CROMOK & BARBARIK BAKAL GEGAR “BLACK ON WHITE” DI KUALA LUMPUR
Oleh: Bangbu Besihitam
KUALA LUMPUR, 20 APRIL 2026 – Selepas sekian lama dinantikan oleh peminat muzik rock dan metal tempatan, dua nama besar iaitu Cromok dan Barbarik bakal berkongsi pentas menerusi konsert Black On White Cromok-Barbarik yang dijadualkan berlangsung pada 27 Jun 2026 di IDEA Live Arena.
Gabungan dua kumpulan berpengaruh ini dijangka mencipta fenomena tersendiri apabila masing-masing membawa identiti, tenaga serta legasi yang sudah sebati dalam jiwa peminat muzik rock tanah air.
Konsert anjuran KARL Legacy dengan kerjasama Pentas Barbarik ini bukan sekadar persembahan biasa, sebaliknya menjadi medan pertemuan dua generasi dan dua aliran muzik berbeza yang berkongsi satu semangat yang sama.
Lebih menarik, peminat bakal disajikan dengan kolaborasi eksklusif membabitkan kedua-dua kumpulan, selain berpeluang menyaksikan single terbaharu Cromok yang akan dipersembahkan secara langsung buat pertama kali. Dalam masa yang sama, Barbarik turut akan mempersembahkan single baharu mereka pada malam tersebut.
Gitaris Barbarik, Jo Branko, berkata konsert ini membawa makna besar bukan sahaja kepada kumpulan terlibat, malah kepada para peminat setia.
CROMOK DAN BARBARIK (BESIHITAM.COM)
“Ini bukan sekadar konsert biasa. Ia adalah pertemuan dua legasi yang sudah lama beraksi dalam liga masing-masing. Bila digabungkan, impaknya pasti berbeza. Kami mahu beri pengalaman luar biasa agar konsert ini menjadi kenangan yang tidak akan dilupakan,” katanya.
Tambah beliau, peluang berkongsi pentas dengan Cromok membuka ruang kepada sesuatu yang lebih segar.
“Peminat akan nampak sisi berbeza daripada kami, termasuk kolaborasi yang mungkin tidak pernah mereka bayangkan sebelum ini.”
Sementara itu, wakil Cromok, Karl Cromok, menyifatkan konsert ini sebagai satu evolusi dalam persembahan muzik tempatan, khususnya dari segi penggunaan teknologi.
“Kami tampil dengan konsep digital sepenuhnya menerusi pendekatan No Noise Digital Stage, menjadikan kami antara kumpulan pertama di Malaysia yang mempersembahkan persembahan secara 100 peratus digital.
Tiada penggunaan dram akustik mahupun amplifier gitar di atas pentas. Hanya mikrofon, peranti digital dan sistem in-ear monitors digunakan.
Pendekatan ini membolehkan pemantauan audio lebih jelas, menghasilkan bunyi lebih bersih serta memberikan pengalaman yang jauh lebih baik kepada penonton.”
Tambah beliau lagi, konsert ini juga menjadi platform untuk mengetengahkan inovasi serta sokongan terhadap jenama dan teknologi tempatan dalam industri muzik.
Konsert Black On White Cromok-Barbarik turut disokong oleh Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures, sekali gus memperlihatkan komitmen berterusan dalam menyokong penganjuran acara seni dan muzik tempatan.
Maklumat Tiket
Konsert ini menawarkan beberapa kategori tiket seperti berikut: