DIKIR BARAT MERENTASI GENERASI, LEBIH 10 TOKOH BERGABUNG DI MUZIUM NEGARA

Persembahan Dikir Barat Malaysia 2026 pada 7 November ini turut menampilkan sesi seni berpantun, forum warisan, kem belia dan usaha dokumentasi digital.
KUALA LUMPUR, 9 OKTOBER 2026 – Lebih 10 tokoh dan penggiat Dikir Barat bakal berkongsi pentas di Muzium Negara menerusi Persembahan Dikir Barat Malaysia 2026 pada 7 November ini.
Dianjurkan oleh Kota Pesta by Makar Fest dengan kerjasama Muzium Negara, program ini disokong Yayasan Hasanah melalui geran ArtsFAS (Arts For All Seasons). Nasi Kerabu Moknab turut menjadi rakan kolaborasi bagi menjayakan usaha mengangkat seni warisan tersebut.
Antara tokoh yang terlibat ialah Sabri Yunus, Halim Yazid, Jali Bunga Tanjong, Setapo Merak Emas, Eda Ezrin, Den Manjo, Fadil Turbo, Jemi Intan Berlian, Amran DBA, Ropie Hitam Manis dan Asrulfaizal Kamaruzaman. Beberapa lagi nama akan diumumkan secara berperingkat.
Pertemuan penggiat daripada pelbagai latar pengalaman itu dijangka menampilkan kepelbagaian gaya dan pendekatan dalam Dikir Barat, seni persembahan yang terus berkembang mengikut peredaran zaman.
Penganjuran di Muzium Negara turut membawa Dikir Barat, yang berakar daripada tradisi masyarakat Pantai Timur, ke ruang sebuah institusi warisan nasional. Usaha ini diharap dapat memperkenalkan seni berkenaan kepada khalayak lebih luas serta mengetengahkan nilai bahasa, kreativiti dan pemikiran yang terkandung di dalamnya.

SABRI YUNUS KUPAS SENI BERPANTUN
Selain persembahan pentas, program ini menampilkan sesi “Seni Berpantun dalam Dikir Barat” bersama Sabri Yunus. Sesi tersebut akan membincangkan keunikan pantun dalam Dikir Barat, termasuk spontaniti, teknik rima, permainan kata, kekayaan kosa kata dan kemahiran bercerita.
Pengisian ini turut memberi ruang kepada peserta untuk memahami kemahiran bahasa dan kepekaan terhadap isu masyarakat yang diperlukan dalam menghasilkan bait-bait Dikir Barat.

BERI RUANG KEPADA GENERASI MUDA
Pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi turut diberi peluang mengenali Dikir Barat melalui Dikir Barat Youth Camp. Bengkel ini akan membimbing peserta dalam penghasilan lirik, muzik dan teknik persembahan bersama tokoh serta penggiat seni.
Peserta juga akan menyediakan persembahan akhir berdasarkan ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang program. Penganjur berharap pendekatan ini dapat menarik minat golongan muda dan membantu melahirkan pelapis seni Dikir Barat.
Program ini turut merangkumi Forum Warisan yang menghimpunkan tokoh seni, penggiat budaya, pendidik dan generasi semasa. Antara perkara yang akan dibincangkan ialah cabaran mengekalkan relevansi seni tradisional dalam masyarakat moden sambil memelihara akar budaya dan identiti asalnya.

DOKUMENTASI DIGITAL UNTUK RUJUKAN
Persembahan Dikir Barat Malaysia 2026 turut memberi tumpuan kepada pendokumentasian digital. Rakaman program akan dijadikan bahan arkib, pendidikan dan rujukan untuk generasi akan datang.
Melalui gabungan persembahan, pendidikan, forum dan dokumentasi, penganjur berharap Dikir Barat terus dipelajari dan dikembangkan, bukan sekadar dikenang sebagai sebahagian daripada sejarah kebudayaan negara.
Pada 7 November ini, Muzium Negara bakal menjadi tempat pertemuan tokoh, penggiat dan generasi muda untuk meraikan seni Dikir Barat serta meneruskan warisannya.
MAKLUMAT ACARA
- Acara: Persembahan Dikir Barat Malaysia 2026
- Tarikh: 7 November 2026
- Lokasi: Muzium Negara, Kuala Lumpur
- Penganjur: Kota Pesta by Makar Fest
- Kerjasama: Muzium Negara
- Sokongan: Yayasan Hasanah melalui geran ArtsFAS (Arts For All Seasons)
- Rakan kolaborasi: Nasi Kerabu Moknab
Pengisian program: Persembahan khas tokoh Dikir Barat, sesi Seni Berpantun bersama Sabri Yunus, Forum Warisan, Dikir Barat Youth Camp, aktiviti pendidikan budaya dan pendokumentasian digital.

