NOH SALLEH ANGGAP CANDENZA OF THE SOUL PENGHORMATAN TERTINGGI AUBREY SUWITO

NOH SALLEH ANGGAP CANDENZA OF THE SOUL PENGHORMATAN TERTINGGI AUBREY SUWITO

Bakal mempersembahkan 21 lagu bersama orkestra, Noh turut mengundang Aina Abdul berkongsi pentas dan menyimpan impian untuk menjemput Datuk Seri Siti Nurhaliza.

KUALA LUMPUR, 3 NOVEMBER 2026 – Menjelang Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra pada 8 November ini, Noh Salleh mengakui berdebar menantikan persembahan yang cukup istimewa dalam perjalanan seni selama dua dekad.

Bagi penyanyi, pemuzik dan komposer berusia 41 tahun itu, peluang beraksi bersama orkestra di bawah arahan pengarah muzik tersohor, Aubrey Suwito, bukan sekadar satu lagi konsert. Noh menganggapnya sebagai penghormatan besar yang mengiktiraf perjalanan muziknya selama ini.

Namun, perkara paling penting baginya ialah memastikan susunan orkestra tidak menenggelamkan identiti muzik yang sudah sebati dengan dirinya. Noh berkata Aubrey mahu mengekalkan sentuhan French pop yang menjadi antara warna muziknya, sambil memperluas bunyi lagu menerusi susunan orkestra.

“Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra adalah sebuah penghormatan tertinggi buat saya kerana Aubrey Suwito, yang saya segani, datang dan melahirkan idea ini kepada saya.

“Aubrey beritahu beliau tidak mahu kehilangan sentuhan seperti konsert saya sebelum ini. Beliau masih mahukan Noh Salleh yang mempunyai elemen French pop, tetapi dengan orkestra yang tidak mengganggu identiti saya,” katanya.

Noh ditemui ketika persiapan menjelang konsert yang bakal berlangsung di Idea Live Arena, Kuala Lumpur.

Kepercayaan Aubrey itu turut memberi makna tersendiri buat Noh. Baginya, perubahan skala persembahan tidak semestinya memerlukan seseorang artis meninggalkan identiti asal. Sebaliknya, ia membuka ruang untuk sisi muzik yang berbeza diketengahkan.

Malah, Noh berharap konsert seumpama itu dapat dijadikan acara tahunan. Bagaimanapun, beliau sedar cabaran utamanya ialah memastikan setiap persembahan hadir dengan kelainan dan mampu berkembang dari tahun ke tahun.

“Saya cuba untuk jadikan konsert ini sesuatu yang tahunan. Tetapi perjuangannya adalah untuk memastikan setiap tahun ada kelainan daripada tahun sebelumnya. Ini percubaan kedua untuk mengadakan konsert Noh Salleh.

“Biasanya persembahan Noh Salleh lebih bersifat akustik dengan sebuah band. Saya juga ada sisi muzik yang lebih besar dan berkelas, tetapi sebagai pemuzik, kita sentiasa bergelut untuk menunjukkan bahawa kita boleh menjadi lebih baik daripada tahun sebelumnya,” katanya.

21 LAGU, AINA ABDUL DAN IMPIAN MENJEMPUT SITI NURHALIZA

Pada malam konsert nanti, Noh dijangka menyampaikan sekitar 21 lagu yang menerima sentuhan susunan Aubrey. Persembahan itu turut menampilkan Aina Abdul, rakan kolaborasinya menerusi lagu hit Sang Penikam.

Noh juga tidak menyembunyikan impiannya untuk menjemput Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai penyanyi undangan. Baginya, hasrat itu bukan soal populariti atau kehebatan Siti, sebaliknya satu cara untuk menghargai biduanita negara itu yang pernah memberinya peluang membuat persembahan, termasuk sebagai penyanyi undangan pada Konsert Legacy 30 Tahun Siti Nurhaliza pada Januari lalu.

“Saya sedar siapalah Noh Salleh mahu Siti Nurhaliza ikut serta di Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra. Tapi itu memang impian, kerana beliau tidak pernah melupakan saya dalam banyak kegiatan seni termasuk konsert besarnya.

“Jadi, dalam banyak keadaan saya memang akan dahulukan Siti Nurhaliza. Ia umpama sebuah tindakan sopan daripada saya.

“Misalnya, jika beliau setuju, saya beri ‘dulang lagu’, minta dan beri kebebasan beliau memilih sendiri lagu yang mahu dinyanyikan,” katanya sambil ketawa.

Dianjurkan bersama Altus Prohouse dan CK Star Entertainment, konsert ini menjadi persembahan solo orkestra kedua buat Noh. Beliau sebelum ini pernah mengadakan konsert bersama Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) di Dewan Filharmonik Petronas pada November tahun lalu.

Tiket berharga RM188 (CAT 3), RM268 (CAT 2), RM368 (CAT 1), RM488 (VIP), RM588 (VVIP dan sesi meet and greet) serta RM788 (Twin Seat, Suite Room 1–4) masih boleh didapati menerusi Ticket2U dan Fantopia.

Terbaru