EDDIE SLAM: Arkitek Senyap Yang Membina Empayar Muzik Malaysia
Oleh: Bangbu Besihitam
Apabila berbicara tentang sejarah muzik rock tanah air, kebanyakan perhatian sering tertumpu kepada vokalis yang memukau pentas, gitaris yang menghamburkan solo penuh magis atau drummer yang menggegarkan setiap dewan persembahan. Namun, di sebalik gemerlap cahaya pentas itu, berdiri seorang insan yang menyusun setiap lapisan bunyi sehingga lahirnya karya-karya yang merentasi zaman. Beliau ialah Eddie Ahmad atau dikenali sebagai Eddie SLAM.
Nama Eddie SLAM mungkin tidak sering meniti di bibir peminat seperti nama-nama besar di hadapan pentas, namun sentuhan jemarinya di atas papan kekunci telah menjadi sebahagian daripada denyut nadi sejarah muzik Malaysia selama lebih tiga dekad.
Sebelum dikenali sebagai Eddie Slam, beliau terlebih dahulu mencipta nama bersama Ekamatra, antara kumpulan rock paling berpengaruh pada penghujung era 1980-an. Ketika industri muzik tempatan sedang menikmati ledakan muzik rock, Ekamatra muncul dengan identiti tersendiri menerusi karya-karya seperti Hanya Satu Persinggahan, Pusara Di Lebuhraya dan Sentuhan Kecundang, lagu-lagu yang sehingga hari ini masih dianggap antara karya paling ikonik dalam sejarah rock Melayu.

Di tengah-tengah era kegemilangan itu, Eddie Ahmad menjadi sebahagian daripada perjalanan Ekamatra. Pengalaman bersama kumpulan tersebut bukan sahaja membentuk kematangannya sebagai pemuzik, malah membuka ruang untuk beliau memahami dunia rakaman, susunan muzik dan disiplin yang diperlukan bagi menghasilkan karya berkualiti tinggi. Era bersama Ekamatra menjadi universiti sebenar buat Eddie sebelum beliau melakar satu lagi babak penting dalam kerjayanya.
Takdir kemudian menemukan beliau dengan Slam.
Kemasukan Eddie ke dalam Slam bukan sekadar melengkapkan barisan sebuah kumpulan, malah menjadi antara faktor penting yang memperkukuhkan identiti bunyi mereka. Daripada situlah lahir karya-karya malar segar seperti Kembali Terjalin, Tak Mungkin Berpaling, Nur Kasih, Manisnya Rindu dan Bukan Niat Membalas Derita. Album Kesan Terbukti ini telah memuatkan lagu-lagu berhantu ini berjaya menakluk kedudukan teratas carta muzik Malaysia dan Indonesia pada ketika itu dan membuatkan lagu-lagu ini terus hidup dalam jiwa peminat sehingga ke hari ini.
Namun, perjalanan Eddie tidak pernah terhad kepada dua buah kumpulan sahaja.
Beliau ialah antara pemuzik yang banyak meninggalkan jejak dalam industri rakaman tanah air. Sentuhannya boleh didengari dalam karya artis-artis besar seperti M. Nasir, Ella, Raihan, Dato’ Siti Nurhaliza, Jamal Abdillah, Ning Baizura, Misha Omar, Saleem, Nurul, Ajai, Zamani, Mawi, Man Bai, Nora, Fazley, Intan Sarafina, Sarah, Linda Nanuwil, Khai, Rosma, UNIC, Mestica, Munif Ahmad, BumiPutra Rockers, Fotograf dan ramai lagi.
Di sebalik lagu-lagu seperti Senyum, Simbiosis, Sampai Di Sini, Asma Ul Husna, Kita Cinta, Takdir, Kembali, Sesat Di Kuala Lumpur, Jika Kau Kekasih, Yang Tercinta, Muhammad Al Huda, Langkah Tercipta dan banyak lagi, terselit sentuhan seorang pemuzik yang memahami bahawa muzik bukan sekadar gabungan not, tetapi sebuah bahasa yang menyentuh jiwa manusia.
Hakikatnya, era kegemilangan rock Malaysia tidak pernah dibina oleh gitar semata-mata. Pada penghujung 1980-an dan sepanjang dekad 1990-an, hampir setiap kumpulan rock mempunyai pemain keyboard yang menjadi pelengkap kepada identiti muzik mereka. Mereka membina suasana, menghidupkan intro, memperkayakan harmoni dan mewarnakan emosi sesebuah lagu. Eddie Ahmad merupakan antara arkitek utama kepada landskap bunyi yang membentuk sebuah generasi.
Kehebatannya tidak hanya terserlah di studio rakaman. Eddie turut dikenali sebagai seorang pengarah muzik yang disegani. Tanggungjawabnya jauh melangkaui memainkan keyboard. Beliau menyusun keseluruhan perjalanan muzik sesebuah konsert, menyelaras pemuzik, mengawal dinamika persembahan dan memastikan setiap lagu dipersembahkan dengan sempurna.
Besihitam sendiri berpeluang menyaksikan profesionalisme Eddie ketika bekerjasama dalam Konsert For You Nourul. Ketelitian, disiplin dan ketenangannya mengendalikan barisan pemuzik membuktikan mengapa beliau begitu dihormati dalam kalangan penggiat industri. Di sebalik setiap persembahan yang kelihatan lancar, tersimpan pengalaman puluhan tahun yang tidak mampu dibeli dengan wang.
Ironinya, nama seperti Eddie Ahmad jarang menghiasi tajuk utama media. Beliau tidak mengejar populariti, tidak memburu sorotan dan tidak pernah menjadikan dirinya sebagai watak utama. Namun tanpa insan seperti beliau, banyak lagu yang menjadi runut bunyi kehidupan rakyat Malaysia mungkin tidak akan berbunyi seperti yang kita kenali hari ini.
Sudah tiba masanya penghargaan diberikan kepada mereka yang selama ini membina sejarah dari belakang tabir.
Kerana dalam dunia muzik, tidak semua legenda berdiri di hadapan mikrofon.
Ada yang membina sebuah era hanya dengan sepuluh jari di atas papan kekunci.
Dan Eddie Ahmad ialah salah seorang daripadanya.
Kembali Terjalin,
Saya Mesti Rajin
Warga Terjalin Sentiasa Dihati

