KONSERT SPIDERAYA: 6,000 JADI SAKSI, SENGATAN SPIDER MASIH BERBISA

ULASAN KONSERT SPIDERAYA: 6,000 JADI SAKSI, SENGATAN SPIDER MASIH BERBISA

Kalau mahu bercerita tentang Spider, mungkin tiga dekad pun belum tentu cukup.

Kalau budak-budak generasi hari ini membesar dengan mengenali nama Bunkface sebagai antara wajah muzik rock, punk dan pop moden tempatan, generasi kami sudah lebih awal dipertemukan dengan kegilaan bunyi seperti itu melalui Spider.

Bukan mahu membandingkan siapa lebih hebat.

Jauh sekali mahu mempertandingkan dua generasi.

Ini tentang garis masa.

Sebelum nama Bunkface meledak dan lagu-lagu mereka menjadi runut bunyi generasi yang datang kemudian, telinga kami sudah terlebih dahulu diasuh dengan gitar, ska, punk, rock,grunge dan segala eksperimen bunyi pelik yang dibawa Spider.

Ketika itu mungkin kami sendiri tidak tahu mahu mengklasifikasikan muzik mereka sebagai apa.

Kami cuma tahu…

benda ni lain.

Spider bagi aku bukan sekadar sekumpulan manusia yang tahu memetik gitar, memukul dram dan menyusun melodi.

Mereka adalah sekumpulan pemuzik genius yang sejak awal memahami bahawa muzik tidak seharusnya hidup dalam satu spektrum sahaja.

Mereka bereksperimen.

Mereka mencampurkan frekuensi.

Mereka menggaul formula.

Dan daripada sebatian itu lahirlah sebuah identiti.

Ketika industri muzik tempatan sedang bergerak deras mengikut orbit arus perdana, Spider datang membawa DNA yang berbeza.

Mereka tidak berenang mengikut arus.

Mereka mengubah arah arus.

Album pertama mungkin belum menghasilkan ledakan besar pada graf populariti mereka walaupun sebenarnya banyak karya menarik terkandung di dalamnya.

Namun apabila album kedua, Aladin, dilepaskan ke atmosfera muzik Malaysia, berlaku sesuatu seperti tindak balas kimia.

Spider mencanak.

Aladin menjadi fenomena.

Atau kalau ditanya kepada orang kebanyakan…

“Ohh..Lagu Gosok tu kan? Gosok jangan tak gosok”

Hahaha.

Ska, rock dan punk dicantumkan seperti tiga unsur kimia berbeza yang akhirnya menghasilkan satu sebatian baharu.

Sebatian itu bernama bunyi Spider.

Kemudian mereka pergi lebih jauh.

Kasih Latifah muncul dengan aroma muzik Arab yang menyelinap di celah struktur rock dan ska.

Siapa terfikir?

Tetapi itulah kelebihan manusia yang berani bereksperimen.

Mereka tidak bertanya sama ada sesuatu bunyi itu sepatutnya berada di situ.

Mereka bertanya,

“Kalau kita letak di sini, apa akan terjadi?”

Dan 30 tahun kemudian kita sudah tahu jawapannya.

Ia menjadi klasik.

AKU PILIH SPIDER DARIPADA A7X

Spideraya pada asalnya dijadualkan berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil sebelum dipindahkan ke Idea Live Arena.

Aku sebenarnya sudah boleh membaca kemungkinan itu.

Manakan boleh dua jasad besar berada terlalu dekat dalam ruang dan waktu yang sama tanpa menghasilkan gangguan graviti.

Pada malam yang sama, Avenged Sevenfold berada bersebelahan di Unifi Arena.

Dua gergasi.

Dua kelompok peminat.

Dua medan magnet yang cuba menarik manusia ke arahnya.

Aku sebenarnya mempunyai pilihan untuk berada di sebelah sana.

Tetapi aku memilih Spider.

Bukan kerana mahu menafikan kebesaran sebuah nama antarabangsa.

Avenged Sevenfold bukan dalam radar aku.

Tetapi sambutan 30 tahun Spider seperti ini, kita sendiri tak tahu bila lagi akan berulang.

Dan Spider bukan sebuah kumpulan biasa yang boleh aku tepis begitu sahaja.

Selepas Maghrib aku bergerak menuju ke Idea Live Arena.

Sampai sahaja, ribuan manusia sudah membanjiri ruang.

Apa yang menarik ialah demografi manusia malam itu.

Bukan hanya generasi aku.

Ada Gen Z.

Gen Y.

Gen X.

Ada anak muda yang mungkin belum lahir ketika sesetengah lagu Spider mula-mula dihantar ke stesen radio.

Di sebelah mereka pula berdiri generasi yang pernah menunggu lagu kegemaran diputarkan di radio sambil jari bersedia di atas butang REC pemain kaset.

Generasi kaset berdiri di sebelah generasi Spotify.

Dua zaman.

Dua teknologi.

Tetapi malam itu gelombang bunyi menyamakan mereka.

Mungkin begitulah uniknya muzik.

Frekuensi tidak pernah bertanya berapa umur telinga yang menerimanya.

Ia hanya bergerak melalui udara, memasuki saluran telinga, menggetarkan gegendang sebelum otak menterjemahkannya sebagai bunyi.

Tetapi apabila bunyi itu pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan kita, otak tidak lagi sekadar menterjemahkannya sebagai muzik.

Ia menjadi memori.

Sebab itu aku melihat manusia seusia aku malam itu seperti sedang datang untuk melakukan satu transaksi yang mustahil dilakukan dengan wang.

Kami datang untuk membeli kembali zaman muda.

Masuk sahaja ke dalam dewan, aku terus mencari posisi biasa.

Tengah.

Menghadap tepat ke pentas.

Sebagai manusia yang suka merakam konsert, kedudukan itu penting kerana aku mahu telinga menerima medan bunyi yang lebih seimbang daripada kiri dan kanan.

Malangnya malam itu posisi tersebut sudah ditawan.

Padat.

Aku terpaksa bergerak ke sisi.

Dalam kepala terus terlintas,

“Habislah sound aku kali ini. Mesti diorang cakap aku rakam pakai kalkulator. ”

Kerana dalam fizik bunyi, lokasi pendengar memainkan peranan.

Apa yang kita dengar bukan hanya bergantung kepada sumber bunyi, tetapi bagaimana gelombang itu bergerak, memantul, bertembung dan akhirnya sampai kepada telinga.

Itulah Akustik.

Tapi malam itu aku tidak datang untuk mengukur desibel.

Aku datang untuk merasa.

Dan apabila melihat pentasnya, rasa kecewa tadi perlahan-lahan hilang.

LED besar mendominasi ruang dengan paparan visual kiri dan kanan. Pentas pula memberikan ruang kepada pemuzik untuk bergerak sehingga ke bahagian tengah.

Kemudian lampu dipadamkan.

Dan Idea Live Arena berubah menjadi sebuah mesin masa.

KISAH VCD PEKAN SARI

Di layar muncul klip telefilem Gosok.

Ada Tam.

Ada Bandi Amuk.

Aku terus terdiam.

Aku kenal babak ini.

Aku pernah membeli VCD tersebut di pekan sari suatu ketika dahulu.

Jengka ada macam-macam.

Masih jelas dalam ingatan aku bagaimana watak Bandi seperti mematahkan semangat Tam dengan menggambarkan Kuala Lumpur sebagai sebuah dunia ganas dan betapa sukarnya mahu menjadi artis.

Ketika itu aku menontonnya melalui sebuah cakera plastik yang berpusing dalam pemain VCD.

Hari ini aku menonton lelaki yang sama berdiri di ambang sambutan 30 tahun kumpulannya.

Masa sebenarnya tidak pernah berhenti.

Tubuh kita sahaja yang merekodkan perjalanannya melalui kedutan, rambut putih, metabolisme yang semakin perlahan dan lutut yang mula berbunyi bila bangun.

Hahaha.

Tetapi memori mempunyai hukum fizik yang pelik.

Satu gambar.

Satu bunyi.

Satu melodi.

Tiba-tiba jarak 20 atau 30 tahun boleh runtuh dalam beberapa saat.

Kemudian Spider muncul.

Bersahaja.

Tidak perlu turun dari langit.

Tidak perlu letupan.

Tidak perlu ilusi.

Is muncul dengan rambut dreadlock bersama bassnya.

Tam pula memegang Gibson SG Standard ’61 Maestro Vibrola.

Brader kita sudah 53 tahun.

Secara biologi, sel tubuhnya tentu tidak lagi sama seperti ketika Aladin mula meletup dahulu.

Tetapi apabila muzik bermula…

hukum penuaan seperti gagal berfungsi.

AYAT PENYENGAT MENJADI SENGATAN PERTAMA

Ayat Penyengat menjadi sengatan pertama malam itu.

Seperti jantung yang baru menerima impuls elektrik, seluruh arena mula hidup.

Pada beberapa minit awal, penonton masih mencari koordinasi.

Ada yang memandang kiri dan kanan.

Ada yang mungkin pertama kali menghadiri konsert.

Ada pula veteran konsert yang sudah tahu protokol tidak rasmi zaman moden.

Telefon dikeluarkan.

Kamera depan dibuka.

Record.

Kemudian menyanyi.

Masuk Telinga Ke Tulang, muzik yang bagi aku masih mempunyai karakter futuristik walaupun sudah lama dicipta.

Disusuli Kacap Terlabik.

Tam mula bergerak ke tengah pentas.

Crowd mula kehilangan sedikit kawalan terhadap sistem kardiovaskular mereka.

Kaki bergerak.

Bahu bergoyang.

Ada yang melompat.

Aku?

Aku mengawal pengeluaran tenaga.

Metabolisme usia empat puluhan mengajar kita bahawa tenaga perlu digunakan secara strategik.

Hahaha.

Kemudian Cinta Dewa Dewi masuk.

Intro ska sahaja sudah cukup menghasilkan tindak balas spontan.

Tangan naik.

Kepala bergoyang.

Lirik pada LED menjadi pemangkin kepada ribuan mulut.

Phobia pula datang seperti gelombang psikedelik yang menerawang di ruang sebelum Tapi Bagaimana menurunkan sedikit denyutan.

Kemudian Kita Satu, Hidupku, Kerongsang dan Ngam Ho menyempurnakan segmen pertama.

Ketika itu aku mula sedar.

Spider sudah tidak lagi menyanyi sendirian.

Suara manusia di seluruh arena mula menenggelamkan suara Tam.

Secara teknikal mungkin kita boleh memanggilnya gangguan terhadap sumber audio utama.

Tetapi secara emosi…

itulah resonansi.

Apabila ribuan manusia bergetar pada frekuensi emosi yang sama.

SEGMEN KEDUA

Segmen kedua diteruskan dengan Permataku Suria, Buat Sang Puteri, Mungkinkah Terjadi, Tony Gila Lucy, Salut, Rasakan Resapkan, Laukku Cukup Masin, Anti Graviti, Mabuk dan Katalis.

Semakin lama konsert berlangsung, semakin jelas satu fenomena berlaku.

Spider sedang mengaktifkan memori auditori ribuan manusia secara serentak.

Kadang-kadang kita terlupa apa yang kita makan tiga hari lalu.

Tetapi intro lima saat sebuah lagu yang kita dengar 20 tahun dahulu boleh membuatkan otak membuka semula makmal memori yang kita sendiri lupa kewujudannya.

Malam itu Spider mempunyai puluhan kunci untuk membuka bilik-bilik tersebut.

Setiap lagu membuka pintu berlainan.

Ada yang mungkin teringat zaman sekolah.

Ada yang teringat kekasih lama.

Ada yang teringat kereta pertama.

Ada yang teringat kawan yang sudah lama tidak ditemui.

Ada pula mungkin teringat ibu dan ayah ketika mereka masih muda.

Sebab itulah nostalgia mempunyai kuasa yang pelik.

Ia tidak boleh disentuh.

Tidak mempunyai jisim.

Tetapi beratnya kadang-kadang boleh menekan dada.

TERINGAT ARWAH LOLOQ

Apabila Laukku Cukup Masin dimainkan, aku kembali memikirkan tentang satu lagi elemen penting dalam struktur genetik Spider.

Arwah Loloq.

Lirik yang ditinggalkan manusia ini bukan sekadar susunan perkataan yang mempunyai rima.

Ia seperti kejuruteraan bahasa.

Metafora disusun.

Sindiran diselit.

Makna disembunyikan di belakang makna.

Ketika muda kita menyanyikannya tanpa banyak berfikir.

Bila dah berumur sedikit, kita dengar balik lalu terfikir,

“Siot… dalam rupanya maksud dia.”

Hahaha.

Teksnya tidak berubah.

Kita yang berubah.

Itulah keindahan karya yang mempunyai lapisan.

Ia membesar bersama pendengarnya.

TIGA ROH TIDAK KELIHATAN, TETAPI HADIR

Dalam sebuah perayaan sebesar ini, tetap ada ruang yang tidak mampu diisi oleh cahaya LED.

Tony.

Napie.

Loloq.

Tiga nama yang jasadnya tidak lagi berada di pentas bersama Spider.

Tetapi sains sendiri mengajar kita bahawa tenaga tidak hilang begitu sahaja.

Ia berubah bentuk.

Kalau prinsip itu boleh aku pinjam untuk menggambarkan muzik, tenaga tiga manusia ini masih berada di dalam Spider.

Tony masih hidup dalam garis bass yang pernah dibina.

Napie masih bernafas dalam riff dan tekstur gitar.

Loloq masih bercakap setiap kali ribuan manusia menyebut semula perkataan yang pernah ditulis tangannya.

Mereka tidak kelihatan.

Tetapi hasil kerja mereka mempunyai frekuensi.

Dan selagi frekuensi itu masih bergerak melalui udara menuju telinga manusia…

mereka belum benar-benar diam.

Aku beberapa kali melihat wajah Tam ketika lagu-lagu tertentu dimainkan.

Ada ketika ekspresinya berubah.

Kita di bawah mendengar lagu.

Tetapi mungkin Tam melihat manusia.

Kita mendengar gitar.

Mungkin dia teringat Napie.

Kita mendengar bass.

Mungkin muncul Tony.

Kita menyanyikan bait-bait indah dan pelik yang pernah ditulis.

Mungkin dia teringat Loloq.

Kita menerima lagu itu sebagai bunyi.

Tam mungkin menerimanya sebagai kehilangan.

Dan hanya dia tahu bagaimana rasanya berdiri di tengah ribuan manusia tetapi dalam fikirannya mungkin sedang duduk bersama sahabat-sahabat yang sudah tiada.

AIE, JANTUNG YANG MASIH MENGEPAM

Aku kena bercakap juga tentang anggota Spider malam itu.

Aie betul-betul menghidupkan keseluruhan sound Spider.

Kalau muzik Spider malam itu sebuah tubuh, Aie adalah jantungnya.

Setiap pukulan dram menjadi denyut yang menghantar darah kepada keseluruhan struktur muzik.

Kick memberikan tekanan.

Snare menjadi impuls.

Hi-hat dan cymbal mengisi ruang sehingga keseluruhan muzik terasa bernyawa.

Aie adalah antara anggota asal yang masih ada dan malam itu aku benar-benar dapat merasakan bagaimana permainannya masih menjadi salah satu paksi yang memacu muzik Spider.

Gerak lentoknya ketika bermain bukan sekadar gaya.

Ada groove di situ.

Ada memori otot yang sudah terbina berpuluh tahun.

Tubuhnya seperti sudah menyimpan formula lagu-lagu Spider dalam sistem neuromuskular.

Dan walaupun ramai dah tahu, aku tetap nak bagitahu juga.

Aie ni adik Along Exist.

Hahaha.

IS, SI DREADLOCK YANG LIAR

Pernah bersama kumpulan BAU sebagai vokalis dan pemain bass.

Dan malam Spideraya…

Is liar.

Gerak-gerinya benar-benar memberikan dimensi visual kepada muzik Spider.

Badannya bergerak mengikut groove.

Bassnya pula menjadi jambatan antara denyutan dram Aie dengan lapisan harmonik gitar.

Dalam muzik, frekuensi rendah mungkin tidak sentiasa menjadi bunyi paling jelas kita dengar.

Tetapi cuba buang bass.

Tiba-tiba seluruh tubuh lagu terasa kehilangan berat.

Itulah Is malam itu.

Dia memberikan jisim kepada Spider.

Dan dreadlock itu pula memang cukup kena dengan karakter ska dan reggae yang dekat dengan sebahagian DNA muzik Spider.

Kalau bercakap pasal dreadlock dalam dunia muzik Malaysia, memang tak ramai.

Sebut sahaja dreadlock, otak aku automatik teringat Aru Koffin Kanser.

Tetapi malam Spideraya, Is membawa imej itu dengan identitinya sendiri.

Dia tidak sekadar memainkan bass.

Dia menari bersama frekuensi dengan penuh bergaya.

POWN HASRIL DAN ILMU YANG TIDAK MATI

Bahagian gitar pula bagi aku mempunyai tekanan yang cukup besar.

Semua orang tahu permainan gitar Spider bukan mudah.

Arwah Napie bukan sekadar memainkan chord dan solo.

Dia mencipta tekstur.

Macam-macam bunyi pelik keluar daripada gitarnya.

Ada lapisan.

Ada efek.

Ada permainan tonal.

Ada bunyi yang kadang-kadang membuatkan kita tertanya-tanya sama ada benda itu benar-benar datang daripada enam tali.

Maka untuk berdiri di posisi itu selepas ketiadaan Napie bukan kerja mudah.

Malam itu tanggungjawab tersebut berada pada bahu Pown Hasril.

Daripada seorang guitar tech kepada arwah Napie, hari ini dia berdiri di tempat yang suatu ketika dahulu menjadi wilayah gurunya.

Ada sesuatu yang cukup puitis tentang perjalanan itu.

Dahulu tangannya mungkin membantu menyediakan instrumen dan memastikan bunyi seorang gitaris dapat dilahirkan dengan sempurna.

Hari ini tangan yang sama memegang gitar dan memainkan lagu-lagu tersebut di hadapan ribuan manusia.

Di sinilah aku percaya bahawa ilmu mempunyai caranya sendiri untuk menentang kematian.

Manusia boleh pergi, tetapi ilmu tidak semestinya dikebumikan bersama pemiliknya.

Sedikit sebanyak skill dan roh permainan arwah seperti masih bernyawa melalui jari Pown.

Bukan bermaksud dia cuba menjadi Napie.

Dia juga tidak perlu menjadi Napie.

Kerana Napie hanya ada satu.

Sudah tentu bukan 100 peratus sama.

Setiap gitaris mempunyai cap jmohor muziknya sendiri.

Tetapi malam itu Pown berjaya menghidupkan kembali seni bina gitar Spider dengan sangat baik.

Dalam muzik yang mempunyai begitu banyak lapisan teknikal, tugasnya bukan sekadar memainkan not yang betul.

Dia perlu menghidupkan karakter bunyi.

Dan malam itu dia berjaya.

Sempurna bukan bermaksud menjadi salinan manusia yang telah pergi.

Sempurna ialah apabila kita masih dapat menutup mata…

dan tubuh kita berkata,

“Ya. Ini masih roh Spider.”

TAM, INSTRUMEN YANG TIDAK BOLEH DITUKAR GANTI

Dan kemudian Tam.

Pada usia 53 tahun, aku sendiri tertanya-tanya macam mana Tam mahu menghabiskan hampir 30 lagu.

Ternyata dia mampu membawanya dengan baik.

Bukan sekadar menghabiskan lagu.

Dia menyampaikan keseluruhan persembahan dengan karakter vokalnya masih utuh.

Aku tak tahu apa amalan harian brader ni.

Apa dia makan.

Apa dia minum.

Apa dia buat dengan peti suara dia.

Hahaha.

Tetapi suara serak basah Tam itu memang sukar ditiru.

Dalam sains bunyi kita ada istilah ‘timbre’, iaitu warna sesuatu suara yang membuatkan otak mampu membezakan dua manusia walaupun mereka menyanyikan nota yang sama.

Tam mempunyai cap jari bunyi itu.

Beberapa patah perkataan sahaja keluar daripada mulutnya dan otak terus memberikan satu jawapan:

Inilah Spider.

Tetapi ada satu lagi perkara tentang Tam yang kadang-kadang kita terlupa untuk hargai kerana sudah terlalu biasa melihat dia melakukannya.

Tam menyanyi sambil bermain gitar.

Bunyinya mudah.

Pegang gitar.

Main.

Nyanyi.

Cuba kau buat tengok.

Hahaha.

Baru kita faham otak sebenarnya sedang melakukan proses koordinasi yang cukup kompleks.

Tangan kiri perlu mengingati kedudukan chord dan nota pada fretboard.

Tangan kanan menjaga petikan serta ritma.

Otak memproses tempo dan struktur lagu.

Mulut mengeluarkan lirik.

Pernafasan dikawal.

Pitch vokal perlu dijaga.

Dan semua itu berlaku serentak.

Lebih-lebih lagi muzik Spider bukannya tiga chord lurus yang boleh dimainkan sambil pejam mata.

Ada groove.

Ada ska.

Ada syncopation.

Ada perubahan dinamik.

Ada bahagian gitar yang memerlukan ketepatan ritma.

Dan dalam masa yang sama Tam perlu menyampaikan melodi vokalnya.

Yang membuatkan benda itu nampak luar biasa ialah Tam melakukannya seperti ia bukan sesuatu yang luar biasa.

Gitar itu seperti sudah menjadi sambungan kepada sistem sarafnya.

Isyarat daripada otak turun melalui saraf.

Tangan bergerak.

Tali bergetar.

Udara bergerak.

Pada masa yang sama peti suaranya menghasilkan satu lagi frekuensi.

Dua instrumen bergerak daripada seorang manusia.

Satu diperbuat daripada kayu, besi dan elektronik.

Satu lagi daripada daging, udara dan pita suara.

Dan kedua-duanya dikawal oleh seorang manusia bernama Tam.

Kadang-kadang apabila seseorang sudah terlalu lama hebat, kita menjadi terbiasa dengan kehebatannya.

Kita melihat Tam melakukan perkara itu bertahun-tahun sehingga kita menganggapnya normal.

Padahal bukan semua orang mampu melakukannya dengan baik.

Di Malaysia, bagi aku bukan ramai frontman yang mempunyai kemampuan sebegitu sehingga permainan gitar dan vokalnya menjadi sebahagian daripada identiti sebuah kumpulan.

Tam adalah satu anugerah kepada muzik Malaysia.

Ada orang dilahirkan dengan suara.

Ada orang dianugerahkan kemahiran bermain instrumen.

Ada orang mempunyai bakat mencipta identiti.

Sesekali muncul seorang manusia yang mendapat beberapa perkara itu dalam satu tubuh.

Tam salah seorang daripadanya.

Sebab itu bagi aku Tam memang raja dalam genrenya sendiri.

Bukan kerana dia perlu mengalahkan sesiapa.

Tetapi kerana wilayah itu sudah lama mempunyai cap jarinya.

Suara itu miliknya.

Lenggok itu miliknya.

Permainan gitar itu sebahagian daripadanya.

Bakat Tam, pada pandangan aku, memang kelas nombor satu.

Kadang-kadang alam hanya menghasilkan seorang manusia dengan kombinasi bakat yang tepat pada waktu yang tepat.

Dan muzik Malaysia cukup bernasib baik kerana salah seorang daripadanya bernama…

Tam Spider.

EMPAT SERANGGA

Bila semuanya dicantumkan, barulah aku faham kenapa Spideraya masih kedengaran seperti Spider.

Aie menjadi jantung.

Is memberikan jisim dan groove.

Pown menjaga tekstur serta seni bina gitar.

Tam menjadi suara, gitar dan identiti yang mengikat semuanya.

Empat manusia.

Empat fungsi.

Empat sumber tenaga.

Tetapi apabila gelombang bunyi mereka bertemu di udara, telinga tidak lagi sibuk memisahkan siapa anggota asal dan siapa yang datang kemudian.

Tidak lupa kepada pemain trompet, trombon, dan saksofon.

Juga Keyboardist yang menghidupkan keseluruhan lagu.

Otak mengenali coraknya.

Lalu memberikan satu nama.

Spider.

Dalam tubuh manusia, sel sentiasa mati dan diganti.

Tubuh kita hari ini bukan lagi komposisi sel yang sama seperti puluhan tahun dahulu.

Tetapi apabila berdiri di hadapan cermin, kita masih mengenali manusia yang sama.

Mungkin Spider juga begitu.

Sebahagian sel asalnya telah pergi.

Manusia lain datang meneruskan fungsi.

Tetapi…

DNA muziknya masih boleh dikenal pasti.

GOSOK

Kalau selepas hampir tiga jam orang tanya,

“Lagu mana paling kau suka malam ni?”

Aku tak perlu fikir lama.

Aladin.

Mungkin ada faktor nostalgia.

Tetapi lebih daripada itu, bagi aku Aladin adalah antara lagu paling lengkap untuk memahami anatomi muzik Spider.

Lagu itu padat.

Ada gitar.

Ada bass.

Ada dram.

Ada groove.

Ada permainan dinamik.

Ada ruang untuk vokal Tam.

Dan segala lapisan itu tidak berebut mahu menjadi hero.

Masing-masing mempunyai fungsi dalam spektrum frekuensinya sebelum bercantum membentuk satu dinding bunyi yang penuh.

Itulah yang aku maksudkan sebagai complete musikalnya.

Bila dimainkan secara live, baru kita boleh membedah lagu itu menggunakan telinga.

Dram Aie menjadi sistem peredaran darah.

Bass memberikan tulang dan berat.

Gitar membentuk tekstur dan saraf.

Suara Tam menjadi identiti yang memberikan nyawa.

Apabila semuanya masuk serentak…

penuh.

Tidak terasa kosong.

Dan bila intro Aladin masuk malam itu, Idea Live Arena meletup.

Inilah “lagu kebangsaan” Spider.

Atau bahasa rakyat…

Gosok!

Hahaha.

Secara neurologi mungkin dopamin sedang dilepaskan.

Secara psikologi mungkin memori lama sedang diaktifkan.

Tapi dalam bahasa mudah…

memang gila.

Ada yang melompat.

Ada yang tersenyum.

Ada yang memeluk pasangan.

Ada juga yang menangis.

Aneh kan?

Lagu itu bukannya lagu sedih.

Tetapi manusia tidak semestinya menangis kerana kesedihan.

Kadang-kadang kita menangis apabila otak menerima terlalu banyak kebahagiaan dan kenangan dalam satu masa sehingga bahasa tidak lagi mampu memprosesnya.

Akhirnya tubuh menggunakan air mata.

RELAKU PUJUK DAN TAM TERLENTANG

Kemudian sampailah kita ke penghujung.

Penonton masih meminta.

Satu lagi.

Spider akhirnya “belanja”.

Relaku Pujuk.

Tam memberitahu bahawa inilah lagu terakhir.

Dia bergerak ke tengah pentas.

Duduk.

Kemudian berbaring.

Entah kenapa visual itu melekat kuat dalam kepala aku.

Aku tidak melihat seorang penyanyi sekadar berbaring.

Aku melihat seorang lelaki yang seperti baru sahaja menamatkan sebuah maraton emosi.

Tiga bulan persiapan.

30 lagu.

tiga jam.

30 tahun perjalanan.

Jika tekanan mempunyai jisim, mungkin malam itu Tam sedang meletakkan beberapa tan beban daripada bahunya.

Dia berbaring seperti sedang menyerahkan tubuh kepada graviti.

Seolah-olah berkata,

“Akhirnya sampai juga kita ke sini.”

Kemudian Relaku Pujuk bermula.

Ribuan suara menyambut.

Suara Tam tenggelam.

Muzik kadang-kadang turut tenggelam.

Yang tinggal ialah suara kolektif manusia.

Bayangkan sekitar 6,000 pasang paru-paru menolak udara melalui pita suara pada waktu yang hampir sama.

Secara biologi ia hanyalah udara.

Secara fizik ia hanyalah getaran.

Tetapi apabila getaran itu membawa sebuah lagu yang hidup bersama kita selama bertahun-tahun…

ia berubah menjadi sesuatu yang tidak mampu diterangkan oleh formula.

Ia menjadi rasa.

SPIDER BUKAN PRODUK STUDIO

Aku pernah skeptikal terhadap Spider.

Aku pernah tertanya-tanya bagaimana muzik mereka yang mempunyai begitu banyak lapisan boleh diterjemahkan secara live.

Bolehkah semua tekstur itu dibawa ke pentas?

Persoalan tersebut sebenarnya sudah lama terjawab ketika aku menonton Spider Live at Planet Hollywood.

Ketika itu arwah Napie dan Tony masih ada.

Aku dengar sendiri.

Hampir sebijik seperti album.

Spideraya sekali lagi membunuh skeptikal itu.

Mereka mampu menterjemahkan rakaman studio menjadi tenaga kinetik di atas pentas.

Ini bukan sekumpulan manusia yang kelihatan hebat kerana teknologi studio.

Mereka memang pemuzik.

Dan bagi aku, itulah beza antara sekadar memainkan lagu dengan benar-benar memahami anatomi sebuah lagu.

PRODUKSI: APABILA TEKNOLOGI TAHU TEMPATNYA

Dari sudut produksi, visualnya antara yang aku suka.

LED digunakan untuk membantu persembahan, bukannya cuba mengalahkan pemuzik.

Visual tidak mengarut.

Lirik di skrin pula menjadi pemangkin kepada fenomena karaoke besar-besaran malam itu.

Lighting membantu membentuk atmosfera tanpa menenggelamkan manusia di atas pentas.

Tiada gimik besar yang benar-benar membuatkan aku ternganga.

Tetapi selepas difikirkan kembali…

untuk apa?

Spider mempunyai 30 tahun katalog muzik sebagai gimik mereka.

Cuma satu gangguan teknikal yang agak ketara ialah IEM yang beberapa kali bermasalah sehingga kru perlu kerap masuk membetulkannya.

Ia tidak merosakkan keseluruhan momentum, tetapi cukup untuk beberapa kali mengganggu pandangan.

Namun Tam terus bergerak.

Terus menyanyi.

Terus menjadi Tam.

Aku suka sifatnya yang begitu.

Dia bukan frontman yang memerlukan ucapan panjang untuk membuktikan karisma.

Dia nampak pemalu.

Bersahaja.

Kadang-kadang seperti kekok mahu bercakap.

Tetapi mungkin di situlah kejujurannya.

Tam tidak bercakap banyak melalui mikrofon. Dia bercakap melalui muzik.

30 TAHUN SPIDER

Ada satu perkara yang hanya aku fikirkan selepas melihat keseluruhan konsert.

30 tahun itu lama.

Dalam tempoh itu industri muzik berubah.

Kaset mati.

CD perlahan-lahan hilang.

MP3 datang.

YouTube muncul.

Streaming mengambil alih.

Media sosial pula mengubah cara lagu menjadi popular.

Spider melalui hampir semua evolusi itu.

Mereka datang daripada zaman manusia menunggu radio memainkan lagu kegemaran dan masih berdiri pada zaman algoritma boleh menghantar sebuah lagu terus ke telefon kita.

Dunia di sekeliling mereka berubah.

Anggota berubah.

Teknologi berubah.

Cara manusia menikmati muzik berubah.

Tetapi apabila intro lagu Spider dimainkan…

DNA itu masih boleh dikenal pasti.

Lebih menarik, malam Spideraya aku melihat anak muda berdiri bersama generasi aku.

Ini bermakna muzik Spider tidak berhenti pada generasi pertama pendengarnya.

Ia berpindah.

Daripada abang kepada adik.

Daripada ibu bapa kepada anak.

Daripada kaset kepada streaming.

Daripada radio kepada media sosial.

Mediumnya berubah.

Tetapi melodinya tetap selamat.

Dan mungkin itulah pencapaian sebenar sebuah band selepas 30 tahun.

Apabila kau memainkan lagu yang dicipta berdekad dahulu…

manusia yang mungkin belum lahir ketika lagu itu dicipta turut membuka mulut dan menyanyikannya bersama kau.

Pada tahap itu muzik tersebut sudah melepasi zamannya.

Ia sudah menjadi warisan.

3 BULAN + 30 LAGU + 3 JAM = 30 TAHUN

Spideraya akhirnya boleh diterjemahkan melalui satu persamaan mudah.

3 bulan persiapan.

30 lagu.

3 jam persembahan.

Untuk meraikan 30 tahun perjalanan.

Tetapi matematik hanya mampu mengira kuantiti.

Ia tidak mampu mengukur emosi.

Frekuensi boleh diukur dalam Hertz.

Bunyi boleh diukur dalam desibel.

Masa boleh diukur dalam saat.

Usia boleh dikira dalam tahun.

Tetapi sehingga hari ini manusia masih belum mencipta unit untuk mengukur rindu.

Tidak ada alat untuk mengukur berat sebuah kenangan.

Tidak ada sensor yang boleh memberitahu berapa banyak memori meletup di dalam kepala seseorang apabila intro lagu zaman mudanya dimainkan.

Dan mungkin sebab itulah muzik masih menjadi salah satu misteri paling indah tentang manusia.

Kita datang sebagai ribuan individu yang membawa kehidupan masing-masing.

Tetapi apabila lagu yang sama dimainkan, ribuan sistem saraf memberikan tindak balas kepada rangsangan yang sama.

Kita menyanyi.

Kita tersenyum.

Kita menangis.

Kita menjadi seekor serangga besar yang bernama…

penonton.

TERIMA KASIH

Sebelum aku menutup catatan panjang ini, aku mahu merakamkan penghargaan kepada B7 Event dan Opie Sofia kerana menjemput BESIHITAM sebagai tetamu pada malam Spideraya serta memberikan kepercayaan kepada kami untuk berada di sana, melihat, mendengar dan merakam sendiri sebuah malam yang cukup penting dalam perjalanan 30 tahun Spider.

Bagi aku, sebuah jemputan bukan sekadar sekeping tiket untuk melepasi pintu masuk sebuah konsert.

Ia adalah sebuah kepercayaan.

Kepercayaan untuk kami menjadi mata yang melihat, telinga yang mendengar dan akhirnya tangan yang mencatat apa yang berlaku untuk dibawa kepada mereka yang tidak berkesempatan berada di sana.

Kerana selepas lampu pentas dipadamkan, LED berhenti menyala dan gelombang bunyi terakhir hilang daripada ruang udara…

yang tinggal hanyalah memori, gambar, rakaman dan tulisan.

Dan mungkin itulah tugas kecil kami di BESIHITAM.

Menyimpan sedikit daripada sejarah supaya ia tidak hilang ditelan masa.

Terima kasih B7 Event dan Opie Sofia atas jemputan dan kepercayaan.

Aku datang ke Spideraya sebagai seorang lelaki yang sedar usia sentiasa bergerak ke hadapan.

Tetapi aku keluar membawa sesuatu yang aku fikir sudah lama tertinggal.

Kaset.

Radio.

VCD.

Pekan sari.

Kedai muzik.

Rambut panjang.

Baju bundle.

Kawan-kawan lama.

Dan versi diri aku yang jauh lebih muda.

Masa memang tidak boleh diputar semula.

Tony tidak akan kembali.

Napie tidak akan kembali.

Loloq tidak akan kembali.

Sel-sel dalam tubuh kita juga akan terus menua.

Entropi alam semesta sentiasa bergerak ke hadapan.

Tetapi malam itu Spider membuktikan bahawa ada satu benda yang kadang-kadang mampu menipu masa.

Muzik.

Satu frekuensi boleh membuka memori.

Satu melodi boleh meruntuhkan jarak 30 tahun.

Satu lagu boleh membuat seorang lelaki berusia 40 atau 50 tahun kembali melihat dunia melalui mata seorang remaja.

Dan selama hampir tiga jam malam itu…

Idea Live Arena bukan lagi sebuah dewan konsert.

Ia menjadi sebuah mesin masa.

Spider menekan suisnya.

Sekitar 6,000 manusia masuk bersama.

Dan apabila pintunya dibuka semula tiga jam kemudian, kita mungkin keluar dengan tubuh yang sama…

tetapi dengan hati yang baru sahaja pulang dari masa lalu.

Itulah SPIDERAYA.

Sebuah eksperimen tentang muzik, manusia, masa dan memori.

Spider sudah berusia 30 tahun.

Anggotanya berubah.

Industri berubah.

Teknologi berubah.

Pendengarnya juga berubah.

Tetapi DNA muziknya masih boleh dikenali.

Gelombangnya masih bergerak.

Frekuensinya masih beresonansi.

Lagu-lagunya masih membuat manusia menyanyi.

Dan tiga dekad kemudian…

AYAT PENYENGAT mereka masih tetap berbisa.

Ngam Ho!!!

Bangbu Besihitam

saya mesti rajin

warga spider sentiasa dihati

#besihitam#sayamestirajin#spideraya

Terbaru