat memerlukan hiburan alternatif yang mendidik jiwa, dengan kualiti yang setara dengan hiburan sedia ada,” ujar Adnin Roslan selaku Pengarah dan Penerbit Nasyid Friday.

Bercakap lanjut mengenai Nasyid Friday, projek ini turut membawa misi menghidupkan semula industri nasyid yang suatu ketika dahulu cukup berpengaruh dalam masyarakat. Lagu-lagu yang dihasilkan juga akan memberi tumpuan kepada isu remaja dan anak muda.

“Saya percaya masyarakat masih cintakan karya-karya yang mempunyai roh dan makna, cuma generasi hari ini memerlukan pendekatan yang lebih segar dan relevan dengan zaman mereka.

“Saya berharap Nasyid Friday dapat menjadi satu permulaan baharu kepada kebangkitan seni dakwah moden dan membuka ruang kepada lebih ramai anak muda untuk mendekati Islam melalui seni yang indah, lembut dan menyentuh jiwa,” katanya lagi.

Sementara itu, Bilal yang mewakili kumpulan Fetya menyifatkan pemilihan menghasilkan lagu-lagu berkaitan Palestin dalam projek Nasyid Friday selaras dengan simbol kebebasan dan kemerdekaan. Ia merupakan pengisian khusus untuk album dan lagu-lagu Fetya dalam projek tersebut.

“Palestin adalah simbol kebebasan dan kemerdekaan. Banyak perkara kita belajar daripada mereka; kekuatan iman, tarbiyah jihadiyah dan kesatuan politik.

‘Palestin adalah simbol pertembungan eksistensi antara Al-Quran dan Talmud (بين الوجود معركة والتلمود القران). Pertembungan menentukan baik atau buruknya alam ini. Fetya ingin mengajak masyarakat menyedari realiti ini dan mengambil posisi,’ ujar Bilal mewakili kumpulan Fetya.

Ditanya mengenai harapan Fetya terhadap projek ini, Bilal berkata mereka mahu melihat “tsunami nasyid Malaysia” terus aktif, mendapat dukungan rakyat Malaysia dan kembali mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Tambah Ridwan mewakili kumpulan Rabithah, mereka berharap masyarakat dapat terus menyokong, mendengar dan menilai lagu-lagu dakwah daripada semua artis Tarbiah Sentap Records dengan hati yang terbuka.

“Karya-karya yang kami hasilkan ini bukan dibuat sekadar untuk hiburan semata-mata, tetapi sebagai satu alternatif hiburan yang mendidik jiwa, menenangkan hati dan mengajak manusia kembali dekat kepada Allah dan Islam di saat masyarakat semakin dahagakan hiburan yang membawa makna,” ujar Ridwan yang menyifatkan usaha ini dilakukan demi mencari reda Allah dan mengharapkan syurga-Nya.

“Kami berharap agar semua dapat menikmati karya-karya ini, seterusnya membantu menyokong dan menyebarluaskannya supaya lebih ramai manusia dapat mengenali, mendengar dan mengambil manfaat daripadanya,” tambah Ridwan penuh harapan.

Lebih menarik, Nasyid Friday tidak hanya disertai lapan tunggak utama tetapi turut menerima penampilan istimewa daripada selebriti dan penyanyi tempatan yang mahu menyemarakkan projek ini. Mereka ialah Saiful Apek, Anas Tahir dan Alif Azhari yang bakal terlibat dalam pembikinan tiga daripada lapan album Nasyid Friday.

“Saiful Apek, Anas Tahir dan Alif Azhari akan menjadi artis jemputan dalam tiga album Nasyid Friday, namun semuanya masih di peringkat produksi,” ujar Adnin.

Visi Tarbiah Sentap Melalui Seni

Dalam pada itu, Adnin turut berkongsi visi besar yang dibawa oleh Tarbiah Sentap selama ini.

“Visi besar kami adalah untuk menjadi saluran dakwah, tarbiah dan hiburan Islami pilihan nombor satu anak muda. Kami mahu membina satu ekosistem kandungan yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga memberi kesan kepada hati, pemikiran dan kehidupan masyarakat.

“Kalau kita melihat sejarah perkembangan Islam di Malaysia dan Alam Melayu, antara pendekatan yang digunakan oleh para pendakwah terdahulu juga adalah melalui seni dan budaya. Mereka menggunakan syair, qasidah, tulisan, penceritaan dan pelbagai bentuk seni untuk mendekatkan masyarakat kepada Islam dengan cara yang lembut dan menyentuh hati.

“Jadi bagi saya, seni bukan sesuatu yang asing dalam dakwah, tetapi ia adalah salah satu medium yang sangat kuat untuk menyampaikan mesej kebaikan kepada masyarakat,” katanya.

Atas faktor tersebut, Adnin menjelaskan bahawa penghasilan nasyid baharu setiap hari Jumaat bermula Jun 2026 hingga Januari 2027 akan dibangunkan bersama kira-kira 200 video dan kandungan dakwah setiap bulan.

“Dakwah-dakwah ini akan merangkumi pelbagai bentuk konten media sosial yang dekat dengan generasi hari ini. Dalam masa yang sama, kami juga akan menerbitkan lapan sketsa dakwah setiap bulan sebagai medium penyampaian mesej Islam yang lebih santai, kreatif dan mudah difahami.

“Pada masa sama, kami juga akan menghasilkan lebih banyak buku-buku dakwah dan jelajah dakwah di seluruh Malaysia.

“Saya mahu buktikan bahawa karya yang mengingatkan kepada Tuhan juga boleh dihasilkan dengan kualiti yang tinggi, visual yang cantik, susunan muzik yang moden dan mesej yang menyentuh hati,” jelasnya lagi.

Kini dengan segala perancangan yang sedang menanti untuk direalisasikan, Nasyid Friday berharap mesej yang mahu disampaikan dapat diterima baik sebagai satu kebangkitan seni dakwah moden.

INFORMASI

PROJEK: 6 Lagu Dalam 8 Album Nasyid Friday
PENYANYI/PENDAKWAH: Adnin Roslan, Aniq Muhai, Aswan Anwar, One Path, Rabithah, Fetya, The Truth, Autotune Band
ARTIS JEMPUTAN: Saiful Apek, Anas Tahir, Alif Azhari
TARIKH PROJEK: Jun 2026 – Januari 2027
PENERBIT & PENGARAH NASYID FRIDAY: Adnin Roslan

Terbaru