Tantari & Putera Bobo Disatukan Eddie Hamid Dalam Lagu Raya “Tangisan 1 Syawal”, Kisah Anak Yatim Menyentuh Hati

Tantari & Putera Bobo Disatukan Eddie Hamid Dalam Lagu Raya “Tangisan 1 Syawal”, Kisah Anak Yatim Menyentuh Hati

Oleh: Abu Huzaifah Abd Ghani

KUALA LUMPUR, 3 Mac 2026 – Selepas kejayaan lagu “Rindu Hatiku Rindu” nyanyian Tantari dan “Korban Rindu” dendangan Putera Bobo, komposer terkenal Eddie Hamid mengambil langkah istimewa dengan menyatukan dua penyanyi cilik ini dalam sebuah lagu raya yang penuh emosi berjudul “Tangisan 1 Syawal.”

Lagu balada raya ini membawa kisah menyentuh hati tentang kehidupan dua beradik anak yatim piatu yang menyambut Aidilfitri tanpa kehadiran ibu bapa.

Sebelum ini, lagu “Rindu Hatiku Rindu” yang dinyanyikan oleh Tantari pernah berada di kedudukan #1 trending YouTube selama 20 hari berturut-turut serta mencatat lebih 16 juta tontonan, manakala lagu “Korban Rindu” nyanyian Putera Bobo turut mendapat sambutan dengan 1.3 juta tontonan di YouTube.

Melihat penerimaan hangat terhadap kedua-dua penyanyi muda ini, Eddie Hamid mengambil inisiatif untuk menggandingkan mereka dalam satu karya istimewa sempena Aidilfitri.

Tantari atau nama penuhnya Naufal Zahirul Azahel bin Mohd Alfian, 8, digandingkan bersama Putera Shah Nasratullah bin Mohd Nasran, 14, menerusi lagu “Tangisan 1 Syawal” yang dicipta oleh Eddie Hamid dengan lirik hasil karya Jaju, Hakim Hakimi dan Te Ha.

Menurut Eddie Hamid, idea untuk menyatukan mereka sudah lama berada dalam perancangannya.

“Impian saya nak satukan mereka dalam satu lagu akhirnya tercapai dan idea ini turut disokong oleh Nova Music Malaysia. Lagu raya yang saya cipta untuk mereka bukan jenis ‘catchy’, tetapi sebuah balada yang sarat emosi,” katanya.

Tambah Eddie, lagu tersebut bukan sekadar lagu raya biasa, sebaliknya membawa kisah tentang kasih sayang antara dua adik-beradik yang kehilangan ibu bapa.

Sebagai seorang yang pernah melalui pengalaman menjadi anak yatim piatu, Eddie mengakui beliau memahami perasaan tersebut dan berharap lagu ini mampu menyentuh hati pendengar.

“Lagu ini adalah luahan hati anak-anak yang kehilangan insan tersayang. Saya yakin nyanyian Tantari dan Putera Bobo mampu sampai ke hati pendengar,” jelasnya.

Walaupun digandingkan dalam satu lagu, kedua-dua penyanyi ini tidak merakamkan vokal bersama. Tantari merakamkan suaranya di Studio NAR, Kuala Lumpur, manakala Putera Bobo merakam di K-Seventh Studio, Kelantan.

Bagi menambahkan lagi elemen emosi, muzik video “Tangisan 1 Syawal” turut menjalani penggambaran di rumah anak yatim dan tanah perkuburan, sekali gus memperkuatkan penceritaan yang disampaikan dalam lagu tersebut.

Dalam muzik video itu, Tantari membawa watak sebagai adik, manakala Putera Bobo memainkan watak abang. Menariknya, kedua-dua mereka tidak pernah bertemu sebelum ini dan hanya berkenalan buat pertama kali di set penggambaran.

Walaupun baru bertemu, mereka cepat mesra dan Putera Bobo melayan Tantari seperti adiknya sendiri, sekali gus memudahkan proses penggambaran muzik video.

Bagi Tantari, lagu “Tangisan 1 Syawal” merupakan lagu raya ketiganya selepas “Rindu Hatiku Rindu Raya” dan “Ragam Raya” bersama Achey dan Baby Feaaa.

“Mula-mula saya ingatkan dapat lagu raya rancak, rupa-rupanya lagu yang sedih. Masa rakaman pun rasa sebak sebab saya bayangkan kawan-kawan yang sebaya dengan saya tak ada ibu bapa untuk sambut raya bersama,” katanya.

Tambahnya lagi, beliau berharap lagu tersebut dapat membuka hati masyarakat untuk lebih mengingati anak-anak yatim.

“Saya harap lagu ini mendapat sokongan ramai kerana ia berkaitan dengan anak-anak yatim piatu.”

Sementara itu, Putera Bobo mengakui beliau tidak kekok berinteraksi dengan Tantari ketika penggambaran kerana dalam kehidupan sebenar beliau mempunyai dua orang adik dan merupakan anak ketiga daripada lima beradik.

“Alhamdulillah akhirnya saya ada lagu raya sendiri walaupun berduet. Lagu ini sangat dekat di hati kerana ia mengingatkan kita untuk sentiasa bersyukur,” katanya.

Menurutnya lagi, Aidilfitri biasanya disambut dengan kegembiraan bersama keluarga, namun masih ramai anak-anak yatim yang tidak berpeluang merasai suasana tersebut.

“Harap lagu ini dapat mengingatkan kita supaya tidak melupakan mereka. Jika ada peluang, ziarah dan raikanlah anak-anak yatim.”

Lagu “Tangisan 1 Syawal” terbitan Nova Music Malaysia kini boleh distrim di semua platform penstriman muzik digital.

Manakala muzik video rasmi lagu tersebut mula ditayangkan di saluran YouTube Nova Music Videos pada 5 Mac 2026 jam 3 petang.

📺 Tonton di sini:
https://youtu.be/9J2wnQkUXEk

Terbaru