RIM MEMPERJELAS FAKTA BERHUBUNG KUTIPAN ROYALTI, KETELUSAN DAN PEMBANGUNAN INDUSTRI MUZIK MALAYSIA

RIM MEMPERJELAS FAKTA BERHUBUNG KUTIPAN ROYALTI, KETELUSAN DAN PEMBANGUNAN INDUSTRI MUZIK MALAYSIA


KUALA LUMPUR, 15 OKTOBER 2026 – Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) merujuk kepada artikel-artikel berikut serta komen yang dibuat oleh Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) di dalamnya:

  • “Accountability, Not More Funding, Is What Malaysian Artistes Need” yang diterbitkan pada 8 Oktober 2026 dalam New Straits Times.
  • “Karyawan pans RIM’s ‘contradictory’ call for funds to promote music internationally” yang diterbitkan pada 7 Oktober 2026 dalam Free Malaysia Today.

RIM mengalu-alukan perbincangan mengenai usaha meningkatkan kebajikan artis Malaysia dan melindungi hak mereka. Walau bagaimanapun, beberapa kenyataan dalam siaran media KARYAWAN memerlukan penjelasan, khususnya berhubung kutipan dan pengagihan royalti, peranan organisasi pengurusan kolektif (CMcO), prosiding undang-undang yang sedang berjalan melibatkan CMO serta pembangunan industri muzik Malaysia.

RIM berpandangan bahawa isu-isu ini perlu dibincangkan berdasarkan maklumat yang tepat, pemahaman yang jelas mengenai tanggungjawab setiap organisasi dalam industri muzik serta kerjasama yang membina antara semua pihak berkepentingan.

1. Hasil Industri yang Mencatat Rekod Tertinggi dan Realiti Pengagihan Pendapatan Royalti

KARYAWAN menyatakan bahawa ramai ahlinya tidak menerima peningkatan pendapatan daripada platform digital dan CMO walaupun hasil industri muzik daripada platform digital dan CMO telah meningkat.

Sebagai sebuah persatuan yang telah lama bertapak, KARYAWAN seharusnya memahami bahawa pembayaran royalti kepada pencipta bergantung pada beberapa faktor, termasuk hak yang diamanahkan kepada CMO, kadar royalti berdasarkan kontrak, penggunaan muzik sebenar, peraturan pengagihan CMO yang berkenaan serta pendaftaran pemegang hak dengan CMO yang berkaitan.

Pencipta karya dan rakaman yang memperoleh strim dan penggunaan tinggi oleh pengguna sememangnya akan menerima bahagian yang lebih besar daripada peningkatan hasil yang dijana melalui pelbagai platform digital dan CMO berbanding pencipta karya dan rakaman yang kurang distrim atau kurang digunakan oleh pemegang lesen muzik.

Oleh itu, pendapatan yang lebih rendah bagi segelintir pencipta tidak menafikan hakikat bahawa pencipta muzik Malaysia kini memperoleh lebih banyak royalti berbanding sebelum ini daripada platform digital dan CMO.

KARYAWAN turut mendakwa bahawa artis veteran dan artis yang masih aktif membuat persembahan telah membangkitkan kebimbangan mengenai pembayaran royalti yang lewat, tidak jelas atau tidak dapat dijelaskan, serta kekurangan maklumat mengenai cara kutipan dikira dan diagihkan.

Bagi menangani perkara ini dengan sewajarnya, KARYAWAN perlu mengenal pasti pihak yang menguruskan royalti yang dimaksudkan oleh artis berkenaan, sama ada syarikat rakaman, penerbit muzik atau CMO. Setelah pihak yang berkaitan dikenal pasti, pihak tersebut boleh diminta memberikan penjelasan dan menangani isu yang dibangkitkan.

Sebagai contoh, syarikat rakaman atau penerbit muzik boleh memberikan penjelasan kepada artis atau penulis lagu yang terikat dengan mereka mengenai royalti yang diperoleh daripada pelbagai platform digital. CMO yang mewakili mana-mana daripada tiga kategori pemegang hak, iaitu penulis lagu/penerbit muzik, syarikat rakaman dan pelaku, pula boleh menjelaskan kepada ahli masing-masing bagaimana kutipan dikira dan diagihkan.

Kenyataan umum mengenai pembayaran royalti yang lewat, tidak jelas atau tidak dapat dijelaskan, serta dakwaan bahawa maklumat pengiraan dan pengagihan kutipan tidak mencukupi, hanya menyebarkan tanggapan yang tidak tepat bahawa seluruh industri muzik mempunyai masalah akauntabiliti. Tanggapan sedemikian boleh memberikan kesan negatif terhadap pembuat dasar.

Sebarang kebimbangan mengenai pembayaran royalti kepada artis tertentu perlu disiasat berdasarkan fakta dan situasi kes berkenaan, dan bukannya dijadikan bukti bahawa keseluruhan sistem kutipan dan pengagihan royalti industri muzik tidak telus.

2. Ketelusan, Tanggungjawab CMO dan Keahlian

KARYAWAN menggesa agar semua CMO menerbitkan laporan kutipan dan pengagihan royalti yang boleh diaudit. Hakikatnya, laporan sedemikian telah pun diserahkan kepada ahli CMO masing-masing setiap kali pembayaran royalti dibuat.

Laporan royalti tersebut menyatakan dengan jelas sumber royalti dan mengandungi butiran pendapatan pencipta secara terperinci sehingga satu sen. Ahli CMO boleh menghubungi atau berurusan dengan pegawai CMO yang dilantik untuk mendapatkan penjelasan mengenai kutipan dan pengagihan serta mengemukakan sebarang pertanyaan atau mengesahkan penyata royalti mereka.

Penting juga untuk membezakan mandat hak yang diberikan kepada MACP, PPM dan RPM. Setiap organisasi beroperasi berdasarkan skop hak dan kerangka keahliannya sendiri. Oleh itu, pertanyaan mengenai royalti hendaklah dirujuk kepada organisasi yang bertanggungjawab terhadap hak berkenaan.

RIM turut ingin menekankan kepentingan keahlian CMO yang sewajarnya dan menyeru KARYAWAN supaya mendedahkan senarai keahliannya bagi membolehkan CMO berkaitan mengenal pasti sama ada terdapat ahli KARYAWAN yang masih belum menjadi ahli CMO yang bersesuaian.

Pelaku dan pemegang hak yang layak hendaklah memastikan mereka berdaftar dengan CMO yang berkaitan supaya hak mereka dapat diwakili dengan sewajarnya dan sebarang royalti yang perlu dibayar dapat diagihkan mengikut peraturan yang berkenaan.

KARYAWAN boleh memainkan peranan yang membina dengan memaklumkan serta membantu ahlinya melalui proses pendaftaran. RIM menggalakkan kerjasama yang lebih erat antara KARYAWAN dan RPM bagi membantu lebih ramai pelaku memahami hak mereka serta langkah yang perlu diambil untuk mendapat manfaat daripada kutipan royalti.

3. Garis Panduan CMO MyIPO dan Prosiding Mahkamah yang Sedang Berjalan

KARYAWAN mempersoalkan tindakan CMO mencabar Garis Panduan Hak Cipta (Organisasi Pengurusan Kolektif) 2025 yang dikeluarkan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), dengan mendakwa bahawa tindakan undang-undang tersebut bercanggah dengan usaha meningkatkan ketelusan dan keadilan dalam kutipan serta pengagihan royalti, di samping melindungi pencipta. Dakwaan ini jauh menyimpang daripada keadaan sebenar.

MACP, PPM dan RPM masing-masing merupakan ahli CISAC, IFPI dan SCAPR, iaitu tiga organisasi penting dalam industri muzik dan hiburan global yang menetapkan peraturan operasi dan kewangan yang ketat bagi memastikan pembayaran royalti kepada ahli masing-masing dilaksanakan secara telus.

CMO tersebut menyokong langkah kawal selia yang bertujuan meningkatkan ketelusan dan tadbir urus yang baik demi kepentingan pencipta. Walau bagaimanapun, terdapat peruntukan bermasalah dalam garis panduan yang dikeluarkan sehingga menyebabkan CMO tersebut perlu membawa perkara tersebut ke mahkamah untuk semakan kehakiman.

RIM tidak akan mengulas mengenai merit kes tersebut selagi perkara itu masih di dalam pertimbangan mahkamah. Walau bagaimanapun, kewujudan prosiding undang-undang tidak seharusnya ditafsirkan dengan sendirinya sebagai bukti bahawa sesebuah organisasi menentang ketelusan atau perlindungan terhadap pencipta.

Pendekatan yang sewajarnya adalah membiarkan mahkamah menentukan isu undang-undang yang dibangkitkan, sementara semua pihak terus menyokong sistem pengurusan kolektif yang adil dan berkesan dalam kerangka undang-undang yang berkuat kuasa.

KARYAWAN juga secara tidak tepat menyatakan bahawa PPM merupakan badan kutipan milik RIM. Hakikatnya, PPM ialah sebuah entiti berasingan yang mempunyai keahlian dan lembaga pengarahnya sendiri. Kenyataan yang tidak tepat ini menunjukkan bahawa terdapat beberapa ketidaktepatan dalam siaran media KARYAWAN.

4. Memperkukuh Pasaran Domestik dan Menyokong Pertumbuhan Antarabangsa

RIM bersetuju bahawa muzik Malaysia perlu mendapat penonjolan yang lebih kukuh dalam pasaran domestik. Pendedahan yang lebih meluas melalui radio, televisyen, platform digital dan premis komersial dapat membantu artis tempatan mencapai khalayak yang lebih besar serta membina kerjaya yang mampan.

Walau bagaimanapun, pemerhatian bahawa lagu Malaysia tidak dimainkan di sesetengah premis komersial tidak dengan sendirinya menggambarkan tahap sokongan terhadap muzik tempatan di seluruh negara. Pemilihan muzik untuk pelbagai penggunaan dipengaruhi oleh keputusan pengaturcaraan, keperluan perniagaan dan citarasa pendengar.

RIM menyokong penglibatan secara konstruktif dengan penyiar, premis komersial, agensi kerajaan dan pihak berkepentingan lain bagi menggalakkan penghargaan serta penggunaan muzik Malaysia yang lebih meluas. Usaha ini juga perlu memastikan muzik yang digunakan secara komersial dilesenkan dengan sewajarnya dan pemegang hak berkaitan menerima royalti mengikut aturan yang berkenaan.

Pada masa yang sama, RIM tidak bersetuju bahawa promosi domestik perlu dilaksanakan sepenuhnya sebelum promosi antarabangsa boleh dimulakan. Kedua-duanya penting dan saling melengkapi dalam pembangunan industri muzik untuk jangka panjang.

Negara seperti Jepun dan Korea Selatan menunjukkan kepentingan pelaburan berterusan dalam pembangunan bakat, penerbitan, promosi dan akses ke pasaran antarabangsa. Pengalaman mereka membuktikan nilai pendekatan terselaras yang membangunkan pasaran domestik sambil membuka peluang untuk menembusi pasaran luar negara.

Cadangan RIM untuk menubuhkan Dana Eksport Muzik Malaysia yang khusus bertujuan menyokong penyertaan dalam pertunjukan muzik antarabangsa, promosi di luar negara, pemasaran digital dan kerjasama yang dapat membantu artis serta syarikat muzik Malaysia menembusi pasaran baharu.

Cadangan ini bukan pengganti kepada pembangunan pasaran domestik, sebaliknya melengkapkan usaha tersebut.

5. Pembiayaan, Akauntabiliti dan Pembangunan Industri Muzik Malaysia untuk Jangka Panjang

KARYAWAN mempersoalkan aspirasi industri untuk menembusi pasaran antarabangsa dengan menyatakan bahawa usaha membawa muzik Malaysia ke peringkat global telah bermula sejak tahun 1996, tanpa mengambil kira pencapaian besar yang telah pun diraih oleh artis-artis Malaysia di persada antarabangsa.

Artis tempatan seperti Yuna telah berjaya menjadi bintang R&B/pop antarabangsa dan berkolaborasi dengan ikon global seperti Pharrell Williams dan Usher. Datuk Seri Siti Nurhaliza telah menjual lebih daripada 6 juta rekod di seluruh Asia, mengadakan konsert solo di Royal Albert Hall, London, dan diiktiraf oleh agensi antarabangsa SeaAsia Stats sebagai ‘Southeast Asian Music Legend’ selepas memenangi lebih daripada 300 anugerah sepanjang kerjayanya. Fish Leong dan Michael Wang pula merupakan nama yang dikenali ramai dalam kalangan masyarakat Cina di seluruh dunia. Shila Amzah dan Firdhaus telah berjaya menembusi pasaran muzik Mandarin pop (Mandopop) yang besar. Mugen Rao mencipta kejayaan bersejarah sebagai rakyat Malaysia pertama dan pemastautin bukan dari India yang menyertai serta memenangi musim ketiga rancangan realiti popular Bigg Boss Tamil di India. Heerraa Ravindran dan Tuni Sundatang masing-masing memenangi anugerah ‘Best in North America (Folk)’ dan ‘Best in Asia (Asian Folk)’ di InterContinental Music Awards yang berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat. Mengabaikan kejayaan membanggakan bakat tempatan di pasaran luar negara ini merupakan satu tindakan yang tidak menghargai pencapaian artis yang sepatutnya diwakili oleh KARYAWAN.

RIM mengakui bahawa kejayaan antarabangsa artis memerlukan komitmen berterusan dan industri perlu sentiasa menilai keberkesanan inisiatif yang dilaksanakan. Walau bagaimanapun, tempoh masa yang telah berlalu tidak bermakna pelaburan tambahan tidak lagi diperlukan. Industri muzik telah mengalami perubahan besar, khususnya dengan pertumbuhan penstriman digital, saluran pengedaran baharu dan perubahan tingkah laku pengguna.

Pembiayaan Kerajaan dapat menyokong aktiviti-aktiviti yang mungkin sukar dilaksanakan oleh artis dan syarikat muzik secara individu, termasuk pembangunan profesional, penerbitan muzik berkualiti, pemasaran dan akses kepada pasaran antarabangsa.

RIM bersetuju bahawa pembiayaan awam perlu mempunyai objektif yang jelas, langkah akauntabiliti yang sewajarnya dan hasil yang bermakna. Pada masa yang sama, pembiayaan untuk pembangunan muzik mempunyai tujuan yang berbeza daripada kutipan dan pengagihan royalti. Pembiayaan menyokong penciptaan, promosi dan pembangunan muzik secara komersial, manakala kutipan serta pengagihan royalti memastikan pemegang hak menerima bayaran yang sewajarnya bagi penggunaan karya dan rakaman mereka.

Kedua-duanya penting dalam membina industri muzik yang mampan. Oleh itu, tumpuan perlu diberikan kepada pelaksanaan pembiayaan yang teratur dan pencapaian manfaat yang boleh diukur, bukannya meletakkan pelaburan dan akauntabiliti sebagai dua perkara yang saling bertentangan.

6. Perlindungan Hak Cipta dan Kecerdasan Buatan

RIM mengalu-alukan sokongan KARYAWAN terhadap keperluan supaya pembangun kecerdasan buatan (AI) mendapatkan lesen yang sewajarnya sebelum menggunakan karya kreatif yang dilindungi hak cipta untuk pembangunan AI secara komersial.

Seiring perkembangan kecerdasan buatan, perlindungan terhadap pencipta muzik dan pemegang hak daripada penggunaan karya serta rakaman mereka tanpa kebenaran adalah amat penting. RIM akan terus memperjuangkan kerangka hak cipta yang melindungi kepentingan pemegang hak sambil menyokong pembangunan teknologi secara bertanggungjawab.

Sebarang hasil yang dijana melalui pelesenan juga perlu diuruskan dengan mengambil kira hak yang diwakili serta aturan pengagihan yang berkenaan.

Kesimpulan

Industri muzik Malaysia telah merekodkan hasil tertinggi dalam sejarahnya, manakala kutipan CMO turut mencapai paras tertinggi. Perkembangan ini menunjukkan peningkatan nilai komersial muzik dan kepentingan melindungi hak mereka yang mencipta, membuat persembahan, menerbitkan serta melabur dalam industri ini.

RIM berpandangan bahawa kemajuan seterusnya memerlukan tanggungjawab bersama. Ini termasuk meningkatkan pemahaman mengenai pengagihan royalti, menggalakkan keahlian CMO yang sewajarnya, memperkukuh pasaran domestik, memperluas peluang antarabangsa serta memastikan pelaburan awam memberikan hasil yang bermakna.

RIM menyeru semua organisasi yang mewakili kepentingan pemegang hak muzik supaya memastikan kenyataan awam yang dikeluarkan adalah tepat, seimbang dan bertanggungjawab. Gambaran yang salah mengenai peranan organisasi industri atau kesimpulan yang dibuat tanpa mengambil kira fakta berkaitan tidak membantu menyelesaikan cabaran yang dihadapi oleh artis Malaysia.

RIM kekal komited untuk bekerjasama secara konstruktif dengan KARYAWAN, MACP, PPM, RPM, MyIPO, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kementerian Komunikasi serta pihak berkepentingan lain bagi memperkukuh industri muzik Malaysia dan mewujudkan peluang yang mampan untuk semua pemegang hak.

Dikeluarkan oleh Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM)
Untuk pertanyaan media, sila hubungi:
Rouslan Mokhtar – 012-298 8446

Mengenai Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM):

RIM ialah sebuah persatuan bukan berasaskan keuntungan yang kini mewakili lebih daripada 200 pemilik hak rakaman muzik di Malaysia dan merupakan ahli Persekutuan Antarabangsa Industri Fonografi (IFPI) yang mewakili industri rakaman sedunia dengan lebih 8,000 ahli di 70 buah negara. Sebagai badan yang mewakili kepentingan industri rakaman Malaysia sejak 1978, RIM memupuk pembangunan industri muzik tempatan menerusi pelbagai inisiatif untuk meningkatkan nilai muzik dan melindungi harta intelek milik ahli-ahlinya.

Terbaru