SUASANA RAYA DI HONG KONG: ERNIE ZAKRI & SYAMEL BAWA SENTUHAN NOSTALGIA MODEN DI DESTINASI MESRA MUSLIM

Ernie Zakri & Syamel Lancar “Suasana Raya”, Satu-Satunya Video Raya Dirakam Diluar Negara

KUALA LUMPUR, 27 Februari 2026 – Menjelang sambutan Aidilfitri, dua nama besar industri muzik tempatan, Ernie Zakri dan Syamel, kembali bergandingan menerusi single raya terbaharu berjudul “Suasana Raya.”

Menariknya, lagu ini hadir menerusi kolaborasi istimewa bersama Hong Kong Tourism Board dengan penggambaran muzik video dijalankan di beberapa lokasi menarik serta destinasi mesra Muslim sekitar Hong Kong.

Menggabungkan melodi klasik raya dan sentuhan moden, “Suasana Raya” membawa pendengar menyelami keindahan pagi Syawal yang penuh ketenangan, kesyukuran dan kebersamaan keluarga. Lagu ini bukan sekadar karya bermusim, sebaliknya dibina sebagai runut bunyi yang mampu menghidupkan memori Aidilfitri yang dirindui ramai.

Menurut Ernie, Hong Kong dipilih kerana kesesuaiannya sebagai destinasi mesra Muslim.

“Hong Kong sangat sesuai kerana ia Muslim-friendly dan memudahkan kami mencari makanan halal seperti di Islamic Centre Canteen. Kami juga sempat melawat Kowloon Mosque serta menikmati tarikan keluarga seperti Ocean Park Hong Kong. Ia pengalaman yang sangat bermakna kerana kami dapat bekerja sambil meluangkan masa bersama keluarga,” jelasnya.

Suasana bandar Hong Kong yang vibrant dan penuh warna turut memberi elemen visual moden dan unik kepada muzik video tersebut, selari dengan konsep lagu yang menggabungkan tradisional dan kontemporari.

Sebagai menghargai peminat, Ernie dan Syamel turut mengadakan sesi tontonan awal muzik video Suasana Raya pada 17 Februari lalu di Aurum Theatre. Hampir 100 peminat terpilih hadir menyaksikan tayangan eksklusif tersebut sebelum pelancaran rasmi, malah turut berpeluang mempelajari koreografi yang ditampilkan dalam MV berkenaan.

“Hari ini kami selesai buat fans gathering untuk muzik video Suasana Raya. Memang sangat istimewa sebab dapat kongsi momen ini dengan peminat sebelum ia dilancarkan. Kami harap lagu ini dapat beri kenangan manis dan good vibe untuk semua,” kata Ernie.

Bagi Syamel pula, kekuatan utama lagu ini terletak pada melodinya yang catchy dan sinonim dengan kemeriahan raya.

“Suasana Raya memang kena dengan mood Hari Raya. Kami mahu pendengar benar-benar rasa kegembiraan itu. Sepanjang proses rakaman, kami sentiasa menyanyi dalam keadaan tersenyum supaya emosi tersebut sampai dengan ikhlas,” katanya.

Malah, pengalaman penggambaran muzik video turut menjadi kenangan bermakna buat mereka sekeluarga apabila dapat membawa anak mereka, Khawla, ke lokasi penggambaran di Hong Kong.

Kedua-dua artis berharap “Suasana Raya” akan terus dimainkan saban tahun dan menjadi antara lagu yang menemani detik-detik indah Aidilfitri.

Single “Suasana Raya” kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital.


Kredit Lagu

Judul: Suasana Raya
Artis: Ernie Zakri & Syamel
Penulis Lirik: Adam Armin & Yusuff Khan
Komposer: Adam Armin & Yusuff Khan
Penerbit: Adam Armin & Yusuff Khan

Terbaru