TIGA VETO SATUKAN TIGA RAJA ROCK MALAYSIA DI ATAS SATU PENTAS

TIGA VETO SATUKAN TIGA RAJA ROCK MALAYSIA DI ATAS SATU PENTAS

Oleh: Bangbu Besihitam

Kuala-Lumpur – 13 MAY 2026. Industri muzik rock tanah air bakal menyaksikan sebuah detik luar biasa apabila tiga nama paling besar dalam sejarah rock Malaysia iaitu Wings, Search dan XPDC bakal disatukan menerusi sebuah konsert mega yang diberi nama Tiga Veto, dijadualkan berlangsung pada 1 Ogos 2026.

Menurut pihak penganjur, idea penganjuran konsert ini sebenarnya telah lama tersimpan sebagai sebuah cita-cita besar untuk menghimpunkan tiga kumpulan yang dianggap sebagai “kuasa besar” dalam dunia rock Malaysia. Tiga nama ini bukan sekadar band biasa, tetapi simbol kepada tiga dekad kegemilangan muzik rock tanah air yang sehingga hari ini masih berdiri megah dengan legasi tersendiri.

“Kalau kita bercakap tentang band rock yang benar-benar sinonim dengan Malaysia, bagi saya ada tiga nama yang semua orang akui… Search, Wings dan XPDC. Inilah band-band yang membesar bersama generasi rock Malaysia,” jelas penganjur ketika sidang media berlangsung.

Walaupun perjalanan masa menyaksikan pertukaran anggota dan perubahan era, ketiga-tiga kumpulan ini tetap utuh mempertahankan legasi masing-masing. Lagu-lagu mereka terus hidup, terus dimainkan dan terus menjadi soundtrack kehidupan peminat rock dari generasi lama hinggalah generasi baharu.

Nama Tiga Veto dipilih bukan sekadar simbolik, tetapi membawa makna besar terhadap pengaruh tiga kumpulan legenda ini dalam dunia muzik tempatan.

“Kenapa Tiga Veto? Sebab bagi saya… inilah tiga raja. Satu King of Hard Rock, satu King of Rock & Roll dan satu lagi King of Metal. Bila tiga king ni bergabung, maka lahirlah satu kuasa veto,” katanya lagi.

Konsert ini juga menjadi sebuah pertemuan bersejarah kerana walaupun pihak penganjur pernah bekerjasama dengan ketiga-tiga kumpulan secara berasingan sebelum ini, namun menyatukan semuanya di atas satu pentas bukanlah perkara mudah. Perancangan asal sebenarnya mahu direalisasikan lebih awal, namun kekangan jadual artis terutama komitmen padat Awie bersama Wings menyebabkan perancangan tersebut terpaksa ditangguhkan.

Namun selepas melalui pelbagai proses perancangan dan penyusunan jadual, akhirnya tarikh keramat 1 Ogos 2026 berjaya dikunci sebagai malam rasmi penyatuan tiga legenda rock ini.

Penganjur turut menyifatkan konsert ini sebagai sebuah karya besar yang mungkin sukar untuk diulang kembali dalam masa terdekat.

“Ini kali pertama tiga band ni bergabung dalam satu pentas berskala besar macam ni. Dan kita sendiri tak tahu bila lagi peluang seperti ini akan terjadi,” ujarnya.

Selain kekuatan nama besar tiga kumpulan legenda tersebut, konsert ini juga dijanjikan bakal tampil dengan produksi bertaraf tinggi melibatkan sistem bunyi, pencahayaan serta visual efek yang dirancang secara teliti bagi memberikan pengalaman maksimum kepada para penonton.

Gabungan tenaga persembahan daripada tiga band yang sudah tidak perlu dipertikaikan kredibilitinya itu dijangka bakal menjadi antara malam paling bersejarah dalam kalendar rock Malaysia tahun 2026.

Dengan aura, nostalgia dan kuasa muzik yang dibawa oleh XPDC, Search dan Wings, konsert Tiga Veto bukan sekadar sebuah persembahan hiburan, tetapi sebuah perayaan legasi rock tanah air yang menyatukan generasi.

Dan seperti yang ditegaskan penganjur dengan penuh yakin:

“Memang rugi kalau tak datang.”

Terbaru