DARI KENANGAN KE KERINDUAN, NUHA BAHRIN KEMBALI DENGAN SINGLE BARU “MALAM – MALAM” BERSAMA MIMPI. – SENTUHAN ARABIC & SPANISH YANG MEMIKAT JIWA

Kuala Lumpur, 20 April 2026 – Penyanyi dan penulis lagu popular Nuha Bahrin, yang dikenali menerusi lagu hit “Casablanca”, kembali dengan single terbaharu berjudul “Malam – Malam”, sebuah kolaborasi istimewa bersama Ezra Kong di bawah projek kreatifnya, mimpi.. Ezra Kong merupakan antara komposer paling berpengaruh di Malaysia ketika ini, terkenal dengan sentuhan “Midas” kerana hampir setiap lagu gubahannya menjadi hit besar serta sering meraih anugerah utama. Menggabungkan elemen bunyi Arabic dan Spanish dengan sentuhan moden pop Melayu, “Malam – Malam” membawa pendengar ke dalam suasana yang tenang namun penuh emosi.

Lagu ini mengisahkan kerinduan terhadap seseorang yang jauh, berpaksikan memori sederhana tetapi bermakna. Dua insan yang pernah berkongsi waktu bersama di bawah cahaya bulan, yang kini hanya tinggal kenangan. Dalam karya ini, bulan menjadi simbol masa dan detik yang tidak dapat diulang. “Malam – Malam” dengan indah menggambarkan kontras antara kebahagiaan kebersamaan dan kekosongan akibat jarak, menjadikannya sebuah karya yang dekat dengan jiwa pendengar.

Single ini turut menandakan fasa baharu buat Ezra Kong melalui projek mimpi., sebuah ruang kreatif untuk beliau bereksperimen dan menghasilkan karya yang lebih jujur. “mimpi. adalah projek baru yang dimulakan sebagai ruang untuk semua penulisan saya ke hadapan. Ia menjadi tempat kolaborasi bersama artis, label, dan A&R untuk menyampaikan karya yang lebih jujur dan dekat di hati saya,” jelas Ezra.

“Melalui projek seperti ‘Malam – Malam’, saya membawa pendekatan berbeza dari segi sound, susunan, dan lirik mencari titik temu antara citarasa saya dan jiwa artis itu sendiri.” tambah Ezra.

Sebagai komposer dan penerbit, Ezra turut berkongsi bahawa inspirasi lagu ini datang daripada kisah nyata. “Inspirasi ‘Malam – Malam’ hadir ketika mendengar kisah rakan-rakan yang bertugas sebagai polis, yang bekerja di saat orang lain menyambut raya. Perasaan rindu itu kemudian saya olah menjadi sentuhan romansa buat mereka yang menunggu insan tersayang pulang dari tugas. Apabila lagu ini dipadankan dengan Nuha Bahrin, terasa jelas bahawa lagu ini menemukan pemilik yang tepat.”

Bagi Nuha, “Malam – Malam” membawa makna yang sangat peribadi, termasuk kerinduan terhadap diri sendiri. “Nuha relate dengan lagu ini bila teringat versi diri lama. Malam – malam selalunya buat Nuha overthink dan ingat semua kesilapan serta rasa rindu pada diri sendiri yang dulu yang lebih yakin dan lebih carefree. Kadang-kadang kita lupa bagaimana untuk tidak terlalu peduli dengan pandangan orang lain, dan Nuha sangat rindukan perasaan itu.”

Dalam menyampaikan emosi lagu ini, Nuha menekankan kejujuran dalam vokalnya, selari dengan nuansa muzik yang unik. “Nuha cuba keluarkan rasa rindu itu dengan cara yang lebih raw dan jujur. Ada sedikit rasa geram, seperti tertanya ‘kenapa you tiba-tiba hilang?’ Jadi dalam delivery, Nuha seimbangkan kelembutan dengan sedikit emosi dan longing supaya pendengar benar-benar dapat rasa kekosongan itu.”

Melengkapkan lagi naratif lagu ini, muzik video “Malam – Malam” mengetengahkan konsep visual yang puitis dan penuh simbolik, mengisahkan seorang wanita yang masih terperangkap dalam kenangan cinta yang telah hilang. Digambarkan seolah-olah dua dunia selari wujud dalam ruang yang sama, watak lelaki hadir dalam setiap momen, hampir disentuh, hampir bersama, namun tidak pernah benar-benar ada. Seiring perjalanan cerita, penonton akhirnya menyedari bahawa kehadiran itu hanyalah bayangan memori dan perasaan rindu yang belum terlerai, sekali gus menguatkan tema kehilangan dan kesunyian yang menjadi inti pati lagu ini.

Kolaborasi ini juga menjadi pengalaman bermakna buat Nuha, yang kembali bekerjasama dengan Ezra Kong bersama penulis Sufairah Mohd. “Ini kali kedua Nuha bekerjasama dengan Ezra, dan proses ini sangat membuka ruang untuk explore benda baru. Nuha belajar untuk tidak takut keluar dari comfort zone. Gabungan bunyi Arabic, Spanish dan Malay dalam lagu ini sangat berani dan inspiring. Nuha rasa honoured dapat menjadi suara untuk karya ini.”

nuha bahrin

Dengan gabungan bunyi yang unik serta emosi yang mendalam, “Malam – Malam” diharapkan dapat menjadi teman setia pendengar, khususnya ketika sunyi di waktu malam. “Nuha harap pendengar akan rasa mereka tidak keseorangan. Rindu, sama ada kepada seseorang atau diri sendiri adalah perasaan yang sangat manusiawi. Kalau kita merindui seseorang, itu bermaksud mereka pernah sangat bermakna dalam hidup kita, dan cinta itu tidak pernah sia-sia.”

Malam Malam” boleh didengari di semua platform penstriman digital pada 24 April 2026.

Terbaru