Fajar Noor Pertaruh Jiwa Dalam Album Sulung ‘Sementara, Selamanya’, Menyelami Cinta, Kehilangan dan Harapan

KUALA LUMPUR – Penyanyi muda berbakat, Fajar Noor, kembali mewarnai industri muzik menerusi pelancaran album sulungnya berjudul Sementara, Selamanya, sebuah naskhah yang disifatkan sebagai karya paling jujur dan paling dekat dengan perjalanan hidupnya.

Bukan sekadar himpunan lagu cinta, album ini membawa pendengar menyusuri keseluruhan kitaran sebuah hubungan bermula dengan detik pertama jatuh cinta, berdepan konflik, kehilangan, patah hati, sehinggalah kepada perasaan yang masih tersisa walaupun hubungan itu sebenarnya telah berakhir.

Fajar Noor

Melalui konsep cycle of love, Fajar menterjemahkan pengalaman peribadinya ke dalam setiap karya dengan penuh keikhlasan. Setiap lagu menjadi cerminan emosi yang sering sukar diungkapkan, daripada kebahagiaan yang singkat sehinggalah penyesalan, kerinduan dan kata-kata yang tidak pernah sempat dilafazkan.

Menurut Fajar, album ini merupakan naskhah yang paling mencabar sepanjang kariernya kerana menuntut keberanian untuk benar-benar jujur terhadap diri sendiri.

“Cabaran terbesar adalah untuk jujur dengan diri sendiri. Banyak lagu dalam album ini datang daripada pengalaman dan emosi yang sangat dekat dengan saya. Saya harap setiap lagu bukan sahaja mewakili kisah saya, tetapi juga dapat dirasai oleh sesiapa yang pernah melalui fasa cinta, kehilangan dan penyesalan,” katanya.

Dari sudut produksi, Sementara, Selamanya menampilkan sentuhan penerbit terkenal Arsy Widianto dan Iqbal Siregar, yang menggabungkan elemen pop balada moden dengan susunan muzik yang bersih, sederhana namun sarat emosi. Melodi yang kuat dan aransemen yang tidak berlebihan menjadikan setiap lagu mudah didekati serta meninggalkan kesan mendalam kepada pendengar.

Album ini turut memperlihatkan kematangan Fajar bukan sahaja sebagai seorang penyanyi, malah sebagai seorang pencerita yang berjaya menghidupkan pelbagai rasa melalui muzik. Setiap karya hadir sebagai refleksi pengalaman yang mungkin pernah dilalui oleh sesiapa sahaja yang mengenali erti cinta, kehilangan dan harapan.

Dalam masa sama, Fajar turut berkongsi khabar gembira buat peminat di Malaysia menerusi sesi temu bual secara langsung bersama ERA Sabah, ERA Sarawak dan Gempak apabila mengumumkan bakal hadir ke negara ini bagi mempromosikan album sulungnya.

Lebih menggembirakan, beliau turut mengesahkan akan mengadakan sebuah persembahan album secara langsung di Malaysia, sekali gus membuka peluang kepada para peminat menikmati lagu-lagu daripada Sementara, Selamanya secara lebih dekat buat pertama kalinya.

“Terima kasih kepada semua peminat di Malaysia yang sentiasa menyokong muzik saya. Saya sangat teruja untuk akhirnya bertemu kalian buat kali pertama. Saya harap persembahan album secara langsung ini akan menjadi momen yang istimewa buat kita semua, dan saya tak sabar untuk membawakan lagu-lagu daripada album ini secara langsung dan berkongsi pengalaman itu bersama kalian,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai tarikh, lokasi dan butiran persembahan tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat menerusi saluran media sosial rasmi Fajar Noor dan Universal Music Malaysia.

Dengan lahirnya Sementara, Selamanya, Fajar Noor bukan sekadar memperkenalkan sebuah album sulung, tetapi menghadiahkan sebuah karya yang mengajak pendengar menerima hakikat bahawa setiap kehilangan tidak semestinya menjadi penamat. Sebaliknya, di sebalik setiap noktah, sentiasa ada ruang untuk sebuah permulaan yang baharu.

Terbaru