PENTAS BARBARIK 2.0: MALAM PEMBALASAN & PERSAUDARAAN YANG TAK AKAN BERULANG

PENTAS BARBARIK 2.0: MALAM PEMBALASAN & PERSAUDARAAN YANG TAK AKAN BERULANG

Oleh: Bangbu Besihitam

Pentas Barbarik 2.0 bukan sekadar konsert membalas kekecewaan. Ia adalah malam pembalasan, malam untuk menebus luka dan membayar segala hutang emosi antara pemuzik dan peminat. Tetapi lebih daripada itu, ia adalah konsert ‘brotherhood’ pertemuan jiwa-jiwa yang pernah berkongsi peluh, darah, kekecewaan dan pentas dalam sejarah rock tempatan. Di sebalik bunyi yang bising dan agresif, malam itu dipenuhi kasih sayang sesama sahabat.

Kekecewaan di Odeon tahun lalu menjadi pencetus, apabila lebih 400 lebih peminat terkandas di luar dewan akibat kapasiti melebihi had. Suhu panas, ruang sesak, dan situasi tidak terkawal menukar pesta menjadi episod pahit menyebabkan nama Barbarik terpalit dalam situasi ini ditambah lagi dengan keterlibatan Eddie dan Black yang ketika itu baru meninggalkan Wings. Luka itu nyata. Dan luka itu tidak dibiarkan sembuh sendiri.

Sebagai penawar, Jobranko mengumumkan Pentas Barbarik 2.0 diubah lokasinya bukan sekadar versi ulangan, tetapi versi naik darah dan luar biasa, yang mustahil untuk diulang. Barisan pemuzik yang ditampilkan sendiri sudah cukup untuk mencipta sejarah: 3 pemain dram (Jojet, Black, Ainol), 2 pemain bass (Eddie, Rozaimie), 2 vokalis (Mus, Mel), dan 2 gitaris utama (Jobranko dan Karl Cromok (sebagai gitar jemputan lagu golok kayu)). Bukan untuk menunjuk kekuatan semata-mata ia adalah simbol semangat buat bersama.

Malam itu jelas memancarkan brotherhood. Bekas-bekas ahli Wings naik ke pentas bukan dengan ego, tetapi dengan senyuman. Senyuman orang lama yang kembali ke medan perang, bukan untuk membuktikan apa-apa, tetapi untuk meraikan persahabatan. Mereka kelihatan gembira, bebas, dan menikmati setiap detik persembahan. Yang tinggal hanyalah muzik dan rasa hormat sesama sendiri.

Yang paling menarik perhatian pada malam itu adalah apabila semua pemuzik digabungkan sekali. Walaupun terdapat banyak instrumen dan bunyi yang berat, melodi tetap jelas dan mengalir. Vokal Mus berada pada tahap terbaiknya kuat, jelas, dan penuh emosi. Kolaborasi antara Barbarik dan Karl Cromok membuahkan hasil apabila peminat Cromok sendiri hadir untuk melihat bagaimana muzik Barbarik di blend dengan muzik Cromok. Sehinggakan ada yang menggelar KARL Cromok cuba meng’Cromok’kan Barbarik dengan lagu golok kayu.

Jobranko sebelum ini menjanjikan “sejuk beku”, tetapi bahangnya turut terasa, membuatkan penonton bermandi peluh dari awal hingga akhir. Pemilihan lagu malam itu sangat memuaskan, dengan arrangement yang menarik, padat, dan masih mengekalkan jiwa asal setiap lagu. Satu konsert yang benar-benar berjaya pada awal tahun ini.

Sebagai pengarah muzik dan arkitek arrangement, JoBranko berjaya menyusun barisan pemuzik berpengalaman. Arrangement lagu digubah semula lebih matang keras tanpa berserabut, padat tanpa kehilangan jiwa asal. Dari sudut teknikal, bunyi yang konsisten dan terkawal membolehkan setiap elemen muzik dirasai. Setiap hentakan dram, bassline, dan harmoni vokal bukan bertembung tetapi berpelukan.

Dari sudut teknikal, kualiti bunyi malam itu berada pada tahap tertinggi. Konsisten, terkawal, dan berkuasa. Nama Rahmad Kamikaze sebagai sound engineer menjadi jaminan mutu, membuktikan pengalaman beliau mengendalikan konsert berskala besar di dalam dan luar negara. Mengawal akustik dewan sebesar Megastar Arena bukan kerja mudah, namun beliau melaksanakannya dengan cemerlang.

Crowd menyambut segala yang dicurahkan dengan sepenuh jiwa. Seawal lagu pembukaan, Megastar Arena bergegar tanpa henti. Lagu-lagu yang dipilih semuanya keras dan dekat dengan peminat, menjadikan sing-along bukan satu arahan tetapi reaksi semula jadi.

Secara visual dan simbolik, kemunculan Gibson Les Paul Cobra Burst Custom milik Jobranko buat pertama kali di pentas menambah nilai sentimental malam itu. Namun gitar-gitar legenda seperti Black Beauty dan Gold Top tetap diberi ruang, mengekalkan keseimbangan antara sejarah dan hari ini.

Kesimpulannya, Pentas Barbarik 2.0 adalah konsert paling brutal setakat ini brutal dari segi tenaga, emosi, disiplin dan kejujuran. Tetapi di sebalik kebrutalan itu tersimpan sesuatu yang lebih kuat iaitu semangat persaudaraan. Ini bukan konsert lepaskan dendam. Ia lahir daripada rasa tanggungjawab, kasih sayang dan hormat sesama sahabat.

Sejarah telah ditulis malam itu.Bukan dengan air mata, tetapi dengan pelukan, senyuman, dan bunyi yang menggegarkan jiwa.

Orang Asing

Bangbu Besihitam

#besihitam#sayamestirajin#barbarikvol2#barbarik

Terbaru