REVIEW: FILEM ORANG PERANG BUNYI DAUN PUN BOLEH BUAT AKU BERDEBAR

ORANG PERANG: BUNYI DAUN PUN BOLEH BUAT AKU BERDEBAR

Bertambah lagi sebuah naskhah patriotik dalam perfileman negara. Sayangnya, Orang Perang tiba ketika semangat sambutan Hari Kebangsaan sudah mula reda. Kalau filem ini keluar sebelum 31 Ogos, aku rasa sambutannya boleh jadi lebih besar. Sebab kisah yang dibawanya memang wajar diketahui ramai.

Selalunya apabila kita bercerita tentang perjuangan mempertahankan tanah air, yang muncul dalam fikiran ialah pahlawan Melayu. Kali ini, pengarah Hashim Rejab membawa kita mengikuti keberanian masyarakat Orang Asli, khususnya kaum Semai, ketika Tanah Melayu berdepan ancaman komunis pada era 1950-an. Filem ini diinspirasikan daripada kisah benar, termasuk peranan Senoi Praaq dan kepakaran Orang Asli bergerak serta menjejaki musuh di dalam hutan.

Cerita berpusat pada Bah Tangga, lakonan Niezam Zaidi. Selepas kampungnya diserang, dia terperangkap dalam perjuangan komunis sebelum mula mempersoalkan kekejaman yang dilakukan terhadap masyarakatnya sendiri. Bersama Bah Ayob, lakonan Syazwan Zulkifli, dia melarikan diri ke hutan. Di situlah perjalanan mereka bertembung dengan Polis Hutan pimpinan Inspektor Syed Zainal, watak yang dibawa Fauzi Nawawi. Bah Tangga bukan sekadar perlu memilih pihak. Dia juga perlu belajar mempercayai orang yang selama ini diajar untuk dibenci.

Aku suka kerana konflik itu memberi isi kepada babak-babak perangnya. Di sebalik serangan dan latihan, ada persoalan tentang persahabatan, prasangka dan kesetiaan. Lebih-lebih lagi apabila Bah Tangga bertemu semula dengan sahabat lamanya, Bah Pelangkin, yang kini berada di pihak komunis. Sebagai penonton, aku mahu tahu bukan sahaja siapa yang akan menang, tetapi apa yang akan terjadi kepada hubungan antara mereka.

Sebagai peminat filem dan graduan jurusan perfileman, aku boleh katakan ini antara naskhah arahan Hashim Rejab yang berjaya membuatkan aku kekal terpaku hingga tamat. Perjalanan ceritanya ada plot dan ada perkembangan watak. Namun, yang paling kuat melekat dalam kepala aku selepas keluar dari pawagam ialah suasana hutannya. Fuhh..Seramm.

Aku menonton filem ini dalam pawagam yang dilengkapi sistem Dolby Atmos. Kelebihan dia bunyi daun ditiup angin pun boleh kau dengar. Bunyi senapang bergesel pun kau dengar. Apabila tembakan meletus, kesannya memang terasa. Tetapi yang lebih hebat bagi aku ialah saat filem ini memilih untuk senyap. Runut bunyinya tidak berlebihan. Bunyi persekitaran dibiarkan membina debaran, seolah-olah ada musuh yang sedang bergerak di luar pandangan kita.

Babak yang paling aku suka ialah ketika pahlawan Orang Asli bergerak senyap-senyap untuk menyerang komunis. Aku memerhati setiap celah pokok, menunggu kalau-kalau ada yang tersilap langkah. Dalam istilah filem, itulah suspense, penonton sudah menjangka bahaya, tetapi tidak tahu bila atau dari mana ia akan muncul. Hashim tidak perlu memenuhi babak itu dengan tembakan untuk membuatkan aku berdebar. Gerakan watak, ruang hutan dan kawalan bunyi sudah cukup.

Hutan dalam Orang Perang bukan sekadar latar cantik. Ia menentukan bagaimana watak bersembunyi, bergerak dan menyerang. Susunan pergerakan pelakon dalam ruang, atau blocking, membuatkan kepakaran Orang Asli mengenali rimba terasa sebagai kekuatan mereka. Kita boleh nampak bahawa medan ini bukan asing bagi mereka. Ini makanan aku.

Niezam Zaidi sebagai Bah Tangga membawa wataknya dengan konsisten. Aku dapat mengikuti perubahan emosinya daripada seorang pemuda yang dibelenggu kebencian kepada seseorang yang mula menilai sendiri siapa yang boleh dipercayai. Syazwan Zulkifli sebagai Bah Ayob pula memainkan peranan besar dalam menghidupkan perjalanan itu. Hubungan mereka memberi cerita ini sesuatu yang lebih kuat daripada aksi semata-mata.

Ammar Alfian sebagai Bah Pelangkin memang berjaya membuat aku geram. Babak dia kencing pada muka budak-budak itu membuatkan aku ngilu. Geli siot time Chin Poh usap-usap air kencing tu. Rasa nak muntah! Kekejaman itu bukan sekadar disebut dalam dialog, kita melihatnya berlaku. Sebab itu pertentangan antara Bah Pelangkin dan Bah Tangga terasa lebih peribadi.

Fauzi Nawawi sebagai Inspektor Syed Zainal juga tidak boleh aku ketepikan. Dia memang hidup sebagai ketua pasukan askar hutan. Cara dia berdiri, memandang anggota pasukannya dan memberi arahan membawa wibawa yang meyakinkan. Dia tidak perlu berlakon berlebih-lebih untuk membuatkan kita percaya orang lain akan mengikut pimpinannya. Dalam cerita yang banyak wataknya sedang mencari siapa boleh dipercayai, kehadiran Fauzi memberi paksi yang kuat.

Filem ini turut dihuni nama-nama yang bukan sembarangan. Namron, Yeop Hitler, Kazar Sarsi, Azhan Rani, Vanida Imran dan Razib Salimin mungkin tidak semuanya mendapat masa layar yang panjang, tetapi kehadiran mereka menghidupkan dunia cerita sudah cukup buatkan filem ini hidup dengan natural.

Adam Corrie sebagai Chin Poh pula kerut dahi sahaja sudah cukup membuatkan karakternya terasa. Kalau watak Cina gangster memang dia paling sesuai. Sampai sekarang nama Ricky Karamunsing tu aku masih ingat. Dewa Arteh sebagai Bah Kati juga mencuri perhatian. Ada sedikit unsur pak lawak macam arwah bapanya, Os, yang memberi nafas kepada filem ini di tengah-tengah suasana tegang.

Dari segi sinematografi, aku memang respek kerja Mad Nor Kassim. Hutan dalam filem ini ada kedalaman dan rasa bahaya. Kamera bukan hanya menunjukkan tempat yang cantik, ia membantu kita memahami ruang tempat watak-watak bergerak, sambil membuatkan kita tertanya-tanya apa yang mungkin tersembunyi di luar bingkai. Mad Nor ini, sejak zaman aku mula-mula masuk produksi dulu, memang antara nama paling top. Tak percaya, tanyalah orang lama.

Aku juga perhatikan kostum filem ni. Uniform askar mengikut latar zaman diberi perhatian yang teliti. Dalam filem sejarah, perincian begini penting untuk membuatkan kita percaya pada dunia yang dipaparkan. Jelas Orang Perang bukan produksi yang dibuat ala kadar.

Tentang Hashim Rejab pula, aku tahu dia ada pengalaman shooting dalam hutan. Aku sendiri pernah bekerja bersama beliau di Hutan Kemensah. Sebulan juga kami berkampung di sana. Jadi apabila aku melihat babak-babak rimba dalam Orang Perang, aku boleh bayangkan cabaran untuk mengawal cahaya, bunyi, pergerakan pelakon dan kru di lokasi seperti itu. Aku suka kerana pengalaman tersebut dimanfaatkan untuk bercerita, bukan sekadar menghasilkan gambar hutan yang cantik.

Bagi aku, Orang Perang sebuah filem yang lengkap dari segi perjalanan cerita, lakonan, sinematografi, kostum dan reka bunyi. Lebih penting, ia memberi ruang kepada kisah pahlawan Orang Asli yang turut mempertahankan tanah air. Peranan mereka mungkin tidak selalu menjadi cerita utama setiap kali kita menyambut kemerdekaan, tetapi filem ini mengingatkan aku bahawa sejarah perjuangan negara jauh lebih luas daripada yang biasa kita dengar.

Aku rasa Orang Perang patut ditayangkan setiap tahun apabila tiba bulan kemerdekaan.

Kalau kau peminat filem, tengoklah di pawagam mulai 1 Oktober 2026. Jangan tunggu ia muncul di Netflix. Pergi tengok di pawagam dengan sistem bunyi yang betul. Hargai orang yang buat kesan khas dalam filem ni. kau bukan sekadar melihat mereka bergerak di dalam hutan. Kau boleh rasa debarannya sendiri. Sampai bunyi daun pun membuatkan kau tertanya-tanya siapa yang sedang menghampiri siapa?

Jangan jadi macam filem 6 Jilake, Tarung dan Polong. Disebut-sebut terbaik. Dipuji-puji melangit bila dah keluar tayangan di Netflix. Rugi tak tengok di pawagam. Padahal kau sendiri yang skeptikal dengan filem Melayu. Jom! Orang Perang pasti buat kau tak menyesal.

Selendang Merdeka
Bangbu Besihitam
saya mesti rajin
warga Perang Sentiasa dihati

Terbaru