Syasya Rizal Rai Makna Sebenar Aidilfitri Menerusi Lagu Baharu “Inikan Hari Raya”

Syasya Rizal Rai Makna Sebenar Aidilfitri Menerusi Lagu Baharu “Inikan Hari Raya”

Oleh: Abu Huzaifah Abd Ghani

KUALA LUMPUR, 6 Mac 2026 – Penyanyi muda berbakat, Syasya Rizal, tampil menyemarakkan musim perayaan dengan single Hari Raya terbaharunya berjudul “Inikan Hari Raya.”

Lagu ceria ini membawa mesej tentang kebersamaan, kesyukuran dan kesederhanaan, sambil mengingatkan bahawa makna sebenar Hari Raya bukan terletak pada kemewahan, sebaliknya pada kebahagiaan yang dikongsi bersama keluarga dan orang tersayang.

“Inikan Hari Raya” ditulis oleh Syasya Rizal bersama Amirul Azhar dan Amir Firdaus, manakala penerbitannya turut dikendalikan oleh Amirul Azhar.

Dari segi susunan muzik, lagu ini bermula dengan progresi kord yang ringkas serta alunan dram yang ringan, sekali gus mencipta suasana hangat dan penuh semangat perayaan. Melodinya kemudian berkembang secara semula jadi dengan bahagian korus yang menjadi tunjang utama, sementara susunan muziknya dibina secara berlapis bagi memberi tenaga yang semakin meningkat menuju korus yang ceria.

Melalui bunyi yang ceria dan lirik yang menyentuh hati, lagu ini menyampaikan peringatan bahawa Hari Raya tetap bermakna walaupun disambut secara sederhana, sama ada memakai baju lama atau meraikan dengan cara yang tidak terlalu mewah, asalkan dapat berkumpul bersama insan tersayang.

Syasya Rizal

Menurut Syasya, mesej kesederhanaan dan rasa syukur itu sangat dekat dengan dirinya.

“Bagi Syasya, Hari Raya sebenarnya sangat dekat dengan rasa syukur. Kadang-kadang bila kita tengok di media sosial, Raya nampak macam semuanya perlu besar dan sempurna – baju banyak pasang, rumah cantik, semuanya nampak mewah. Tapi realitinya tak semua orang sambut Raya dengan cara macam tu.

Raya bukan tentang apa yang kita tunjuk, tapi tentang siapa yang masih ada di sekeliling kita,” katanya.

Tambahnya lagi, lagu “Inikan Hari Raya” sebenarnya merupakan satu peringatan lembut bahawa kebahagiaan Aidilfitri tidak semestinya datang daripada kemewahan, tetapi daripada rasa cukup dan menghargai apa yang dimiliki.

Single ini juga menjadi pencapaian istimewa buat Syasya kerana ini merupakan kali pertama beliau terlibat secara langsung dalam proses penulisan lagu.

“Ini sebenarnya pengalaman pertama Syasya terlibat secara langsung dalam proses penulisan lagu. Jadi bagi Syasya, ia sangat istimewa sebab mesej yang disampaikan dalam lagu ini benar-benar datang daripada hati Syasya sendiri kepada para peminat.

Proses menulis bersama Amirul Azhar dan Amir Firdaus juga sangat menyeronokkan kerana mereka banyak membimbing Syasya tentang bagaimana membina melodi, emosi dan cerita dalam sebuah lagu,” jelasnya.

Syasya Rizal

Dalam masa yang sama, sambutan Aidilfitri kini membawa makna yang lebih mendalam buat Syasya apabila beliau menyambutnya bersama keluarga sendiri.

“Sekarang Raya terasa lagi berbeza untuk Syasya sebab Syasya dah ada keluarga sendiri. Ada suami di sisi, dan sekarang ada dua bayi comel Obot dan Obit yang buat suasana Raya tu jadi lebih hidup.

Bila ada anak, kita mula sedar bahawa Raya bukan lagi tentang kita. Kita mula cipta memori Raya untuk mereka pula. Dan bagi Syasya, itulah sebenarnya makna Raya yang paling indah.”

Syasya turut berharap lagu ini dapat mengingatkan pendengar tentang perkara-perkara kecil yang sebenarnya paling bermakna ketika musim perayaan.

“Syasya harap bila orang dengar lagu ini, mereka akan teringat kepada perkara kecil yang sebenarnya sangat bermakna waktu Raya seperti bangun pagi Raya, bau rendang dari dapur, atau makan bersama keluarga.

Mungkin ada yang sambut Raya secara sederhana, tapi semua itu tetap berharga.”

Beliau juga berharap agar “Inikan Hari Raya” dapat menjadi salah satu lagu yang akan dipasang setiap kali musim Aidilfitri menjelang.

“Kalau satu hari nanti ada orang cakap lagu ini mengingatkan mereka kepada kenangan Raya bersama keluarga, itu sebenarnya hadiah paling besar untuk Syasya sebagai seorang penyanyi.”

Single “Inikan Hari Raya” kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital.


Kredit Lagu

Judul: Inikan Hari Raya
Artis: Syasya Rizal
Penulis: Amirul Azhar, Amir Firdaus & Syasya Rizal
Komposer: Amirul Azhar, Amir Firdaus & Syasya Rizal
Penerbit: Amirul Azhar
Susunan Muzik: Amirul Azhar

Terbaru