ERNIE ZAKRI MENYELAMI JIWA MENERUSI ALBUM BAHARU, ATMA
Tujuh trek mengajak pendengar menelusuri perjalanan emosi tentang cinta, luka, kemarahan dan kekuatan untuk bangkit.
KUALA LUMPUR, 23 Oktober 2026 – Selepas memperkenalkan sisi muzik yang lebih luas menerusi AURA, Ernie Zakri kembali dengan ATMA, sebuah album baharu yang membawa pendengar menyelami pelbagai lapisan emosi manusia.

Membawa maksud “jiwa”, ATMA merangkumi tujuh trek yang mengangkat kisah cinta, kerinduan, luka dan kemarahan, selain perjalanan untuk menerima kenyataan serta bangkit semula. Album ini menggabungkan muzik, visual dan penceritaan dalam satu pengalaman yang lebih matang, berani dan peribadi.
Bagi Ernie, jiwa terbentuk daripada perasaan serta pengalaman yang tidak semestinya terlihat di mata orang lain.
“Untuk saya, jiwa itu bukan sesuatu yang mudah diterangkan. Ia tentang apa yang kita rasa, apa yang kita simpan, apa yang pernah membentuk kita, semua benda yang mungkin orang tak nampak bila mereka melihat kita dari luar,” katanya.
Berbeza daripada AURA, ATMA disusun dengan pendekatan yang lebih padat dan berkonsep. Setiap trek mempunyai peranan tersendiri dalam membentuk naratif album, bermula dengan intro, diikuti lima lagu utama dan diakhiri “Finito”.
“Intro membuka dunia album ini, lima lagu penuh membawa isi dan emosi utamanya, manakala ‘Finito’ menjadi penutup kepada perjalanan tersebut. Jadi, bagi saya, yang lebih penting ialah bagaimana setiap trek berfungsi dalam keseluruhan naratif album,” jelasnya.
Susunan lagu membawa pendengar melalui perubahan suasana, daripada nuansa yang tegas dan gelap kepada sisi yang lebih lembut serta terbuka kepada penerimaan. Perubahan ini turut menuntut Ernie memberikan pendekatan vokal dan penghayatan berbeza bagi setiap karya.
Walaupun cerita dalam ATMA disampaikan menerusi suara dan interpretasi Ernie, album ini tidak menggambarkan kehidupannya secara literal. Sebaliknya, penceritaannya terbina daripada gabungan pengalaman, pemerhatian, empati dan imaginasi.
Tema album ini juga tidak terhenti pada soal pengkhianatan. Kesunyian, ketakutan dan pergulatan dengan diri sendiri turut menjadi sebahagian daripada dunia ATMA.
“Saya harap bila orang masuk ke dunia ATMA, mereka bukan cuma mendengar suara saya, tapi mereka dapat rasa sesuatu yang dekat dengan diri mereka sendiri,” katanya.

Arah kreatif album ini mula diperkenalkan menerusi “Sejambak Bunga”, yang menampilkan Ernie dalam sisi lebih matang dan berani. Pendekatan muzik serta visual yang lebih gelap dan intim dalam karya itu kemudian dikembangkan menerusi ATMA.

Pada 15 Oktober lalu, Ernie bersama pasukannya turut menganjurkan Intimate Pre-Album Listening Party untuk memberi peluang kepada peminat mendengar album tersebut lebih awal. Siri imej konsep yang dikongsikan di media sosial pula memperkenalkan identiti visual ATMA.
Ernie berharap perjalanan album ini dapat diteruskan melalui persembahan langsung, kandungan visual dan pengalaman lain yang membawa karya tersebut lebih dekat kepada pendengar.

“Selepas pelancaran album, saya nak ATMA terus hidup dalam cara yang lebih dekat dengan pendengar. Saya harap ATMA tidak berhenti sebagai sebuah album sahaja, tapi terus berkembang sebagai satu pengalaman yang orang boleh rasa, faham dan kaitkan dengan diri mereka sendiri,” katanya.
ATMA kini boleh didengarkan di semua platform penstriman utama.

