SYASYA RIZAL KEMBALI DENGAN IDENTITI SOLO, BUKA BABAK BAHARU MENERUSI “DIFFERENT”
KUALA LUMPUR, 21 Ogos 2026: Selepas melalui perubahan besar dalam kehidupan sebagai seorang isteri dan ibu, figura muzik muda, Syasya Rizal kini kembali ke gelanggang seni dengan semangat lebih matang, yakin dan berdikari menerusi single solo pertamanya berjudul “Different”.
Bukan sekadar sebuah lagu baharu, “Different” menjadi titik permulaan kepada perjalanan Syasya sebagai artis solo yang mahu membina laluan dan identitinya sendiri.
Masih mengekalkan tenaga muzik yang pernah membuatkan namanya dikenali, Syasya kali ini membawa sisi lebih personal berdasarkan pengalaman dan fasa kehidupannya sekarang.

“Same Syasya, just a different chapter.”
Itulah gambaran paling tepat mengenai kemunculan semulanya. Syasya masih individu yang sama, namun hadir dengan cerita, pengalaman dan keberanian yang berbeza.
“Bila pertama kali masuk ke studio bersama Amirul, saya beritahu dia bahawa saya mahu buat muzik yang apabila orang dengar, mereka terus tahu, ‘Oh, ini Syasya.’
“Elemen tenaga dan muzik yang orang kenal sebelum ini masih ada, cuma kali ini saya tampil dengan fasa kehidupan dan pengalaman yang baharu,” jelas Syasya.

Tidak Perlu Bersaing Untuk Menjadi Berbeza
“Different” dicipta dan ditulis bersama Amirul Azhar, Asyraf Nasir, Adib Hamdi, Naim Daniel serta Syasya sendiri.
Lagu tersebut mengangkat muzik pop segar dengan mesej pemerkasaan diri. Ia mengingatkan pendengar bahawa setiap individu berhak mengejar impian tanpa perlu berlumba atau membandingkan kehidupan mereka dengan orang lain.
Bagi Syasya, karya ini cukup dekat dengan dirinya kerana menggambarkan perjalanan seorang wanita yang kini memikul tanggungjawab sebagai isteri dan ibu, namun masih mempunyai impian yang mahu dikejar.
“Saya mencurahkan sepenuh hati dalam lagu ini. Mesej utamanya sangat ringkas, saya di sini bukan untuk bersaing dengan sesiapa, tetapi untuk membina laluan saya sendiri.
“Fasa motherhood atau perkahwinan bukanlah penghalang untuk seorang wanita berhenti mengejar impian. Keutamaan kita mungkin berubah, tetapi impian tidak perlu dipadamkan,” katanya.
Syasya turut berharap lagu tersebut menjadi peringatan kepada wanita bahawa perubahan dalam kehidupan tidak bermaksud mereka perlu mengorbankan segala cita-cita yang pernah dibina.
“Anda boleh terus membesar, berubah dan mengejar impian yang membuatkan anda berasa hidup,” tambahnya.

Pengalaman Baharu Dalam Penulisan Lagu
Pembikinan “Different” turut membuka ruang kepada Syasya untuk melibatkan diri dalam proses penulisan lagu.
Walaupun masih baharu dalam bidang berkenaan, Syasya bersyukur kerana dikelilingi pasukan produksi yang terbuka menerima idea dan pandangannya.
Menurutnya, suasana kerja yang selesa serta saling menghormati membolehkan dia lebih berani menentukan hala tuju kreatif yang diinginkan.

“Semua orang mahukan yang terbaik untuk lagu ini, dan daripada situlah lahirnya ‘Different’,” katanya.
Selepas penantian panjang, Syasya berharap karya ini dapat menjadi hadiah bermakna kepada peminat yang masih setia menunggu kemunculan solonya.
“Saya berharap para pendengar dapat menikmati tenaga lagu ini, menari bersama dan memahami mesej di sebaliknya.
“Untuk semua yang telah sabar menanti saya mengeluarkan lagu solo, terima kasih atas kesabaran anda. Insya-Allah, ini hanyalah permulaan kepada banyak lagi perkara menarik yang akan datang,” katanya.
“Different” kini boleh didengarkan menerusi semua platform penstriman digital. Bagi Syasya Rizal, ini bukan sekadar sebuah kemunculan semula. Ini adalah langkah pertama untuk memperkenalkan siapa dirinya apabila berdiri sendiri di bawah cahaya pentas.

