BIRU MATA HITAMKU: APABILA SEJATI KEMBALI KEPADA PEMILIK BUNYINYA

BIRU MATA HITAMKU: APABILA SEJATI KEMBALI KEPADA PEMILIK BUNYINYA

Oleh: Bangbu Besihitam

Aku tiba awal di Megastar Arena selepas seminggu pulang bercuti di kampung sebaik sahaja selesai tugasan Hari Kebangsaan. Ogos benar-benar mengerah tenaga. Sebulan yang panjang, padat dan memenatkan. Kepulangan ke kampung itu sekadar mahu merehatkan fikiran, menghirup udara yang tidak dikejar waktu sebelum kembali menelan kesibukan kota.

Namun kepenatan itu seperti hilang apabila mengenangkan satu pertemuan besar sedang menanti. Sebuah konsert yang bukan sekadar menghimpunkan lagu, tetapi menyambungkan kembali sejarah yang terputus selama tiga dekad.

KONSERT BIRU MATA HITAMKU BESIHITAM

Seperti biasa, aku memilih posisi di bahagian tengah, sedikit ke kanan pentas. Memang sengaja mahu berada di hadapan bagi mendapatkan sudut terbaik untuk rakaman. Bagi orang lain, mungkin berdiri di tengah lautan manusia itu memenatkan, tetapi bagi aku itulah medan kerja. Di situlah setiap peluh, wajah dan jeritan dapat dirakam dari jarak paling dekat.

Baru sahaja melangkah masuk, ruang di hadapan pentas sudah bertukar menjadi lautan manusia. Megastar Arena perlahan-lahan dipenuhi peminat yang datang membawa kenangan masing-masing. Mujur bertemu beberapa orang rakan yang dikenali. Dapatlah berbual dan bertukar cerita sementara menunggu tirai sejarah dibuka.

Suasana pada awalnya cukup tenang dan teratur. Namun sebaik sahaja lampu dipadamkan, ketenangan itu pecah oleh jeritan ribuan manusia. Mesin asap mula bertungkus-lumus menyelubungi pentas sehingga pandangan menjadi kabur. Dari balik kepulan asap itu, muncul sosok-sosok yang sekian lama dirindui dengan wajah disembunyikan di sebalik topeng barbarik.

Kemudian Black Beauty mula meraung menerusi lagu Penunggu.

Saat itu, seluruh Megastar Arena seperti kehilangan kewarasan. Jeritan bertembung dengan ngauman gitar, dentuman dram dan gemuruh bass. Di atas pentas berdiri empat sahabat yang pernah bersama-sama melahirkan album Biru Mata Hitamku. Selepas 30 tahun, bayangan lama itu akhirnya mempunyai jasad semula.

Melihat senyuman Black dan Eddie, aku tahu senyuman itu bukan dibuat-buat. Ada kerinduan, kelegaan dan sejarah panjang di sebaliknya. Ia adalah senyuman manusia yang akhirnya kembali menemui sahabat dan bunyi yang pernah menjadi sebahagian besar daripada kehidupan mereka.

Selama ini ada suara yang mengatakan mereka sudah tidak mampu menerajui dan menggalas peranan masing-masing. Malam itu segala sangkaan tersebut berubah menjadi fitnah songsang yang terpaksa ditelan kembali. Mereka bukan sahaja masih mampu berdiri di atas pentas, malah membedal hampir 20 buah lagu dengan tenaga, ketenangan dan disiplin yang sukar dipertikaikan.

Selesai Penunggu, intro Enigma mula berkumandang. Belum pun lagu itu berkembang sepenuhnya, seluruh penonton sudah menjerit seperti histeria sambil mengikut iramanya. Ada lagu yang memerlukan bait lirik untuk dikenali, tetapi Enigma hanya memerlukan beberapa detik untuk membuka pintu ingatan.

Badan Belut Kelapa Ular kemudian datang dengan sifatnya yang berat dan liar. Lagu ini benar-benar menguji kemampuan vokal, namun Mus membuktikan bahawa suara garaunya masih mempunyai taring. Lengkingannya memecahkan ruang sementara susunan muzik di belakangnya bergerak seperti jentera yang tidak mengenal belas kasihan.

Selepas diasak dengan lagu-lagu berat, suasana diperlahankan menerusi Bukan Kerana Matahari. Ribuan penonton mula hanyut dalam melodi yang mendamaikan. Ia disusuli Hati Sulam Lain, lagu kegemaranku yang membawa ingatan pulang kepada suatu masa yang pernah kita tinggalkan.

Satu Titik Yang Kosong pula hadir dengan makna yang mendalam sebelum Idaman membuatkan seluruh arena berkhayal seketika. Bukan mudah mahu mendengar lagu seperti Idaman dimainkan secara langsung. Bagi peminat lama, peluang itu ibarat membuka sebuah peti yang sudah bertahun-tahun tersimpan, masih berdebu tetapi penuh dengan kenangan yang tidak pernah rosak.

Ketika penonton masih terapung dalam arus melankolik, 203 dari album Mr. Barbarik datang mengejutkan suasana. Megastar Arena kembali digegarkan dengan bunyi yang lebih berat dan pantas. Blues Ular Sawa (Hidup Mati, Damai Perang) meneruskan serangan. Lagu ini bukan sahaja menuntut kekuatan kumpulan, tetapi benar-benar menguji stamina dan ketahanan vokal Mus.

Selepas itu, tibalah waktunya JoBranko mengambil alih pentas menerusi Watari. Sebuah instrumental yang wajib hadir setiap kali beliau membuat persembahan. Petikan pertama sahaja sudah cukup untuk membawa penonton memasuki dunianya. Tiada lirik diperlukan kerana gitarnya sendiri sudah pandai bercerita.

Kemudian muncul lagu yang paling ditunggu-tunggu peminat JoBranko, Lupakanlah.

Sebelum ini, peminat pernah terasa seperti “kena scam” apabila hanya disajikan bahagian intro. Kali ini JoBranko melunaskan hutang tersebut dengan sempurna. Bukan sekadar membayar hutang, malah siap membayar pendahuluan. Permainannya membuatkan seluruh arena melayang, manakala vokalnya malam itu kedengaran sedap dan cukup meyakinkan. Akhirnya penantian peminat dibayar dengan kepuasan.

Namun kemuncak emosi sebenar pada malam itu hadir menerusi Sejati.

Mus diberikan ruang untuk berehat sebentar di belakang pentas. JoBranko, Eddie dan Black pula mengambil posisi bagi mengembalikan sebuah bunyi yang selama ini hanya hidup dalam ingatan peminat.

Mereka bukan sekadar memainkan Sejati. Mereka adalah sebahagian daripada pemilik roh dan warna asal lagu tersebut.

Tatkala melodi itu memenuhi Megastar Arena, ribuan penonton menyanyi dengan penuh penghayatan. Ada yang mengangkat tangan, ada yang memejamkan mata dan tidak kurang juga yang mengelap air mata. Selepas sekian lama terpisah daripada Wings, akhirnya JoBranko kembali memainkan lagu kebangsaan kumpulan itu bersama dua sahabat lamanya, Eddie dan Black.

Inilah bunyi yang ditunggu-tunggu oleh peminat. Bunyinya bukan sekadar tepat pada notasi. Ia memiliki darah, parut, persahabatan dan sejarah. Dalam beberapa minit itu, masa seakan-akan berhenti. Kita tidak lagi berada pada tahun 2026. Kita dibawa kembali kepada sebuah zaman apabila bunyi mereka mula membentuk identiti Wings dan menjadi runut bunyi kepada kehidupan ribuan peminat.

Itulah momen paling kuat dan paling menyentuh sepanjang konsert ini.

Makam Kekasih dalam susunan akustik pula menjadi satu lagi kejutan yang cukup indah. Jarang sekali lagu tersebut dapat didengar dalam bentuk sedemikian. Susunannya memberikan ruang untuk melodinya bernafas sebelum kumpulan kembali mengasak menerusi Julang Timur Tengah.

Gegar Gunung Gemurah, lagu yang membawa kisah kehancuran sebuah kaum, muncul dengan tenaga dan suasana yang lebih gelap. Ia kemudian membawa penonton kepada persoalan yang sudah lama bermain dalam fikiran sebelum konsert, siapakah yang akan mengambil bahagian vokal Allahyarham Mael dalam Nasib Kita?

Jawapannya ialah Eddie.

Eddie kembali ke posisi mikrofon untuk berduet bersama Mus. Mungkin beliau bukan seorang penyanyi utama, tetapi suara dan keberaniannya malam itu cukup baik untuk memberikan nyawa kepada lagu tersebut. Lebih penting, ia dilakukan dengan jujur dan penuh rasa hormat terhadap bahagian yang pernah dinyanyikan Allahyarham Mael.

Apabila Biru Mata Hitamku dimainkan, lagu tersebut tidak lagi berdiri sebagai sebuah judul album semata-mata. Ia menjadi lambang perjalanan empat manusia yang pernah berjalan bersama, terpisah oleh waktu dan akhirnya ditemukan kembali oleh muzik.

Tiga puluh tahun bukan tempoh yang singkat. Banyak perkara boleh berubah. Rambut boleh memutih, tubuh boleh dimamah usia dan kehidupan boleh membawa manusia ke jalan yang berlainan. Namun apabila lagu itu dimainkan, kita sedar bahawa ada kenangan yang tidak pernah menjadi tua.

Krisis Di Pertengahan Hidup kemudian membuat seluruh arena menyanyi bersama sebelum Keris Tak Bersarung, lagu kebangsaan Barbarik, dipilih sebagai penutup konsert.

Ketika not terakhir dilepaskan, masih ramai yang belum puas. Rasanya seperti mahu malam itu dipanjangkan lagi. Namun setiap perjalanan tetap mempunyai penghujung. Apa yang tinggal selepas lampu dinyalakan ialah rasa puas, rindu yang sudah terubat dan kesedaran bahawa kita baru sahaja menyaksikan sebuah peristiwa yang mungkin tidak akan berulang dalam bentuk yang sama.

Mus seharusnya diberikan pujian besar. Pada usia emas, beliau masih mampu mengemudi keseluruhan persembahan dengan baik. Lagu-lagu berat dibawa dengan suara garau yang masih mempunyai kuasa, manakala lagu perlahan dinyanyikan dengan penuh berhemah dan penghayatan. Mengawal suara untuk hampir 20 buah lagu bukan tugas kecil, apatah lagi apabila sebahagiannya benar-benar menuntut stamina.

Kehebatan Mus mungkin tidak lagi perlu diperdebatkan. Malam itu beliau tidak cuba berlawan dengan usia. Sebaliknya, beliau menggunakan pengalaman untuk mengawal setiap kekurangan dan menonjolkan kekuatan yang masih dimiliki.

Peranan Eddie mungkin kelihatan kecil pada pandangan sesetengah orang, tetapi sebenarnya cukup besar. Beliaulah arus yang menghidupkan dasar setiap lagu. Petikan bassnya berdentum dengan bunga-bunga permainan yang memberikan kepuasan maksimum. Kehadirannya tidak perlu terlalu menonjol kerana setiap gerakan jarinya sudah berbicara melalui sistem bunyi.

Melihat Eddie kembali bergandingan dengan JoBranko terasa seperti menemukan cebisan melodi lama yang akhirnya diletakkan semula pada tempat asalnya. Apa yang pernah terpisah kini kembali disulam.

Ramai pula skeptikal terhadap kemampuan Black. Usianya sudah memasuki enam siri, satu tahap umur yang membuatkan ramai mula memperlahankan langkah. Namun Black bukan pemain dram biasa. Hidup dan matinya sudah sebati dengan paluan dram. Itulah makanannya, bahasanya dan cara beliau bernafas.

Bayangkan pada usia sebegitu, Black masih mampu menghabiskan hampir 20 buah lagu dengan tenang, kemas dan teknikal. Beliau ialah contoh seorang pemain dram yang berilmu, penuh disiplin serta mempunyai dedikasi tinggi terhadap tugasnya.

Black mungkin kelihatan senyap di bahagian belakang pentas, tetapi beliaulah denyutan yang menghidupkan Biru Mata Hitamku pada malam itu. Tanpa pukulannya, kapal ini tidak akan mempunyai enjin untuk bergerak. Salute kepada Black.

JoBranko pula tidak perlu dipertikaikan lagi permainannya. Beliau menjadi nakhoda yang membawa konsert ini ke tahap terbaik. Ngauman Black Beauty dan Gibson signaturenya membuktikan bahawa beliau bukan sekadar seorang pemain gitar berbakat, tetapi figura yang mempunyai karakter tersendiri.

JoBranko mengangkat muzik yang dicintainya ke satu tingkat yang berbeza. Beliau juga membuktikan bahawa perhatian dalam sesebuah konsert tidak semestinya hanya tertumpu kepada vokalis. Seorang pemuzik yang memiliki jiwa, karakter dan penguasaan pentas mampu berdiri sebagai tarikan utama.

Malam itu, beliau tidak berada di belakang sesiapa. Beliau berdiri di tempat yang sememangnya layak menjadi miliknya.

Seorang lagi pemuzik yang tidak boleh dilupakan ialah Lee selaku pemain keyboard. Kedudukannya mungkin sedikit tersorok di belakang pentas, tetapi sumbangannya dapat dirasakan sepanjang malam. Permainan Lee mengisi ruang-ruang kosong, memperkayakan lapisan muzik serta menjadikan setiap lagu kedengaran lebih harmoni, penuh dan bernyawa.

Keyboard bukan instrumen yang sentiasa menuntut perhatian, namun tanpanya banyak bahagian mungkin terasa kehilangan warna. Lee memahami bila perlu menyerlah dan bila harus menjadi bayang-bayang yang menyokong keseluruhan susunan. Walaupun tidak berada di bawah limpahan cahaya utama, kehebatannya tetap tidak boleh dipertikaikan. Beliau menjadi antara nadi tersembunyi yang membantu menghidupkan seluruh lagu pada malam itu.

Dari segi teknikal, tahniah harus diberikan kepada jurutera bunyi, Kuzai, yang berjaya mengawal keseimbangan bunyi dengan baik. Setiap instrumen mempunyai ruang untuk bernafas tanpa saling menenggelamkan. Dentuman dram Black, alunan bass Eddie, vokal Mus dan karakter gitar JoBranko dapat didengar dalam kedudukan yang sewajarnya.

Visual serta pencahayaan pentas juga berfungsi dengan baik dalam membina suasana. Kepulan asap, permainan cahaya dan perubahan warna memberikan wajah tersendiri kepada setiap bahagian persembahan. Produksi yang baik bukan sekadar mahu kelihatan gah, tetapi perlu tahu bila mahu menonjol dan bila perlu memberikan ruang kepada muzik. Malam itu, keseimbangan tersebut berjaya dicapai.

Kejayaan konsert ini turut membuktikan bahawa karya lama tidak pernah mati selagi masih ada manusia yang mahu mendengar dan menghidupkannya. Siapa sangka Biru Mata Hitamku berjaya menghimpunkan lebih 5,000 peminat di Megastar Arena? Angka itu bukan sahaja menunjukkan kekuatan nostalgia, tetapi membuktikan bahawa nama dan karya mereka masih mempunyai tempat yang besar di hati peminat.

Terima kasih dan tahniah kepada Iman Tang ICON ENTERTAINMENT selaku penganjur yang berani merealisasikan pertemuan bersejarah ini. Menggabungkan kembali empat sosok penting selepas 30 tahun bukan sekadar kerja menganjurkan sebuah persembahan. Ia adalah usaha menyusun semula cebisan sejarah supaya dapat disaksikan oleh generasi yang membesar bersama mereka dan generasi baharu yang hanya mengenali kisah tersebut melalui rakaman lama.

Terima kasih juga kepada Opie Sofia dan OPR Network kerana menjemput BESIHITAM untuk menyaksikan konsert ini serta memberikan kepercayaan kepada aku untuk berada di sana.

BIRU MATA HITAMKU bukan konsert untuk membuktikan siapa paling hebat. Ia adalah malam empat sahabat mengambil kembali tempat mereka dalam sejarah. Tiga puluh tahun mungkin memisahkan perjalanan, tetapi apabila bunyi asal itu kembali bergema, kita sedar bahawa ada persahabatan yang tidak pernah benar-benar mati.

Ia cuma lama menunggu untuk dipanggil pulang.

Bangbu BESIHITAM

Terbaru