SINGGAH KAMPUS TOUR 2026 DEKATI GENERASI MUDA, HIMPUNKAN 15 ARTIS DI TUJUH UNIVERSITI

SINGGAH KAMPUS TOUR 2026 DEKATI GENERASI MUDA, HIMPUNKAN 15 ARTIS DI TUJUH UNIVERSITI

KUALA LUMPUR, 20 OKTOBER 2026 – Industri muzik terus berkembang seiring perubahan cara generasi muda mengenali, menikmati dan menyokong karya muzik.

Menyedari kepentingan mendekati pendengar secara lebih langsung, Malika Entertainment & Management memperkenalkan Singgah Kampus Tour 2026, sebuah inisiatif jelajah muzik yang bakal mengunjungi tujuh universiti terpilih di seluruh negara dengan menampilkan gabungan 15 penyanyi tempatan yang telah menempa nama dalam industri muzik serta bakat baharu yang sedang membina kerjaya masing-masing.

Antara artis berkenaan adalah Nabila Razali, Ryenald Guntabid, Najmi Niery, Anwar Amzah, Adzrin, Elica Paujin, Fiq7, Arghpiez, Zamir Harith, Apit Tearra, Ashraf Samad, Farah G dan Gretchene Quirina.
Berlangsung dari 2 November hingga 5 Disember 2026, jelajah ini akan singgah di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (uTeM), Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Sabah dan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam.

JADUAL SINGGAH KAMPUS TOUR 2026
2 November 2026 – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Melaka
18 November 2026 – Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok
25 November 2026 – Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur
28 November 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim
30 November 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang
1 Disember 2026 – Universiti Malaysia Sabah (UMS), Sabah
5 Disember 2026 – Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam
Penganjuran Singgah Kampus Tour 2026 bukan sekadar membawa persembahan muzik ke persekitaran universiti, sebaliknya menjadi platform untuk mendekatkan artis dengan kelompok pendengar muda yang berpotensi menjadi peminat setia serta menyokong perjalanan kerjaya mereka dalam jangka panjang.

Atas dasar itu, Singgah Kampus Tour 2026 membuka ruang kepada barisan artis untuk berinteraksi secara lebih dekat dengan komuniti mahasiswa, memperkenalkan karya muzik mereka kepada khalayak baharu serta mengukuhkan hubungan dengan pendengar yang telah mengikuti perjalanan muzik mereka.

MEMBINA HUBUNGAN, MEMBUKA PELUANG DAN MELANGKAUI PERSEMBAHAN
Pengarah Projek Singgah Kampus Tour 2026, Anne Mukhtar yang mewakili Malika Entertainment & Management berkata, inisiatif ini bertujuan membuka peluang lebih luas kepada artis tempatan, khususnya mereka yang sebelum ini tidak berpeluang menyertai program jelajah kampus.
Berbekalkan pengalaman bekerja dengan beberapa label rakaman terkemuka di Malaysia serta mengendalikan acara jelajah seumpama ini, Anne melihat keperluan untuk mewujudkan platform yang lebih terbuka, memandangkan program seumpamanya lazimnya memberi tumpuan kepada artis di bawah naungan label penganjur atau yang mempunyai kerjasama dengan pihak berkenaan.

Menerusi Singgah Kampus Tour 2026, Malika Entertainment & Management berhasrat memberi ruang kepada lebih ramai artis untuk memperkenalkan karya, mengetengahkan identiti muzik dan mendekati golongan mahasiswa, sekali gus memperluas jangkauan peminat mereka.
Menurut Anne, jelajah ini bukan sekadar platform persembahan, tetapi turut menjadi medium untuk membina hubungan lebih dekat antara artis dengan generasi muda yang meneroka muzik menerusi platform penstriman digital, media sosial dan komuniti kampus.

“Melalui interaksi secara langsung, artis berpeluang mendekati mahasiswa dalam suasana yang lebih santai, manakala setiap persinggahan turut membuka ruang untuk menghasilkan kandungan digital yang dapat memperluas capaian jelajah ini melangkaui lokasi persembahan.
“Gabungan pengalaman secara langsung dan penglibatan digital ini bukan sahaja dapat mengukuhkan hubungan antara artis dengan peminat, malah membantu memperkenalkan karya serta identiti muzik mereka kepada khalayak yang lebih luas,” katanya.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen Malika Entertainment & Management untuk memperluas peluang dalam industri muzik tempatan, di samping membantu artis membina komuniti peminat dan mengembangkan potensi mereka menerusi platform yang lebih inklusif.

MEMBUKA PELUANG KERJASAMA DAN POTENSI KOMERSIAL
Selain mendekatkan artis dengan komuniti mahasiswa, Singgah Kampus Tour 2026 turut membuka ruang kepada kerjasama strategik antara Malika Entertainment & Management, pihak universiti, persatuan mahasiswa serta media kampus .

Platform ini berpotensi dimanfaatkan untuk pelbagai bentuk kerjasama yang menggabungkan muzik, hiburan, kreativiti dan penglibatan anak muda, sekali gus mewujudkan peluang promosi yang lebih dekat dengan kumpulan sasaran.

Penglibatan mahasiswa dalam aktiviti promosi dan perkongsian kandungan digital juga berpotensi memperluas jangkauan jelajah ini, di samping meningkatkan pendedahan terhadap artis dan karya muzik yang diketengahkan.

Bagi Malika Entertainment & Management, Singgah Kampus Tour 2026 merupakan antara usaha untuk meneroka pendekatan promosi muzik yang lebih relevan dengan generasi pendengar masa kini, selain membina asas kerjasama yang berpotensi dikembangkan kepada inisiatif dan projek muzik pada masa hadapan.

Terbaru