AWIE THE LAST MAN STANDING?
Sebelas tahun lalu, Stadium Merdeka pernah menjadi saksi kepada satu sejarah besar bernama Awie.
Ketika itu, beliau berdiri sebagai vokalis WINGS dalam Konsert Anniversary WINGS 30 Tahun bersama Joe, Eddie dan Black, selain penampilan Mus dan Jojet. Lebih 20,000 manusia membanjiri stadium keramat itu untuk meraikan perjalanan sebuah kumpulan yang namanya sudah terpahat kukuh dalam sejarah rock Malaysia.
Sebelas tahun kemudian, Awie kembali ke tanah yang sama.
Stadium yang sama.
Lebih 20,000 manusia sekali lagi berada di hadapannya.
Bezanya kali ini, lelaki itu datang membawa satu nama sahaja.
AWIE.
Dan di belakang namanya tertulis tiga perkataan yang pada mulanya membuatkan aku sedikit skeptikal.

THE LAST MAN STANDING.
Layakkah?
Selepas lebih tiga jam, 35 buah lagu, lima kelompok pemuzik dan barisan nama besar yang bersilih ganti di atas pentas, aku rasa persoalan itu sudah tidak perlu ditanya lagi.
Terima sahajalah kenyataan. Awie memang layak!
BESIHITAM sekali lagi diberikan kesempatan berada di Stadium Merdeka untuk menyaksikan satu lagi helaian sejarah ditulis oleh seorang legenda yang sehingga hari ini masih enggan berhenti.

BILA AWIE MENJADI AWIE
Dato’ Ahmad Azhar Othman atau Awie merupakan satu karakter yang agak unik dalam industri hiburan kita.
Aku selalu melihat dia seperti mempunyai beberapa identiti seni.
Bila menyanyi, dia Awie.
Bila berdiri bersama WINGS, dia menjadi frontman kepada salah sebuah kumpulan rock terbesar negara.
Bila masuk ke set penggambaran, dia boleh bertukar menjadi sesiapa sahaja. Berilah watak apa pun, dia akan cuba hidupkan sehingga kadang-kadang karakter itu terbawa-bawa naik ke pentas.
Sesekali keluarlah Hussein!
Itulah Awie.
Muzik dan lakonan seakan sudah bercampur dalam darahnya. Menghampiri usia enam dekad, dia masih belum tahu bagaimana mahu memperlahankan langkah.
Tahun lalu ketika Anniversary WINGS 40 Tahun, hampir 40 lagu dibelasah dalam tempoh sekitar tiga jam.
Kali ini konsert solo pula, dia menyediakan 35 lagu!
Gila Awie ni.
Lebih gila apabila 35 lagu itu tidak berdiri dengan sebuah band sahaja.
Lima kelompok pemuzik!
Sebelum ini Awie pernah mencipta catatan Malaysia Book of Records apabila mengetuai tiga kumpulan dalam satu persembahan. Melihat apa yang dilakukan di Stadium Merdeka malam ini, terlintas juga di kepala aku, patutnya kali ini pecah satu lagi rekod.
Sebab barisan yang datang mengiringinya bukan calang-calang manusia.
Ada Nan, Yan Lefthanded, Man Kidal, Muzza, Pacai Ekamatra, Addy Cradle, Shah Slam, Naimi, Eddie XPDC, Fly Halizor, Ritz Metalasia, Rody Kristal, Ujang, Lola, Sotong dan ramai lagi.
Senang cerita, atas pentas malam itu bukan tempat budak baru nak belajar pegang alat muzik.
Yang datang semuanya ada peluru masing-masing.
JAUH DARI PENTAS, MACAM TENGOK DARI TINGKAP RUMAH
Kali ini kedudukan aku agak jauh.
Kalau selalunya aku suka cari posisi yang membolehkan aku melihat gerak tubuh pemuzik, malam itu aku berada kira-kira 50 meter dari pentas.
Memang halus!
Nak tengok apa berlaku di atas pentas ibarat kau berdiri di tingkap rumah tengok orang buat kenduri hujung jalan.
Nasib baik ada skrin LED besar.
Terus terang, dari segi ‘feel’ memang kurang sedikit apabila menonton konsert rock sejauh itu. Kita mahu nampak jari gitaris bekerja, muka vokalis ketika tarik nota dan komunikasi sesama pemuzik. Benda kecil begitulah yang memberikan nyawa apabila kita berada dekat dengan pentas.
Tetapi satu benda aku kena puji.
Sound system malam itu memang mantap.
Walaupun jauh, bunyinya sampai dengan jelas. Setiap instrumen masih mempunyai ruang dan vokal tidak tenggelam.
Kalau mata aku tak dapat merasa sepenuhnya, sekurang-kurangnya telinga masih dijamu dengan baik.
KITA BERSAMA: SATU STADIUM DIBAWA PULANG KE ZAMAN WINGS
Segmen pertama, Kita Bersama, dimulakan dengan sesuatu yang cukup sentimental.
Sayap Ilusi dalam versi akustik.
Sebaik Awie muncul, Stadium Merdeka meledak dengan sorakan.
Belum perlu menjerit. Belum perlu membelasah riff keras.
Satu lagu sudah cukup membawa puluhan ribu manusia membuka kembali album kenangan masing-masing.
Dari situ gear terus ditukar menerusi Rock N Roll Ronda Randa, lagu daripada album solo Satu. Tenaga mula dipam sebelum disambung dengan Mata Hati Jiwa yang catchy.
Kemudian datang Tiada Rahsia Antara Kita.
Haa… yang ini bahaya.
Lagu galau kegemaran ramai.
Mulut yang tadinya hanya melihat sudah mula terbuka. Satu demi satu mula menyanyi bersama.
Di Bayang Awan dan O-Tak kemudiannya melengkapkan perjalanan awal sebelum sebuah kejutan muncul.

KLON COPY ORI AWIE MUNCUL!
Tiba-tiba terdengar satu suara.
Eh, macam kenal.
Lenggoknya, manja suaranya… macam Ella.
Tetapi bukan.
Itulah Puteri yang muncul bersama Merrah, anak Awie sendiri.
Kalau Puteri membawa bayangan suara yang cukup dekat dengan Ella, Merrah pula aku boleh panggil klon copy ori Awie era 90-an.
Muka jambu, muda dan warna suaranya memang mengingatkan kepada bapanya ketika zaman muda.
Menerusi Baldu Biru, pada awalnya aku ingat Awie mahu memberikan pentas sepenuhnya kepada dua generasi muda ini.
Rupanya tidak.
Tuan punya konsert masuk sekali!
Mereka bertiga bergabung sebelum meneruskan Bernafas Dalam Lumpur.
Menarik sebenarnya apabila dalam sebuah konsert yang meraikan perjalanan seorang Awie, kita diperlihatkan pula sedikit bayangan tentang darah seni yang mungkin akan meneruskan legasi itu.

LEGASIKU: MULUT YANG MEMBISU MULA MENGUNYAH MELODI
Masuk segmen kedua, Legasiku, senjata berat mula dikeluarkan.
Ukiran Jiwa berkumandang.
Kalau sebelum itu ada yang masih duduk diam, lagu ini mula membuatkan mulut yang membisu sama-sama mengunyah melodi.
Kemunculan Stacy menerusi Peronda Jaket Biru pula membawa tenaga yang berbeza. Stacy tidak cuba menjadi sesiapa. Dia datang dengan karakternya sendiri.
Kemudian Midnight Blues menemukan Awie, Akim, Black dan Stacy.

Inilah menariknya apabila lagu rock lama diletakkan di tangan beberapa generasi. Lagu itu tidak mati sebagai nostalgia, sebaliknya mendapat darah baharu.
Ingatkan Dia menemukan Awie bersama Akim.


Lagu WINGS ini bukan rendah nadanya, tetapi Akim nampak selesa. Tinggi bagi kita, mungkin lauk sarapan bagi dia.
Kemudian muncul Black menerusi Intanku Kesepian.
Yang ini aku kena cakap.
Suara Black memang dahsyat!
Sampai ada ketika terasa vokalnya menenggelamkan Awie. Bukan bermaksud mahu berlawan siapa lebih hebat, tetapi itulah kekuatan sebuah kolaborasi apabila setiap penyanyi datang membawa senjata sendiri.
Tragedi Oktober kemudian berkumandang.
Entah kenapa bila lagu ini keluar, kepala aku terus terbayang Harley-Davidson. Lagu macam ni memang kena ada motor besar lalu sekali depan stadium.
Selepas itu Bara mengambil tempat sebelum Di Ambang Wati menutup bahagian tersebut.
Yang ini lagu favourite.
Kompom nyanyi sampai habis.
CINTA DAN FILEM: SEJARAH BIARLAH SEJARAH YANG TAHU
Segmen ketiga, Cinta dan Filem, membuka sisi lain Awie.
Funky Monyet membuka gelanggang sebelum tiba satu kemunculan yang memang dinantikan ramai.
Erra Fazira.
Awie dan Erra berkongsi Cinta Makrifat.
Tentang sejarah mereka?
Biarlah sejarah sahaja yang tahu.
Apa yang aku lihat malam itu adalah dua sahabat dan dua penghibur profesional yang sudah cukup matang untuk berdiri di atas pentas dan meraikan muzik.
Dan kena bagi kredit, suara Erra malam itu memang on top.
Kemudian muncul Hannah Delisha menerusi Halaman Asmara bersama Erra dan Awie.
Bak kata Awie, dah lah cun, pandai menyanyi pula!

Walaupun lagu itu cukup sinonim dengan Datuk Ziana Zain, gabungan tiga suara ini mempunyai warna tersendiri.
Hannah Delicious bak kata Erra kemudian kekal bersama Awie untuk Kita Permata, sebelum Awie memperkenalkan lagu baharunya, Maharani, dalam versi akustik, sebuah karya yang ditujukan buat isterinya.
Sedap.
Selepas itu keluar dua peluru yang memang tidak perlu diperkenalkan lagi.
Ratuku.
Satu stadium bergema.
Kemudian…
Dipenjara Janji.
Lagu ni boleh buat semua orang buasir.
Satu stadium buasir tarik suara, Awie steady sahaja!
SEGMEN PALING MENUSUK: MEREKA YANG SUDAH PERGI
Daripada semua segmen malam itu, Tribute: Last Man Standing (Don’t Forget) bagi aku antara yang paling mempunyai jiwa.
Tiba-tiba konsert yang penuh jeritan rock menjadi sedikit berat.
Jeritan Batinku membuka pintu kepada sebuah perjalanan mengenang seniman yang sudah meninggalkan kita.
Ada rasa pilu.
Kerana apabila kita melihat Awie masih berdiri di situ, pada masa sama kita diingatkan bahawa ramai nama yang pernah mewarnai perjalanan muzik kita sudah tiada.
Penghormatan kepada Allahyarham Tan Sri P. Ramlee disusuli Gerhana bersama Hattan.
Fuhh…
Suara Hattan memang tak berubah.
Suara jantan!
Penghormatan kepada Datuk M. Nasir pula diteruskan menerusi Kepadamu Kekasih sebelum Awie membawa Layang-Layang Terputus Talinya sebagai penghormatan kepada anak-anak seni yang telah pergi.
Aku rasa kalau bagi Awie satu album Alleycats pun, lama-lama orang boleh terlupa siapa penyanyi asal.
Begitu serasi lagu itu duduk dalam suaranya.
Kemudian datang satu momen yang betul-betul menikam.
Ku Di Halaman Rindu.

Tribute kepada Lefthanded.
Aku tak tahu kenapa bahagian ini terasa lain.
Mungkin kerana lagu itu sendiri.
Mungkin kerana nama-nama yang sudah pergi.
Atau mungkin kerana permainan Man Kidal malam itu benar-benar masuk ke dalam hati.
Bersih.
Tak perlu berlebih-lebih.
Setiap not seperti tahu ke mana ia mahu pergi.
Dan aku puas hati.

AMIR MASDI, DAHSYAT!
Kemudian masuk tribute kepada SEARCH.
Gemuruh.
Awie bergandingan dengan Amir Masdi.
Yang ini memang gila.
Kalau ada persoalan sama ada suara generasi baharu boleh duduk dalam bunyi rock sebesar ini, Amir memberikan jawapannya.
Awie pula langsung tidak memberikan jalan mudah dengan menurunkan key sesuka hati.
Amir kena panjat.
Dan dia terus memanjat!
Dia mula ‘menunggang’ karakter vokal Amy Search dengan cukup baik sehingga Nabila Huda sendiri kelihatan takjub.
Bila Mentari Merah Di Ufuk Timur menyusul, gabungan mereka terasa semakin ngam.
Inilah tribute yang aku mahu.
Bukan sekadar menyanyikan lagu orang lama kerana mahu cukup syarat, tetapi memberikan penghormatan dengan tenaga yang membuatkan lagu itu kembali bernyawa.
Segmen tersebut kemudiannya membawa mesej solidariti buat Palestin menerusi paparan video sebelum perjalanan menuju bahagian terakhir bermula.
AKU DAN MEREKA: AKHIRNYA PULANG KE RUMAH
Segmen kelima dinamakan Aku dan Mereka.
Dan siapa lagi “mereka” kalau bukan…

WINGS.
Bila Opera Hidup bermula, bagi aku lingkaran perjalanan malam itu akhirnya lengkap.
Di sinilah sebahagian besar sejarah Awie dibina.
Di sinilah suara itu membesar.
Di sinilah seorang Ahmad Azhar akhirnya menjadi AWIE yang dikenali satu Malaysia.
Selepas segala filem, album solo, watak lakonan, kolaborasi dan ribuan pentas yang dilalui, akhirnya dia kembali kepada rumah bernama WINGS.
Opera Hidup disambung dengan Hukum Karma sebelum Harapan dikeluarkan.
Harapan ni bukan lagu untuk kau bangun pagi-pagi terus menyanyi dalam bilik air.
Salah tarik boleh tercekik oii!
Tetapi Awie slumber menghadapinya.
Kemudian sampailah kepada Sejati.
Aku selalu panggil lagu ini “lagu kebangsaan WINGS”.
Bukan bermaksud lagu kebangsaan negara.
Maksudnya, inilah lagu wajib mereka. Pergilah mana-mana persembahan WINGS, lagu ini seperti satu janji yang mesti ditunaikan kepada peminat.
Kelakarnya, minggu lepas aku baru menyanyikan lagu ini ketika Konsert Biru Mata Hitamku. Separuh nyawa disana. Rupanya separuh lagi disini.
Bayangan dan lenggok tu masih melekat dalam memori. Intro itu… Ahhh.. yang tahu je tahu
Akhirnya Terima Kasih menjadi noktah kepada 35 buah lagu malam itu, dengan WINGS dan barisan artis kembali ke pentas untuk curtain call.
Awie mengucapkan terima kasih kepada mereka yang hadir.
Tetapi sebenarnya malam itu, mungkin kita pula yang patut mengucapkan…
Terima kasih, Awie.
AKU SKEPTIKAL DENGAN ‘THE LAST MAN STANDING’
Aku nak berterus terang.
Pada mulanya aku agak skeptikal dengan tajuk konsert ini.
Rock King: The Last Man Standing.
Besar tajuknya.
Berani.
Dalam dunia rock Malaysia yang mempunyai begitu ramai legenda, meletakkan perkataan “Rock King” dan “The Last Man Standing” pada sebuah konsert tentunya mengundang macam-macam tafsiran.
Tetapi selepas melihat apa yang berlaku malam itu, aku faham.
Gelaran itu bukan semata-mata tentang siapa paling hebat.
Bukan bermaksud orang lain sudah tidak wujud.
Ia tentang ketahanan.
Tentang seorang manusia yang sudah puluhan tahun berada dalam industri tetapi masih sanggup berdiri berjam-jam di hadapan lebih 20,000 manusia dan membawa 35 buah lagu.
Tentang seorang penyanyi yang suaranya malam itu kedengaran sedikit serak, mungkin kerana kepenatan atau jadual yang terlalu padat, tetapi masih tahu bagaimana mahu mengawal persembahan sehingga ke penghujung.
Bayangkan pada usia menghampiri enam dekad, lagu-lagu yang dibawanya pula bukannya lagu santai semuanya.
Lagu WINGS bukan boleh nyanyi sambil kupas kuaci.
Tinggi!
Namun dia tetap belasah.
Tahun ini sahaja entah berapa kali aku melihat Awie muncul di pentas. Kalau dikira, rasanya ini sudah sekitar konsert kelima yang aku hadiri yang mempunyai penampilan Awie.
Ada sahaja dia.
Macam tak reti penat.
Menyanyi.
Berlakon.
Konsert.
WINGS.
Solo.
Muncul sebagai tetamu.
Kemudian naik pentas lagi.
Sebab itulah pada penghujung malam aku akhirnya menerima maksud tiga perkataan tersebut.
THE LAST MAN STANDING.
Bukan kerana hanya dia seorang yang masih berdiri.
Tetapi kerana selepas segala zaman yang berubah, trend muzik yang datang dan pergi, generasi yang bertukar serta rakan-rakan seperjuangan yang seorang demi seorang meninggalkan kita, Awie masih berada di gelanggang.
Masih menyanyi.
Masih menjerit.
Masih menghiburkan.
Dan yang paling penting…
masih ada lebih 20,000 manusia sanggup datang untuk melihatnya berdiri.
Itu bukan perkara kecil.
Aku tahu Awie sendiri mungkin tidak meminta untuk dipanggil “Rock King”.
Tetapi kadang-kadang sesuatu gelaran bukan kita yang pilih.
Perjalanan yang memilihnya untuk kita.
Dan selepas malam di Stadium Merdeka ini, aku rasa peminat rock kena akui satu perkara.
Kalau mahu mencari seorang penghibur rock yang sanggup memberikan seluruh dirinya di atas pentas sampai ke titisan tenaga terakhir, Awie memang antara manusia yang paling layak berdiri dengan gelaran itu.
Terimalah kenyataan.
Dia memang THE LAST MAN STANDING.
Cuma satu permintaan aku…
Rehatlah kejap, Datuk Awie.
Tahun ni kau dah sibuk sangat.
Kami yang tengok pun penat.
Kau yang nyanyi 35 lagu tu entah macam mana lagi.
Tahniah kepada Bombbay Legend Worldwide bersama Ultimate Media yang merealisasikan Rock King: The Last Man Standing di Stadium Merdeka dan berjaya menghimpunkan lebih 20,000 penonton untuk menjadi saksi kepada malam bersejarah ini.
Tidak dilupakan brader Lan Moktar, terima kasih kerana tidak pernah jemu memberikan kepercayaan dan menjemput BESIHITAM untuk bersama-sama menyaksikan sejarah ini.
Sebelas tahun lalu, aku melihat Awie berdiri di Stadium Merdeka bersama WINGS di hadapan lebih 20,000 manusia.
Sebelas tahun kemudian, aku kembali ke stadium yang sama.
Manusia masih puluhan ribu.
Suara itu masih ada.
Lelaki itu juga masih berdiri.
Cuma kali ini di belakangnya terpampang satu gelaran yang aku sendiri pada awalnya persoalkan.
Selepas 35 lagu…
aku tak mahu pertikaikannya lagi.
AWIE.
ROCK KING.
THE LAST MAN STANDING.
Dan malam itu, Stadium Merdeka menjadi saksinya.
ALAM BARZAKH
Saya mesti rajin

