KRIS DAYANTI TERUJA KEMBALI KE MALAYSIA, BAKAL GEGARKAN ULTRA KALCER 2026
Penyanyi legenda Indonesia itu mahu memberikan persembahan terbaik dan mencipta kenangan indah bersama peminat tempatan.
KUALA LUMPUR: Penyanyi tersohor Indonesia, Kris Dayanti, teruja untuk kembali beraksi di Malaysia menerusi festival muzik Ultra Kalcer Malaysia 2026, yang bakal berlangsung di KL Festival Park pada 7 dan 8 November ini.
Kris Dayanti, 51, berkata peminat di Malaysia sentiasa mempunyai tempat istimewa di hatinya. Beliau turut menghargai undangan daripada penganjur, Neptunes Presents, untuk menjadi sebahagian daripada festival yang menghimpunkan 19 artis dari Malaysia dan Indonesia itu.
Katanya, muzik ialah bahasa universal yang mampu menyatukan masyarakat tanpa mengira negara, budaya mahupun generasi.

“Hubungan saya dengan peminat di Malaysia sudah terjalin sejak sekian lama dan itu antara sebab utama saya teruja untuk kembali beraksi di pentas tempatan.
“Apabila berpeluang berkongsi pentas dalam sebuah festival yang menghimpunkan pemuzik dari dua negara serumpun, saya berasa sangat berbesar hati. Saya melihat kemunculan ini sebagai peluang untuk mengeratkan lagi hubungan muzik dan budaya antara Indonesia dengan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Kali terakhir Kris Dayanti mengadakan konsert di Malaysia adalah menerusi Konsert Cinta Nostalgia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 2025.

Penyanyi yang mula mencipta nama menerusi lagu Menghitung Hari itu mengakui tidak sabar untuk bertemu peminat dan merasai kemeriahan festival berkenaan. Katanya, setiap pertemuan dengan peminat di Malaysia sentiasa meninggalkan kenangan tersendiri.
“Saya akan memberikan persembahan terbaik dari segi vokal, penghayatan, tenaga dan interaksi dengan penonton. Saya mahu peminat pulang dengan kenangan indah serta berasa puas dan berbaloi kerana hadir ke festival ini,” katanya.
Bagi membuat persiapan, Kris Dayanti memberi tumpuan kepada latihan vokal, stamina dan kesihatan. Pemilihan lagu, susunan muzik serta interaksi dengan penonton juga menjadi antara aspek yang diberi perhatian.
“Persembahan yang baik bukan sekadar menyanyi, tetapi bagaimana kita menyampaikan emosi dan mencipta pengalaman yang meninggalkan kesan kepada penonton.
“Saya akan memastikan pemilihan lagu sesuai dengan suasana festival yang dinamik dan meriah supaya penonton boleh menyanyi bersama, menikmati muzik dan berasa dekat dengan saya sepanjang persembahan,” kata ibu kepada empat cahaya mata itu.
Selain Kris Dayanti, festival ini turut menampilkan Hindia, Naykilla, Barasuara, Biru Baru, Pamungkas, Sal Priadi, Danilla, Good Morning Everyone, Lomba Sihir, Rumah Sakit, Romantic Echoes & The Moonlight Knights, Okirama, Dukes, The Alif, Belia Benci Club, Citykops dan Rangkaian Fugo.

Tiket boleh didapati menerusi laman web BBO Events.

