ABOI – KEMBALI MEREMAJAKAN JIWA YANG MENUA

ABOI – KEMBALI MEREMAJAKAN JIWA YANG MENUA

Oleh Bangbu

Kalau sebut nama ABOI, pasti ramai yang akan tersenyum sendiri. Teringat zaman penuh gelora, masa kepala penuh serabut tapi hilang sekejap bila dengar lagu-lagu mereka yang rancak, segar dan menggegar jiwa. Siapa boleh lupa bait-bait lirik dari lagu-lagu seperti “Apa-apa Saja”, “Rasa Sayang”, dan banyak lagi yang menjadi siulan anak-anak muda satu ketika dulu?

Setelah sekian lama menyepi dan kini kembali dari pertapaan, akhirnya ABOI atau nama penuhnya Aku Budai SempOI kembali mewarnai pentas muzik tanah air. Kepulangan mereka bukan sahaja mengubat rindu para peminat setia, malah membawa angin segar kepada generasi baru yang ingin menyelami semula akar muzik punk rock dan ska punk Malaysia arus perdana.

Kini ABOI tampil kembali dengan barisan asal yang menjadi tunjang kekuatan mereka
OGY (Gitar/Vokal), OJAI (Drum), dan OJA (Bass). Trio ini cukup dikenali sebagai band 3-piece yang solid, penuh tenaga, dan tidak pernah gagal menghidupkan suasana setiap kali naik ke pentas.

Yang lebih mengujakan, dalam satu sesi jamming eksklusif baru-baru ini, ABOI telah menjemput BESIHITAM, sebagai saksi gabungan semula mereka yang sudah hampir 10 tahun tidak bermain bersama. Suasana studio kembali meriah, walaupun masing-masing mengaku jari dah keras, tulang pun berkarat. Tapi bila muzik mula berdentum, semuanya cair. Bayangkan, 4 jam berdiri tanpa rehat, semata-mata untuk menghidupkan semula semangat dan chemistry lama. Itu bukan calang-calang komitmen! ABOI bagi 1000% tenaga!

Kepulangan ABOI ibarat menghidupkan semula semangat zaman awal ledakan muzik indie tempatan. Sebelum adanya Bunkface, Hujan, sebelum gelombang indie menjadi arus perdana, ABOI sudah pun berada di hadapan, menebas laluan dan membuka jalan. Mereka bukan sekadar band, mereka adalah ikon era peralihan muzik alternatif Malaysia.

Kemunculan semula ini juga didorong oleh jemputan eksklusif ke festival AKU MUZIK KAMU & INDIE 2025 yang bakal berlangsung pada 26-27 Julai 2025 di International Circuit Sepang, Selangor. Festival ini dijangka menjadi salah satu acara muzik terbesar tahun ini, menghimpunkan nama-nama legenda seperti Metalasia, Cromok, SYJ, Butterfingers, SalamMusic, Hujan dan ramai lagi.

Bayangkan ribuan kaki berpogo serentak di hadapan pentas. Peluh, semangat dan nostalgia berpadu dalam satu ledakan emosi. Inilah momen yang ditunggu-tunggu oleh peminat muzik tanah air.

Jangan terkejut kalau selepas ini ABOI kembali aktif dan mula menghasilkan karya baharu. Bila jiwa muzik sudah sebati, irama itu takkan pernah mati.

Selamat kembali ABOI  pentas ini memang milik kamu!

Untuk maklumat lanjut mengenai festival AKU MUZIK KAMU & INDIE 2025, layari laman rasmi dan media sosial penganjur. Jangan lepaskan peluang untuk jadi sebahagian daripada sejarah kebangkitan semula ikon muzik tanah air!

Terbaru